Menjelang pemilihan Umno pada 19 Oktober depan, kedudukan Ahli Parlimen
Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah terus menjadi sebutan sama ada
beliau akan bertanding jawatan Presiden Umno atau sebaliknya. Meskipun
beberapa negeri sudah membuat ketetapan agar jawatan Presiden dan
Timbalan Presiden Umno tidak dipertandingkan, keadaan itu sebenarnya
hanya berlegar-legar di peringkat atasan sahaja.
Sebaliknya, di peringkat bahagian dan cawangan, masih kedengaran suara
yang mahukan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden dipertandingkan. Ia
bukan saja untuk menterjemahkan transformasi politik dilakukan oleh
Najib yang sedia mengubah peraturan pertandingan tetapi juga untuk
membuktikan amalan demokasi masih lagi subur dalam Umno.
Dengan kedudukan BN yang hanya mempunyai 133 kerusi Parlimen saja,
sementara kebanyakan pemimpin Umno dilihat tidak mempunyai perubahan
sikap yang ketara dengan sebahagiannya masih bersikap sombong, angkuh
serta bangga diri, ramai ahli peringkat bawahan yang bimbang nasib parti
itu dalam pilihan raya ke 14 nanti.
Najib pula, walaupun menerima sokongan daripada Ketua-Ketua Umno
Bahagian untuk terus mengekalkan jawatannya, sikap serta pendiriannya
yang tidak tegas dalam beberapa isu berkaitan Melayu dan Islam, turut
menambahkan lagi kebimbangan itu.
Setelah Najib tunduk dengan beberapa desakan pembangkang seperti
pemansuhan ISA, Akta Hasutan dan Ordinan Darurat serta sikapnya yang
terlalu lembut terhadap tuntutan kaum lain, semakin ramai yang bimbang
nasib bangsa Melayu akan lebih tertekan dalam menghadapi fasa kritikal
lima tahun akan datang ini.
Dalam konteks inilah yang menyebabkan suara ke arah perubahan itu
terlihat ketara. Memberi kemenangan percuma dilihat hanya akan
membuatkan Najib terus selesa dengan sikapnya yang ada sekarang.
Golongan bawahan dan akar umbi juga menolak pertandingan kali ini boleh
memberi membawa perpecahan kerana sebelum pilihan raya umum 2018 nanti,
ada satu lagi pemilihan Umno yang harus dihadapi iaitu pada 2016. Jika
mahu mengekalkan perpaduan dan memantapkan kesatuan, pertandingan 2016
itulah yang harus dielakkan manakala pertandingan tahun seharusnya
dibenarkan bagi memilih pemimpin sebenar dan mengukur tahap demokrasi
yang sering dipertikaikan selama sejak sistem kouta diperkenalkan.
Meskipun Muhyiddin belum mengumumkan pendirian sebenar mengenai jawatan
yang bakal ditandinginya, namun ramai yang percaya beliau lebih selesa
untuk kekal dengan jawatan yang disandangnya sekarang.
Di sinilah yang membuatkan nama Tengku Razaleigh muncul sebagai tokoh
yang sesuai untuk mencabar Najib. Walaupun beliau dilihat agak berusia
berbanding Najib, rekod cemelang dan imej bersihnya semasa berada di
dalam kerajaan dulu, termasuk jasanya menubuhkan Petronas dan Bank
Bumiputra, sentiasa menjadi rujukan dan sering dietakkan sebagai neraca
perbandingan.
Dalam menghadapi cabaran yang seterusnya pula, Tengku Razaleigh yang
popular dengan nama Ku Li juga dilihat mempunyai jiwa Melayu dan Islam
yang lebih kukuh tetapi dalam masa yang sama dipercayai mampu juga
menarik sokongan bukan Melayu untuk berada bersama-sama dengannya jika
diberi peluang memimpin Umno.
Sehingga ini, desakan daripada seluruh seluruh negara yang mahukan
beliau bertanding ternampak memberangsangkan. Pelbagai pihak dan
kelompok dalam Umno yang mempunyai undi tidak putus-putus menemuinya
menyatakan keperluan untuk beliau bertanding menentang Najib dan
memikirkannya demi kepentingan Melayu dan Islam.
Meskipun belum ada kata putus yang keluar daripada mulutnya sama ada
akan bertanding atau sebaliknya, namun desakan dan permintaan yang
bertali arus mehukannya khidmatnya itu mungkin membuatkan Ku Li akhirnya
akur dengan semua permintaan dan desakan itu.
Namun kesediaan Ku Li bertanding itu bukanlah semata-mata kerana
jawatan tetapi lebih kepada menyahut seruan perubahan yang dikehendaki
oleh peringkat akar Umno yang tidak putus-putus menemuinya sejak
kebelakangan ini.
Dengan sistem baru pemilihan Umno yang tidak lagi memerlukan kouta
pencalonan dan perwakilan pula diperluaskan kepada hampir 150,000 orang,
walaupun Pengerusi Perhungan Umno Negeri-negeri dan Ketua Bahagian
lebih cenderung menyatakan sokongan terbuka kepada Najib tetapi arus
perubahan yang sedang menggelegak di peringkat bawahan Umno berikutan
keputusan pilihan raya lalu dan sikap Najib sendiri yang tidak banyak
berubah dalam beberapa isu, bahkan kekal dengan sikap tidak tegasnya, ia
mungkin memberi ruang kepada Tengku Razaleigh.
Sebelum tarikh pendaftaran pada 28 September depan, adalah dipercayai
Ku Li akan membuat pengumuman mengenai jawatan yang bakal ditandinginya
dan berdasarkan permintaan yang kian meningkat terhadap khidmatnya,
kemungkinan beliau akan mencabar Najib bagi jawatan Presiden Umno kali
ini, sangat hampir menjadi kenyataan. – shahbudindotcom.blogspot.com, 19
Ogos, 2013.
No comments:
Post a Comment