Himpunan Aman Mengutuk Kekejaman Kerajaan ‘Kudeta’ Mesir yang dianjurkan Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) berlangsung seusai solat Jumaat di hadapan Masjid Pengadang Baru dekat sini hari ini, 16 Ogos.
Katanya, setiap penderitaan yang sedang dialami oleh rakan Ikhwanul Muslimin di Mesir sekarang turut dirasai ‘kesakitannya’ itu oleh Parti Islam Se-Malaysia (PAS).
“Biar pun bumi Mesir berada beribu batu jauhnya, namun atas nama aqidah, atas nama persaudaraan Islam tidak ada sempadan antara mereka dengan kita.
“Walau pun mereka (Ikhwanul Muslimin) yang sekarang ini merasai sakit dan menderita kerana dizalimi dan dibunuh. Kita (PAS) juga yang berada di bumi Malaysia ini turut sama merasai ‘kesakitan’ itu.
“Kita (PAS) juga telah memberi arahan supaya tidak henti-henti mengadakan munajat dan membekalkan doa yang berterusan kepada mereka (Ikhwan), supaya Allah SWT menghantar pertolonganNya kepada umat Islam khasnya dan seluruh rakyat di bumi Mesir yang sedang dizalimi,” tegasnya ketika berucap pada himpunan tersebut. [Lihat Video]
Sebelum itu, 2000 orang jamaah masjid turut menunaikan solat hajat khas memohon keselamatan dan kemenangan dari Allah kepada umat Islam yang sedang dizalimi di Mesir, Syria dan lain-lain.
Ustaz Nasruddin yang juga Ahli Parlimen Temerloh menyifatkan tragedi yang sama di Mesir boleh berlaku di negara ini kerana kezaliman tersebut tidak mengenal sempadan kaum dan bangsa.
“Mereka yang melakukan kezaliman ini tidak mengenal sempadan dan tidak pernah mengenal kaum dan bangsa. Apabila mereka (musuh) melihat Islam ada peluang untuk bangkit walau pun mereka telah berpegang kononnya dengan amalan demokrasi.
“Mereka (musuh Islam) akan batalkan demokrasi semata-mata kerana tidak mengizinkan Islam berdaulat di atas muka bumi ini. Jika ini berlaku di Mesir dan sebelum ini pernah berlaku di Algeria dan tidak mustahil juga boleh berlaku di tempat-tempat lain dan tidak ada jaminan tidak berlaku di negara kita pada suatu masa akan datang,” jelasnya di hadapan hampir 3,000 peserta perhimpunan tersebut.
Justeru itu, kata beliau, usah biarkan saf kepimpinan Islam pecah serta amalan Islam menjadi longgar kerana perselisihan.
Menurutnya, kebangkitan umat Islam di Mesir hari ini menjadi suatu sejarah yang hebat kerana ribuan rakyat bersedia untuk ‘syahid’.
“Tetapi, ternyata anak-anak muda (Mesir) bangkit membawa sepanduk dan gambar sambil bertanya kepada ‘dunia’ dengan mengatakan, “bilakah pula giliran aku untuk syahid” dan langsung tidak menunjukkan mereka takut dan gerun.
“Kita harap, kita juga sebahagian dari mereka yang beriman dengan janji-janji Allah SWT dan kita tetap bersama dengan kumpulan Ikhwanul Muslimin dan umat Islam di Mesir,” ujarnya.
Pelbagai slogan dan gambar Presiden Mesir yang digulingkan tentera, Dr Muhammad Morsi dibawa peserta perhimpunan seperti “Mana Pendirian Malaysia”, “Tentera Sisi Laknatullah”, “Amerika & Israel Dalang Huru-Hara”, “Ya Allah, Laknatilah Mereka Yang Zalim Itu” dan banyak lagi.
Sumber buletinonline
No comments:
Post a Comment