Friday, May 3, 2013

Jangan beri sokongan kepada pemerintahan zalim





Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin,
Allah memilih umat Islam menjadi umat terbaik di sisi-Nya kerana mereka menyuruh yang makruf dan mencegah kemunkaran di samping mereka beriman kepada Allah. Hal ini dapat dirujuk melalui firman-Nya:

"Kalian (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang ditampilkan bagi (faedah) umat manusia umumnya, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang segenap perkara yang salah (buruk dan keji), di samping kamu beriman kepada Allah (dengan keimanan yang sebenar). Dan seandainya Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu lebih baik untuk mereka. (Tetapi sayang) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik." (Surah Ali-Imran : ayat 110)

Dengan perkataan lain kerana mereka menjadi pengikut ajaran Islam yang syumul dan merangkum berbagai aspek kehidupan. Mereka menegakkan keadilan dalam diri, keluarga, bangsa dan negara. Mereka menjadi saksi tentang kehadiran rahmat Allah kepada semua manusia melalui penampilan ajaran yang paling bertamadun iaitu ajaran Islam. Mereka golongan yang sentiasa menjauhkan diri daripada kejahatan dan kemungkaran justeru kemungkaran menjatuhkan martabat dan maruah sesuatu bangsa dan umat.

Kemungkaran yang paling lumrah adalah melakukan kezaliman, merampas hak orang ramai atau rakyat, menafikan kebenaran, menghalang dakwah Islamiah dan menurut ajaran ajaran bid’ah dan palsu dalam politik dan budaya, memenjarakan rakyat tanpa pengadilan dan sabit kesalahan, merampas kedaulatan rakyat dengan penipuan dalam pilihan raya umum, fitnah rekayasa media dan lain-lain. Semua perbuatan tersebut adalah merupakan perbuatan aniaya yang mesti dihindari oleh orang Islam. Hal ini kerana kezaliman itu seperti mana yang dinyatakan oleh Rasulullah ialah kegelapan pada hari kiamat kelak.

Baginda bersabda (maksudnya), "Hindarilah kezaliman kerana kezaliman itu adalah kegelapan pada hari kiamat kelak. Hindari sifat kikir kerana sifat bakhil tersebut telah memusnahkan orang-orang sebelum kamu; sehingga tergamak mereka menumpahkan darah sesama sendiri dan menghalalkan kehormatan (menceroboh) sesama sendiri." (Hadith riwayat Muslim)

Bencana Akibat Kezaliman

Kezaliman mencelakakan negara dan masyarakat. Kejahatan kezaliman ini bukan hanya mencelakakan penzalim di akhirat malah boleh membinasakan diri, keluarga, negara dan masyarakat. Allah berfirman bermaksud:

"Perkampungan (negara) berkenaan Kami musnahkan apabila penghuninya bersikap zalim dan kami tempah masa kemusnahan (dan kehancuran) mereka." (Surah al-Kahfi : ayat 59)
Kezaliman pemerintah atau kerajaan adalah kezaliman yang dilembagakan dalam undang-undang yang memperkasa kejahatan, pihak keselamatan yang lebih membawa kesengsaran daripada keselamatan, jentera penerangan yang lebih menyesat daripada mencerahkan, menggelapkan kebenaran serta mengelirukan berbanding memberi penerangan dan kefahaman kepada rakyat.

Kezaliman seperti ini lebih cepat membawa kehancuran kepada sesuatu bangsa, negara dan umat.
Kezaliman seperti ini mengundang kutukan Allah. Allah berfirman yang bermaksud:

"Siapakah yang lebih zalim daripada golongan yang mengajukan pembohongan terhadap Allah. Ketika golongan tersebut dipaparkan di hadapan Tuhan mereka (untuk diadili kelak) berkatalah para saksi bahawa mereka itu adalah golongan yang melakukan pendustaan terhadap Tuhan mereka. Memang sesungguhnya laknat dan kutukan Allah terhadap golongan penzalim." (Surah Hud “ ayat 18)

Bencana kezaliman ialah ia boleh melampaui peribadi orang yang zalim yang melakukan kezaliman berkenaan. Bencana dan akibat kezaliman itu juga mengenai orang yang hadir menyaksikannya dan tidak menghalang atau menyetujui kezaliman tersebut. Semua penyokong yang bersekongkol baik dekat mahupun jauh akan diseret dan dihumbankan ke neraka. Dalam teks tradisional terdapat catitan berikut;

Apabila manusia dihimpunkan pada hari Kiamat dipinggir titian Siratul Mustaqim, Allah berfirman, "Akulah Allah, Akulah Raja (yang sebenar) Akulah Dayyan ( pemilik hakiki agama ini); Demi kemulian dan kebesaran-Ku tiada seorangpun manusia penzalim yang dapat melepasi siratul mustaqim ini."

Kemudian berserulah seorang Malaikat di pihak Allah (bertanya), "Mana dia manusia penzalim berkenaan? Mana juak-juak penyokong penzalim tersebut? Mana dia pembantu yang menajamkan pena  penzalim (wartawan upahan)? Mana dia golongan yang mangajukan dakwat untuk penzalim (menulis)?

Kemudian neraka berseru kepada orang beriman, "Wahai orang beriman, segeralah kamu menyeberangi sirat ini kerana cahaya mu memalapkan (nyalaan lidah) apiku." (rujuk Kitab Minhaj al Solihin oleh Syaikh ’Izzuddin Baliq)

Suatu ketika seorang lelaki datang bertanya kepada Sufyan al-Thauri, "Saya ini penjahit pakaian raja (pemerintah ) yang zalim, adakah saya termasuk dalam kalangan penyokongnya."

Sufyan al Thauri menjawab, "Anda bukan golongan penyokong tetapi anda adalah dari golongan penzalim itu sendiri. Golongan penyokong ialah orang yang menjual kepada anda jarum dan benang (untuk menjahit)."

Sifat cenderung menyokong kezaliman dan orang yang zalim sama ada dengan hati atau dengan tindakan dan perkataan akan membawa padah. Allah berfirman yang bermaksud;

"Jangan kalian cenderung menyokong orang yang zalim; kelak kalian akan dibakar oleh api neraka. (ketika itu) kalian tidak akan ada selain Allah sebagai penyelamat dan kalian tidak akan mendapat apa-apa pertolongan." (Surah Hud : ayat 113)


Ketahuilah bahawa kezaliman mencelakakan manusia di akhirat. Penzalim bukan sahaja diseksa dengan azab yang sangat pedih di samping lilitan kutukan Allah tetapi juga mereka tersisih daripada penyokong, sahabat dan penolong. Allah berfirman, maksudnya;

"Mereka menyembah tuhan lain selain Allah yang tidak pernah Allah memberi apa-apa mandat kuasa mereka berbuat demikian malah mereka menyembah apa yang mereka sendiri tidak ada ilmu mengenainya. Sesungguhnya golongan penzalim itu tidak akan dapat sesiapapun menjadi penolong (mereka)." (Surah al Hajj : ayat 71)


Beberapa Kategori Penzalim

1. Syirik adalah kezaliman yang besar kepada Allah.

Kezaliman mempunyai berbagai kategori. Puncak kezaliman ialah perbuatan syirik kepada Allah seperti mana yang dinyatakan oleh Allah dalam al-Quran yang bermaksud;

"Ingatlah ketika Luqman berpesan kepada putera beliau dengan katanya; Janganlah kamu (wahai anakku) melakukan perbuatan syirik kepada Allah justeru syirik (kepada Allah) adalah suatu kezaliman yang amat besar." (Surah Luqman : ayat 13)

Syirik adalah keyakinan dan perbuatan yang menduakan atau mempelbagaikan tuhan. Ia merujuk kepada perbuatan yang mencampur-baurkan rujukan nilai baik, buruk, halal haram kepada sumber yang hak dan benar dengan sumber yang batil dan salah. Halal haram ditentukan oleh Allah, manakala syaitan dan taghut turut mencampuri urusan tersebut. Oleh itu, manusia musyrik adalah manusia yang komitmen nilainya bercelaru dan tidak menentu. Pada waktu tertentu mereka menurut perintah Allah namun pada masa lain mereka menurut perintah dan nilai taghut dan syaitan.

Allah befirman dalam Surah al Nisa’ ayat 116 :

"Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik kepada-Nya namun Dia mengampunkan dosa selain itu bagi siapa yang Dia mahu. Barang siapa yang syirik kepada Allah maka dia telah sesat terlalu jauh."

2. Menghalang umat Islam daripada memakmurkan masjid Allah.

Menghalang orang bersolat dengan merobohkan masjid dan surau, menghalang majlis-majlis ilmu yang disampaikan oleh para alim ulama yang benar di dalamnya. Menghalang orang berzikir dan beriktikaf di dalam masjid. Menghalang perlaksanaan fungsi masjid dan surau di dalam negara sehingga melambatkan proses pentarbiahan dan pendidikan Islam di kalangan umat.

Dalam Surah al Baqarah ayat 114 Allah berfirman :

"Siapakah yang lebih zalim daripada golongan yang menghalang masjid-masjid Allah daripada disebut di dalamnya (zikir) terhadap nama Allah (solat), malah mereka berusaha pula memusnahkan (fungsinya). Golongan penzalim tersebut hanya wajar masuk ke masjid dalam keadaan gentar dan takut. Untuk mereka kehinaan di dunia; manakala di akhirat disiapkan untuk mereka seksa yang sangat besar (dan pedih)."
3. Menyembunyikan kesaksian yang benar.

Atau "Katmu al Syahadah" apabila diperlukan. Enggan mengajukan kesaksian di mana kebenaran terletak dalam kesaksian yang ada pada seseorang adalah suatu kezaliman. Keengganan menampilkan kesaksian yang benar menyelamatkan orang tertuduh yang tidak berdosa menyebabkan pelaku kejahatan yang sebenar terlepas manakala orang yang tidak berdosa dihukum bunuh atau dianiaya.

Keeangganan tampil sebagai saksi kes sebenar yang menyaksikan kejahatan tersebut adalah suatu kezaliman yang nyata.

Mengundi dalam sistem peralihan kuasa yang benar dan adil adalah suatu kewajipan agama. Hal ini kerana mengundi dan melantik pemimpin masyarakat dan negara adalah termasuk dalam kewajiban menunaikan kesaksian.

Tidak melaksanakan kewajipan ini adalah suatu kejahatan menyembunyikan kesaksian yang diperintahkan oleh Allah. Malah golongan yang mati dan tidak pernah membai’ah atau mengundi dan melantik pemimpin adalah mati dalam jahiliah sepertimana yang ditegaskan oleh Rasulullah dalam hadis Baginda (maksudnya), "Siapa yang mati tapi tidak pernah membai’ah pemimpin maka matinya adalah kematian dalam jahiliah."

Selanjutnya mengundi dan melantik orang yang tidak wajar dilantik menurut syarak adalah juga suatu kejahatan menyembunyikan kesaksian yang benar sepertimana yang dituntut oleh ayat ini.

Menjadi saksi palsu, menjungkir-balikkan kebenaran menjadi kebatilan; orang yang tidak berhak mendapat hak, manakala pemilik hak yang sebenar teraniaya adalah suatu kejahatan yang terangkum dalam perkara zalim. "Syahadatuzzur" adalah suatu dosa besar dalam Islam. "Dosa besar yang paling besar ialah mengajukan kesaksian palsu." (riwayat Bukhari)

4. Tidak menghukum dan memerintah menurut hukum dan undang-undang yang Allah turunkan.

Menghukum dan memerintah tidak berdasarkan firman dan perintah Allah dalam syariat-Nya adalah suatu kezaliman. Dalam negara umat Islam kini terdapat banyak pemerintah yang tidak melaksanakan syariat dan undang-undang Islam, tetapi mereka mendakwa bahawa mereka adalah pelaksana Islam yang bertamadun, Islam progresif, Islam moden dan sebagainya. Dalam masa yang sama mereka mengkhianati amanah Allah, amanah umat dan mensia-siakan hak orang Islam yang mereka wakili. Ini adalah musibah yang mengelirukan ramai orang sehingga menyebabkan mereka menjadi penyokong fanatik kepada golongan zalim tersebut.

5. Merampas tanah hak orang lain termasuk golongan fakir miskin dengan zalim demi kepentingan golongan kaya.

Penyokong kebenaran selalu berhadapan dengan tindakan zalim pemerintah tertentu. Tanah dan hak mereka dirampas atau dilambat-lambatkan perlaksanaan kesan atau ketentuan transaksi yang telah dijalankan.

Rasulullah bersabda (maksudnya), "Siapa yang merampas walau sejengkal tanah (orang lain) secara aniaya nescaya Allah akan menghempitkannya dengan tujuh lapis (petala) tanah atau bumi pada hari kiamat kelak." (riwayat Ibn Majah)

6. Memenjara, menghukum bunuh dan menyeksa tahanan tanpa diadili dan tanpa sabit kesalahan adalah kezaliman yang nyata.

Pemerintah yang melakukan kezaliman dan tidak berlaku adil kepada rakyatnya akan diseksa oleh Allah dengan seksaan yang berat dan pedih. Rasulullah bersabda (maksudnya), "Orang yang paling dahsyat diseksa pada hari Kiamat kelak ialah pemerintah yang zalim." (riwayat Abu Ya’la)

Dalam Musnad Imam al Rubai’ diriwayatkan hadith berikurt, "Allah melaknat orang yang memerintah umatku dengan zalim dan mengaut harta fai’ nya (harta milik awam) untuk kepentingan dirinya."

http://www.tarbawi.my/

No comments:

Post a Comment