Anggota
Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Permas, Datuk Seri Mohamed Khaled
Nordin mengangkat sumpah sebagai menteri besar Johor yang baru hari ini.
Mohamed
Khaled yang juga bekas menteri pengajian tinggi, mengangkat sumpah
jawatan di hadapan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar
di Dewan Undangan Negeri, Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan, di
Johor Baharu kira-kira 10.40 pagi ini.
Beliau mengambil alih
jawatan menteri besar Johor daripada Datuk Abdul Ghani Othman yang
memegang jawatan itu selama 18 tahun bermula daripada 1995.
Turut
mengangkat sumpah hari ini ialah sembilan Adun daripada Barisan
Nasional (BN) bagi mengisi sembilan jawatan sebagai anggota Majlis
Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).
Pada pilihan raya umum ke-13
(PRU13) baru-baru ini, BN Johor berjaya memenangi 38 kerusi DUN daripada
56 yang dipertandingkan dan 21 daripada 26 kerusi parlimen.
Pada
PRU-13 lepas, Mohamed Khaled memenangi kerusi DUN Permas selepas
menewaskan calon PAS, Syed Othman Abdullah dengan majoriti undi sebanyak
5,752, manakala Abdul Ghani pula tewas bertanding di kerusi parlimen
Gelang Patah menentang Penasihat DAP Lim Kit Siang.
Mohamed
Khaled ketika berucap pada majlis angkat sumpah itu berkata beliau
bersyukur atas kepercayaan yang diberikan Sultan Johor untuk memegang
jawatan Menteri Besar Johor.
"Patik bersyukur dan menjunjung
setinggi-tinggi kasih di atas limpah perkenan dan kepercayaan Tuanku
kerana melantik patik sebagai menteri besar. Sesungguhnya segala amanah
dan tanggungjawab akan dilaksanakan dan dipelihara sebaiknya dalam
melaksanakan tugas sebagai menteri besar," katanya.
Pada majlis
yang turut dihadiri Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim,
anggota Majlis Jumaah Diraja dan Adun lain yang termasuk daripada
pembangkang, beliau berjanji akan menjalankan tugas dengan jujur demi
rakyat.
Mohamed Khaled turut mengucapkan terima kasih kepada
seluruh rakyat Johor kerana memberikan mandat baru kepada BN untuk terus
memimpin dan mentadbir negeri di selatan tanah air ini dengan adil.
"Kerajaan negeri akan terus membela kepentingan dan penuhi harapan segenap lapisan masyarakat," katanya.
Sementara
itu sembilan Adun yang dilantik sebagai anggota Exco termasuk dua yang
dilantik semula serta seorang wakil rakyat daripada MCA yang dilantik
sendiri oleh Sultan Johor bagi mewakili masyarakat Cina di Johor.
Sultan Johor mempunyai hak melantik sendiri anggota exco kerajaan negeri di bawah Undang-Undang Tubuh Negeri Johor 1895.
MCA
sebelum ini memutuskan untuk menolak sebarang jawatan di peringkat
kerajaan persekutuan dan negeri berikutan kekalahan teruk parti itu pada
PRU13.
Mereka yang dilantik semula sebagai anggota Exco ialah
Md Jais Sarday (DUN Mahkota) sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan,
Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta Asiah Ariff (DUN Johor Lama)
sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga.
Wakil
masyarakat Cina yang dilantik sebagai anggota Exco ialah Datuk Tee Siew
Kiong (DUN) Pulai Sebatang sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan,
Perdagangan dan Kepenggunaan.
Tee juga merupakan Setiausaha Publisiti Kebangsaan MCA.
Lain-lain
anggota exco termasuk Hasni Mohamad (Benut) sebagai Pengerusi
Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dan
R.Vidyanathan (DUN Kahang) sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan dan
Sumber Manusia.
Selain itu, Abdul Mutalib Abdul Rahim (DUN
Layang-Layang) pula dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Agama, Latif
Bandi (DUN Endau) sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan
Tempatan dan Ismail Mohamad (DUN Bukit Serampang) sebagai Pengerusi
Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani.
Ketua Pemuda Umno
Johor Datuk Zulkurnain Kamisan yang juga anggota DUN Sri Medan pula
dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan
Warisan.
-Bernama
No comments:
Post a Comment