Muhammad Hafiz Mansor, |
Negara Malaysia hari ini mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi
berparlimen, iaitu suatu bentuk pemerintahan yang menggunakan pungutan
suara rakyat sebagai asas dalam pemilihan kerajaannya. Ini merupakan
salah satu komponen utama dalam pengamalan demokrasi bagi mana-mana
negara yang telah mencapai status kemerdekaan.
Sumber harakahdaily
Demokrasi adalah suatu ideologi politik yang menekankan kepada konsep
kebebasan dan kedaulatan yang bertunas daripada fahaman liberalism itu
sendiri. Pada asasnya, demokrasi mempunyai tujuh asas utama yang mesti
menjadi pengamalan negara-negara demokrasi iaitulah wujudnya kebebasan
bersuara, media massa yang bebas dan berkecuali, pilihan raya diadakan
secara konsisten, bebas dan adil, ada kebebasan berorganisasi dan
berpersatuan, pemerintahan berasaskan majoriti, hak golongan minoriti
dihormati dan akhir sekali wujud badan kehakiman yang senantiasa bebas
dan berkecuali.
Sebagai sebuah medan untuk meraih sokongan dan keyakinan rakyat
terhadap pemimpin, pilihanraya dilihat dari sudut kaca mata Islam
sebagai sebuah medan jihad kerana jihad didefinisikan sebagai
melaksanakan sesuatu usaha dengan cara bersungguh-sungguh.
Dalam hal ini, ianya merujuk kepada usaha untuk meninggikan kalimah
Allah dan meletakkan syi’ar Islam di tempatnya yang tertinggi. Dewasa
ini, pilihan raya menjadi medium yang paling tepat untuk dimanfaatkan
sebagai sebuah wasilah bagi mendapatkan kuasa pemerintahan seterusnya
membolehkan hukum Allah ditegakkan di atas muka bumi ini.
Sirah Rasulullah SAW pernah mengukir hakikat bahawa Baginda SAW
sendiri telah mengisytiharkan jihad perang sebagai wajib kepada kaum
Muslimin dalam usaha memerangi golongan kuffar, menentang kezaliman
serta menegakkan keadilan sejagat. Hal ini kerana, Islam pada masa itu
mendapat tentangan musuh dengan cara berperang dan mengangkat senjata.
Mengambil kira konteks di Malaysia, jihad pilihan raya menjadi satu
kewajipan dalam memastikan cita-cita meletakkan kalimah Allah di tempat
tertinggi tercapai, yakni dengan menjadikan pilihan raya sebagai medium
terpenting untuk mengembalikan keamanan, melawan kezaliman sehingga
keadilan dapat dinikmati oleh masyarakat daripada semua golongan.
Merujuk kepada kaedah usul Fiqh (bermaksud): (Tidak akan sempurna
sesuatu yang wajib melainkan melaksanakan sesuatu perkara, maka
melaksanakan perkara tersebut adalah wajib.)
Wajibnya melaksanakan hukum Islam di atas muka bumi menjadi asbab
kepada wajibnya untuk umat Islam menyertai pilihanraya di Malaysia,
hatta di mana-mana negara yang turut mengamalkan sistem yang sama. Tugas
melantik pemimpin menjadi tanggungjawab setiap rakyat marhaen kerana
pemimpin memainkan peranan utama yang menyelamatkan rakyatnya daripada
kebinasaan di dunia dan akhirat.
Setiap pemimpin akan dipersoalkan di akhirat kelak mengenai golongan
yang berada di bawah pimpinnya. Oleh itu, adalah amat penting bagi
masyarakat sesebuah negara supaya sentiasa bersikap teliti dan
berhati-hati dalam memilih golongan yang akan memimpin mereka kerana
golongan inilah yang akan memandu mereka sama ada menuju keberhasilan
atau kemusnahan.
Realiti yang sedang berlaku di Malaysia masih belum menampakkan
tanda-tanda yang positif dan sinar harapan ke arah merealisasikan
cita-cita meletakkan kalimah Allah di puncak tertinggi. Korupsi yang
bermaharajalela baik dalam kalangan pemimpin peringkat atasan mahupun
peringkat bawahan, pelanggaran syari’ah secara terang-terangan dan
berleluasa, terhakisnya norma-norma masyarakat lantaran iman yang
semakin menipis saban hari menyebabkan sukarnya untuk kezaliman
dihapuskan dan keadilan untuk ditegakkan. Jauhnya umat Islam hari ini
daripada Al-Quran dan As-Sunnah bermula daripada peringkat kepimpinan
sehinggalah kepada golongan yang dipimpin menjadikan keadaan masyarakat
Islam semakin genting.
Pemimpin yang zalim dan menyalahgunakan amanah yang telah diberikan
serta menindas rakyat demi memuaskan nafsu sendiri perlu digantikan
dengan mereka yang benar-benar telus dan jujur untuk memimpin.
Allah SWT telah memberi peringatanNya berdasarkan surah an-Nahl ayat
90 yang bermaksud: “Sesungguhnya Tuhan memerintahkan supaya menjalankan
keadilan, berbuat kebaikan dan memberi kepada kerabat-kerabat dan Tuhan
melarang perbuatan keji, perlanggaran dan penderhakaan. Dia mengajar
kamu supaya kamu mengingat.”
Ayuh kembali kepada manual kehidupan dunia dan akhirat kita, al-Quran
dan as-Sunnah, sebagai menyambut seruan Allah SWT agar kembali kepada
keduanya jika ada perkara yang kita persilihkan. Sesungguhnya keadilan
di muka bumi Malaysia ini tidak akan tertegak selagi mana al-Quran dan
as-Sunnah tidak dijadikan sumber rujukan pemerintahan. Sama ada Islam
memerintah atau kita akan terus dizalimi, pilihan di tangan anda.
Bantah kezaliman, tegakkan keadilan!
Penulis ialah Timbalan Presiden Ma'ruf Club UIAM
No comments:
Post a Comment