Oleh Abu Dzar Al-Ghifari,
MUQADDIMAH
Memang tidak dapat dinafikan bahawa ibu bapa adalah agen utama dan yang pertama mesti memainkan peranan melaksanakan tanggungjawab mengasuh, mendidik mengajar serta membimbing anak-anak mereka untuk menjadi pewaris pelapis kepada generasi yang cemerlang ilmu dan akhlaknya di dunia dan di akhirat. Sekaligus membentuk anak-anak yang bukan sahaja boleh dijadikan cermin generasi tetapi juga sebagai pejuang kepada amar makruf dan nahi mungkar, bahkan sebagai khalifah di muka bumi ini sekaligus sebagai ulamak pewaris para nabi.
Kelalaian, kelemahan, kesilapan atau kesalahan ibu bapa dalam mentarbiah anak-anak mereka adalah saham terbesar dalam menambahkan lagi jumlah generasi pincang, bermasalah, terpesong, sampah masyarakat, musuh negara serta perosak agama.
Maka pengetahuan ibu bapa dalam kaedah mentarbiah anak-anak perlu dipertingkatkan sesuai dengan kemajuan dan kemodernan dunia yang serba canggih, dengan mengumpul, mendalami serta mempraktikkan segala maklumat terkini yang sesuai untuk diterapkan dalam agenda memantapkan syaksiah diri lalu cuba menterjemahkannya dalam agenda pendidikan anak-anak.
Ibu bapa yang jumud dalam kekolotan akan terus menghadapi masalah kekalutan dan kemelut dalam menghadapi ledakan arus permodernan yang akan menyebabkan mereka dipandang remeh, bahkan dianggap sebagai penghalang kepada kebebasan anak-anak mereka yang mergelumang dengan berbagai ledakan budaya songsang yang mereka anggap sebagai aliran peredaran zaman yang patut diikuti dan dicontohi.
Kegagalan ibu bapa dalam memperlengkapkan diri dengan elemen-elemen yang sepatutnya ada pada diri ibu bapa cemerlang adalah sebagai punca sebenar kegagalan membentuk generasi yang bukan sahaja berilmu bahkan berakhlak mulia.
Pendek kata ibu bapa harus menjadi cermin, ikutan, contoh teladan yang baik kepada anak- anak mereka dalam segenap segi. Hanya ibu bapa yang benar-benar cemerlang dunia akhiratnya sahaja yang layak mengimpikan anak-anak yang cemerlang ilmu dan akhlaknya. Maka sentiasalah berusaha dan berdoa untuk menjadi ibu bapa cemerlang seiring dengan usaha membentuk generasi yang cemerlang.
PERANAN IBU BAPA
Peranan bermakna satu kewajiban melaksanakan tugas dan tanggung jawab yang dipikul sebagai amanah yang mana hasilnya yang manis akan kita kecapi sebagai ganjaran kepada kejayaan kita. Manakala hasilnya yang pahit akan kita kecapi dan kita telan sebagai bukti kegagalan kita sendiri.
Peranan ibu bapa dalam membentuk generasi berilmu dan berakhlak ke arah kecemerlangan dunia dan akhirat, tidak terbatas dalam lingkungan rumah tangga semata-mata, sedangkan di luar rumah, kita serahkan bulat-bulat kepada peranan orang lain, sedangkan dalam masa yang sama kita akan marah kalau anak kita dimarahi atau ditegur kesalahannya oleh orang lain. Tetapi peranan ibu bapa itu bukan sahaja harus dimainkan terhadap anak mereka sendiri semasa di dalam rumah dan di luar rumah malah terhadap anak-anak jiran, rakan, hingga kepada sesiapa sahaja, sesuai dengan firman Allah yang terdapat dalam Suratul 'Asr yang sering kita baca, iaitu berpesan-pesan kepada (melakukan) kebenaran dan berpesan-pesan kepada (mengamalkan) sifat kesabaran, sebagai bukti kita orang yang beriman dan beramal soleh, golongan manusia yang beruntung. Manakala manusia yang bersikap sebaliknya adalah golongan orang yang rugi.
Sebenarnya agenda mentarbiah anak itu bermula sejak dari proses mencari jodoh, proses persenyawaan berlaku hinggalah kepada anak itu mampu berdikari bahkan sehingga anak kita itu dijemput kembali kepada Allah.
Semasa nak-anak masih dalam lingkungan usia yang belum layak dihantar untuk mengikuti pendidikan formal dikelas-kelas TADIKA, TABIKA atau TASKI, maka ketika itu ibu bapa adalah segala-galanya buat mereka. Ibu bapa adalah guru kepada mereka dalam pendidikan informal dalam institusi keluatga, yang mana anak-anak mendapat pendidikan dari ibu bapa mereka secara lisanul hal (praktik) dan lisanul maqal (teori) sebagai ikutan dan contoh teladan kepada mereka. Bahkan sekalipun mereka telah mendapat pendidikan formal dari guru dalam institusi persekolahan, ibu bapa masih tetap berperanan sebagai pemegang saham terbesar dalam memainkan peranan mentarbiah anak-anak mereka.
Ibu bapa bertanggung jawab meluntur anak-anak mereka sejak mereka masih rebung supaya senang dibentuk sesuai dengan kecemerlangan yang diidam-idamkan. Kalau kita gagal meluntur buluh dari rebungnya, maka kita akan berhadapan dengan risiko yang semakin rumit untuk melenturnya. Dalam hal ini Pepatah Melayu ada mengingatkan kita "MELENTUR BULUH BIAR DARI REBUNGNYA" maknanya, mendidik anak itu biar dari masa kecilnya, kerana anak-anak yang dilahirkan itu bagaikan kain putih, maka terpulanglah kepada ibu bapa untuk mencorak-warnakannya mengikut kemahuan mereka. Rasulullah S.A.W. pernah bersabda yang bermaksud : "Setiap bayi yang dilahirkan adalah dalam keadaan fitrah (suci bersih/Islam), maka ibu bapanyalah (yang berperanan) menjadikannya (samada) Yahudi, Nasrani atau Majusi".
Maknanya kalau anak kita (muslim) berperangai seperti orang (kafir) Yahudi atau Nasrani atau Majusi, itu adalah bukti kegagalan kita mengislamkan perangai mereka. Jika anak-anak kita mengagong-agongkan budaya negatif dari barat seperti "rock","punk" menagih dadah, pergaulan bebas dan lain-lain, itu membuktikan kita gagal menerapkan ajaran suci Islam dalam diri mereka, mungkin juga dalam diri kita sendiri.
ANAK-ANAK TERLANJUR MENJADI BULUH, BESI ATAU BATU
Jika kita terbukti gagal mendidik anak semasa rebungnya, kita sebenarnya mendedahkan diri kita kepada risiko yang rumit untuk membentuknya. Walau bagaimanapun peranan kita sebagai ibu bapa masih tetap wajib dilaksanakan. Untuk melentur buluh kita terpaksa menggunakan api untuk melembutkannya, pun begitu silap langkah, buluh akan pecah atau patah, jadi kita harus berhati-hati. Perkara ini perlu kepada kemahiran dan pengalaman serta maklumat yang luas untuk melihat hasilnya yang memuaskan.
Kalau anak telah terlanjur menjadi besi, untuk melembutkannya, mencairkannya dan membentuknya semula menjadi semakin rumit. Kita terpaksa menggungkan api yang berkuasa tinggi untuk meleburkannya baru dapat membentuknya semula, sekali lagi kita perlu mempunyai kemahiran dan pengalaman yang tinggi.
Kalau anak telah keras menjadi batu, berhati batu, kepala batu, telinga batu, kita terpaksa melembutkannya dengan menggunakan air atau terpaksa menggunakan berbagai alat untuk membentuknya, atau kita terpaksa menghancurkannya menjadi serbuk baru boleh membentuknya semula. Ini sudah tentu lebih rumit, sekali lagi mahu tidak mahu kita perlu sentiasa menambahkan kemahiran dan pengalaman.
Kemahiran dan pengalaman sahaja tidak mencukupi tanpa melengkapkan diri kita dengan segala sifat yang terpuji seperti sabar, rajin, tekun dan lain-lain. Sifat-sifat ini juga tidak akan pernah wujud dalam diri kita seandainya kita tidak mahu menginsafi segala kesalahan, kesilapan, keterlanjuran, pendek kata segala dosa kita. Justeru itu kita hendaklah memperbanyakkan taubat dan istigfar memohon ampun kepada Allah SWT kerana kita telah gagal melaksanakan tanggung jawab yang telah diamanahkan kepada kita. sambil memohon ampun kita terus melipat-gandakan usaha mentarbiah diri dan zuriat kita disamping tidak putus-putus berdoa.
KENAPA ANAK-ANAK MENJADI DEGIL?
Ada beberapa faktor yang menjadi penyebab mengapa anak-anak kita bersifat degil atau lebih dahsyat lagi derhaka. Faktor-faktor ini adalah akibat kegagalan ibu bapa menunaikan amanah Allah SWT dalam membentuk keperibadian anak.
Faktor Pertama : BALASAN
Sebenarnya resiko yang kita terima sekarang ini adalah balasan kepada sikap dan sifat kita terhadap ibu bapa kita semasa kita kecil dahulu. Sudah tentu ibu bapa kita semasa kecilnya juga bersifat seperti kita (degil/derhaka). Kesalahan ini kait mengait antara kita dan ibu bapa kita sebagai balasan Allah SWT. Ini ditambah dengan keingkaran anak menurut kata, juga kesalahan ibu bapa tidak melaksanakan tanggung jawab (amanah Allah SWT) mendidik anak mengikut kehendak Allah SWT. Jadi kesalahan anak ialah kerana gagal berbuat baik kepada ibu bapa, manakala ibu bapa pula gagal membentuk mereka menjadi anak yang mengikut kebaikan. Anak-anak sepatutnya berbuat baik kepada ibu bapa seperti mana ibu bapa berbuat baik kepada mereka, mudah-mudahan anak-anak mereka (cucu-cicit ) nanti berbuat baik kepada mereka sebagai balasan kepada perbuatan baik mereka. Kalau sebaliknya maka sebaliknyalah pula yang bakal kita terima. Ini jelas disebutkan dalam sebuah hadis Nabi SAW yang bermaksud : "Berbuat baiklah kamu kepada kedua ibu bapa kamu, nescaya anak-anak kamu akan berbuat baik kepada kamu". Berbuat baik di sini meliputi segala aspek kehidupan dan juga tuntutan agama Islam itu sendiri. Ini bermakna tidak timbul anak derhaka akibat (balasan) dari ibu bapa yang derhaka kepada ibu bapa mereka dahulu, seandainya masing-masing mahu berbuat baik
Faktor Kedua : KECUAIAN/KEGAGALAN MENDIDIK
Anak kita menjadi degil atau derhaka adalah disebabkan oleh kecuaian atau kegagalan kita sebagai ibu bapa mendidik mereka mengikut lunas-lunas yang disarankan oleh agama. Rasulullah SAW pernah bersabda yang Bermaksud : "Suruhlah anak-anak kamu mendirikan solat (sembahyang) ketika mereka berumur tujuh tahun dan pukullah mereka (jika enggan) ketika mereka berumur sepuluh tahun dan pisahkanlah tempat tidur mereka (dari ibu bapa dan juga dari adik beradik mereka yang berlainan jenis/jentina). Rasulullah SAW menegaskan betapa peri pentingnya ibadat solat didirikan, sehingga Baginda menyuruh kita mengarahkan anak-anak kita melakukan solat itu semasa mereka baru berumur tujuh tahun. Suruhan itu begitu tegas sekali apabila Baginda menyuruh kita menggunakan rotan tatkala anak yang berumur sepuluh tahun enggan mendirikannya.
SOLAT / SEMBAHYANG?
Kenapa solat atau sembahyang pula dikaitkan dengan agenda mentarbiah generasi berilmu dan berakhlak ke arah kecemerlangan dunia dan akhirat?
Sebagai menjawab pertanyaan ini, Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud :
"Solat/sembahyang itu tiang agama, sesiapa yang mendirikannya sesungguhnya ia telah mendirikan agamanya, sesiapa yang meninggalkannya sesungguhnya ia meruntuhkan agama".
Allah SWT telah berfirman di dalam Surah Al-'Ankabuut ayat : 45 yang bermaksud :
"Bahawa sesungguhnya sembahyang itu (boleh) mencegah (orang yang mendirikannya) dari (melakukan) perkara yang keji dan mungkar (jahat)".
Kedua-dua NAS yang tersebut sudah cukup untuk membuktikan betapa solat atau sembahyang itu satu perkara yang amat penting dalam arus pendidikan anak-anak ke arah melahirkan anak-anak yang soleh dan solehah, pewaris kecemerlangan dunia dan akhirat. Kerana orang yang taat melaksanakan solat itu sentiasa berada dalam peliharaan Allah SWT. Terpelihara dari dosa, maksiat dan kemungkaran. Bahkan mereka sentiasa berada di bawah pimpinan Allah SWT kepada sifat taat, taat kepada ibu bapa, guru, juga kepada Allah SWT dan RasulNya SAW, serta sifat-sifat terpuji seperti sabar, rajin, tekun dan sebagainya.
ROTAN/PUKUL-DERA?
Menggunakan rotan dalam kaedah pendidikan Islam adalah satu cara psikologi yang paling berkesan yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW seperti hadis yang baru kita ikuti tadi, dan disokong oleh sebuah hadis lagi yang bermaksud :"Allah SWT memberkati rumah yang di dalamnya ada digantung rotan".
Rotan bukan digunakan untuk mendera anak, tetapi fungsinya yang sebenar ialah untuk tujuan pendidikan. Kalau kita memukul anak yang enggan mendirikan sembahyang sedang ia telah berumur sepuluh tahun, apatah lagi yang telah 'Aqil Baligh mestilah dengan cara dan kaedah yang betul yang benar-benar bertujuan untuk mendidik, bukan mendera atau menyeksa anak. Perbuatan merotan yang didorong oleh niat yang ikhlas kerana menjalankan perintah Rasulallah SAW itu boleh menghalau syaitan yang bersarang dalam jiwa anak-anak kita. Tetapi merotan anak dengan sesuka hati dan tujuan mendera, hanya akan menyebabkan anak kita menjadi konco-konco syaitan yang menanamkan sifat dendam, benci, marah dan sebagainya.
KITA DAN ROTAN
Kalau kita di rumah tidakpun merotan anak kita yang layak dirotan, di luar rumah kita tidak dapat pastikan bahawa anak kita tidak menerima hukuman kepada kesalahan yang dilakukannya. Guru disiplin dan guru besar atau pengetua kini diberi lesen untuk menggunakan rotan. Lagipun yang mana lebih baik, di rumah kita gunakan rotan dan diluar anak kita menjadi manusia baik, atau kita tak pernah merotan anak hingga anak kita jadi pelesit lalu ditangkap oleh pihak berkuasa dan disumbat ke dalam penjara kerana kesalahan jenayah dan sebagainya.
Anak yang tidak pernah dirotan oleh ibu bapa akan menganggap diri mereka anak manja atau anak emas. Anak yang merasa diri mereka raja di dalam rumah akan menampakkan sikap yang degil seterusnya membawa kepada derhaka.
Namun demikian kita harus menggunakan rotan dengan cara yang berpatutan, bersesuaian dengan tujuan sebenar untuk memberi pendidikan. Kerana kalau tersilap langkah maka lain pula jadinya. Dalam hal ini kita jangan menjadi bapa ketam yang menyuruh anaknya berjalan betul sedangkan dirinya sendiri berjalan mengiring/mereng. Ini bermakna kita kenalah mempraktikkan pendidikan lisanul hal (amali/praktik), supaya anak-anak akan menjadikan kita sebagai 'role model' kepada diri mereka.
TINDAKAN SUSULAN
Kalau kita telah berjaya membentuk anak-anak kita mengikut acuan cemerlang seperti yang kita kehendaki sesuai dengan tuntutan agama yang disarankan oleh orang yang tidak akan bercakap kecuali yang diwahyukan kepadanya iaitu Nabi Muhammad SAW. Kita tidak harus bergoyang kaki atau berpuas hati. Ini adalah kerana anak kita sudah tentu akan terjun ke medan juang yang sudah tentu sitausinya lebih mencabar. Bukan sahaja mencabar kewibawaan ilmu pengetahuannya tetapi yang amat dikhuatiri ialah gejala yang boleh memesongkan akhlaknya lebih tepat lagi imannya. Berjuang ditengah-tengah mesyarakat walau apapun arena yang diceburinya, sudah tentu bergelut dengan berbagai ragam manusia itu sendiri. Apa yang paling merbahaya ialah pengaruh persekitaran dan rakan sebaya yang rata-rata menjurus ke arah ledakan budaya negatif, yang bukan sahaja melambai-lambai bahkan kadang-kala mengheretnya secara paksa.
Oleh itu kita sebagai ibu bapa tidak harus lalai dan leka dari terus memberi tumpuan perhatian terhadap segala aktiviti yang diceburi serta terus meneliti perkembangan anak kita dari masa kesemasa. Jangan biarkan mereka tergelencir, lalu hanyut dibawa arus nafsu dan syahwat yang dikemudikan oleh syaitan yang durjana. Kita mestilah terus membuat tindakan susulan yang berkesinabungan dari masa kesemasa, tanpa mengenal jemu dan bosan, pendek kata tiada istilah 'pencen' bagi ibu bapa selagi mereka masih menghirup udara Tuhan. Ibu bapa hanya akan 'pencen' dan menerima ganjaran dari 'pencen' tersebut apabila telah kembali 'kerahmatullah'. Ibu bapa akan menerima ganjaran yang setimpal dengan tugas serta tanggungjawab yang telah mereka laksanakan di dunia. Di dalam 'barzakh' (alam kubur) mereka akan sentiasa menerima 'dividen' dan 'bonos' yang diperolehi dari kiriman yang berterusan dari seorang anak yang 'soleh'. Ini jelas disebutkan dalam sebuah hadis yang bermaksud :
"Jika mati anak Adam terputuslah segala amalannya (pahalanya) kecuali dari tiga perkara; Sedekah 'Jariah', ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang mendoakannya".
Untuk melihat sesuatu hasil, sudah tentu perlu kepada usaha yang berterusan yang tidak mengenal penat lelah, bahkan usaha itu dilakukan adalah semata-mata ikhlas kerana melaksanakan perintah Allah SWT. Usaha ke arah melahirkan anak yang soleh adalah tanggungjawab ibu bapa sebagai amanah dari Allah SWT. Oleh kerana ganjaran yang bakal diterima di alam 'barzakh' (kubur) begitu lumayan sekali, maka usaha untuk melahirkan anak yang soleh itu sudah tentu berat, rumit dan sukar sekali sesuai dengan ganjaran yang bakal diterima.
ANAK YANG SOLEH
Untuk mempastikan anak-anak terus soleh dalam hidup dan penghidupannya, sebagai tindakan susulan yang berterusan maka perkara-perkara berikut mestilah berjalan seiring sebagai motivasi dan galakan kepada mereka supaya terus kekal dalam kesolehannya.
PERANAN KITA SETERUSNYA IALAH:
1. Memberi semangat.
2. Memberi dorongan.
3. Memberi galakan.
4. Memberi perangsang.
5. Mengambil berat.
Kesemua elemen tersebut hendaklah sentiasa berlaku dengan penuh hikmah dan bijaksana. Antara kelima-lima elemen tersebut, yang paling penting sekali ialah "Mengambil Berat". Ini adalah kerana, ramai anak-anak merasa diri mereka tidak dikasihi, tidak disayangi apabila ibu bapa gagal mengambil berat tentang diri mereka. Ada dikalangan anak-anak yang semacam sengaja melakukan sesuatu yang tidak disukai oleh ibu bapa mereka semata-mata menagih simpati dan perhatian dari ibu bapa mereka yang pada anggapan mereka telah tidak mempedulikan mereka lagi.
Mereka berharap dengan melakukan satu-satu kesilapan, ibu bapa akan kembali memberi perhatian terhadap mereka. Perasaan ini selalu wujud dalam jiwa remaja. Akhirnya mereka akan bertindak membelakangkan ibu bapa dan ketika itu pengaruh rakan sebaya menjadi alternatif kepada kekosongan jiwa yang mereka rasakan. Sebenarnya orang yang paling cepat merebut peluang mengisi kekosongan jiwa mereka ialah "syaitanir Rajim", lalu syaitan dan segala konconya memainkan peranan proaktif untuk mempastikan mangsanya benar-benar masuk ke dalam jeratnya. Matlamat yang ingin dicapai oleh syaitan ialah supaya anak itu menjadi derhaka kepada ibu bapanya, kemudian ia akan terus memujuk anak itu supaya mengikut telunjuknya sehingga matlamatnya yang terakhir berjaya iaitu menyeret anak itu masuk ke dalam neraka.
MENGAMBIL BERAT
Mengambil berat, ambil hirau atau ambil pusing atau ambil peduli sepatutnya menjadi 'rutin' kepada ibu bapa, kerana kalau perkara ini hanya berlaku sekali sekala sahaja sudah tentu tidak akan mendatangkan kesan yang memuaskan, bahkan mungkin anak-anak boleh tersalah anggap terhadap tindakan kita yang boleh menimbulkan rasa jengkel dan meluat dalam diri mereka. Kalau sikap mengambil berat ini menjadi rutin dalam kemeseraan antara ibu bapa dan anak-anak, sudah tentu anak-anak akan meresa diri mereka diambil berat diambil pusing, yang ditafsirkan oleh perasaan murni mereka sebagai kasih dan sayang.
Perkara-perkara yang sepatutnya diambil berat atau yang patut sentiasa dihiraukan sebagai rutin antaranya ialah:
1. Bagaimana dengan peralatan atau kelengkapan, keperluan anak kita? Adakah ianya mencukupi?Tidakkah anak kita kekurangan apa yang dia perlukan, atau apakah yang kita sediakan lebih dari mencukupi atau ianya terlalu berlebihan. Kalau ia tidak mencukupi sudah tentu ia perlu meminjam dari kawan-kawan, ini mungkin akan mengajar anak kita sifat kurang baik, kerana kalau ia terbiasa meminjam sudah tentu ia akan mendapat cemuhan dari kawan-kawan. Cemuhan ini akan bertambah serius jika anak kita dituduh menghilangkan apatah lagi dituduh mencuri. Tetapi kalau yang kita sediakan terlalu berlebihan, akan lain pula jadinya. Kalau hanya setakat 'spend' kawan sahaja tidaklah menjadi hal, tetapi apa yang kita takutkan, dia akan membeli benda-benda yang tidak berfaedah, melalaikan dan merosakkan atau yang kita tidak ingini ia akan menjadi mangsa peras ugut rakan sebaya.
2. Bagaimana perkembangan anak-anak kita semasa berada di sekolah, atau di tempat kerjanya, perkembangan prestasinya yang berkaitan dengan akademik dan juga akhlaknya, atau mutu kerjanya. Adakah kerjayanya kini perlu kita beri pujian atau insentif?Apakah sebenarnya insentif yang bersesuaian untuk kerjayanya? Tetapi kalau kita hanya memandang sepi segala kemajuan yang ditunjukkan (dicapai), mereka mungkin berangapan yang diri mereka tidak lagi diberi perhatian. Inilah perkara yang patut kita sering ingat dan cuba elakkan dari pernah berlaku.
3. Bagaimana akhlak dan disiplin anak-anak kita dalam bidang yang mereka ceburi? Kalau difikirkan mereka perlu diberi nasihat, motivasi atau tindakan yang lebih keras seperti rotan (rotan didikan), kita harus segera bertindak dengan bijaksana dan penuh hikmah. Kalau kita lambat apatah lagi gagal bertindak sewajarnya, kita akan menanggung resiko akibat kecuaian kita. Cuba fikirkan apakah pula yang patut kita ucapkan atau berikan seandainya ia memang terbukti berakhlak baik dan berdisiplin.
4. Kita mesti mengambil tahu hal keadaan anak-anak kita semasa mereka berada di rumah. Pastikan apapun yang mereka kerjakan adalah yang baik, bermanfaat dan jauh dari bahaya, samada bahaya pada fizikal mereka mahupun yang boleh membahayakan mental mereka, yang lebih utama ialah spiritual mereka. Apatah lagi jika mereka keluar atau di luar rumah. Membiarkan begitu sahaja, terlalu mudah mengizinkan, terlalu mudah untuk cuba dibohongi, adalah kesilapan besar yang akan membawa padah yang besar pula nanti. Kesilapan kita ini akan dijadikan ruang kesempatan untuk mereka mempelajari sifat-sifat negatif yang menjanjikan wujudnya anak derhaka. Jadi bertindaklah dengan bijaksana dalam mengawasi segala sepak terajang mereka setiap masa. Kita bukan sahaja berperanan sebagai ibu bapa, tetapi kita juga bertindak sebagai guru, bahkan sebagai polis atau 'mata-mata gelap' dalam mempastikan anak-anak kita benar- benar beraksi di atas paksi yang luhur yang dikehendaki oleh lunas-lunas agama.
MEMPERUNTUKKAN MASA
Kesemua apa yang telah dikatakan sebelum ini memerlukan pengorbanan yang tinggi dari para ibu bapa. Ibu bapa mestilah pandai memperuntukkan masa yang secukupnya untuk meladeni (melayani) karenah anak-anak. Sekali lagi kita harus bijaksana menguruskan masa kita. Jangan pula kerana sibuk mengurus anak-anak menyebabkan kita lalai terhadap tanggungjawab kita kepada tugas yang diamanahkan kepada kita oleh majikan kita, apatah lagi kalau sampai melalaikan kita terhadap tanggungjawab kita kepada Allah SWT dan Rasul SAW. Dalam hal ini Allah SWT telah memperingatkan kepada kita dengan firmannya yang bermaksud : "Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu dilalaikan oleh harta benda kamu dan anak-anak kamu dari mengingati (melaksanakan perintah) Allah, kerana barang sesiapa berbuat demikian maka merekalah orang yang rugi" (Surah Al-Munafiquun Ayat :9)
Dalam hal ini Pepatah Melayu juga ada mengtakan : "Bahawa masa itu adalah (umpama) emas". Ini menunjukkan masa itu terlalu berharga. Kalau kita gagal merebutnya maka kita akan rugi. Maka tidak heranlah kenapa Allah SWT sendiri bersumpah dengan (keutamaan) masa, seperti firmannya yang bermaksud:
"Demi masa, sesungguhnya manusia itu nescaya (berada) dalam kerugian. Kecuali orang- orang yang beriman dan beramal soleh (berlaku baik), dan berpesan-pesan dengan (menlaksanakan) kebenaran, dan berpesan-pesan dengan (mengamalkan sifat) kesabaran".
(Surah Al-'Asr)
BUKTI KEJAYAAN CEMERLANG
Kejayaan cemerlang atas segala usaha kita selama ini hanya akan berjaya dibuktikan oleh kita sendiri. Kita yang menjadi ketua rumah dapat membuktikan bahawa kita telah berjaya mengwujudkan 'keluarga bahagia' dalam rumah tangga kita. Sementara semua penghuni rumah itu dapat merasakan bahawa rumah yang mereka diami bagaikan syurga yang aman damai. Semua isi rumah akan mendokong slogan "Rumahku Syurgaku". Bahkan suasana tersebut juga dapat dihidu keharumannya oleh jiran tetangga mahupun para tamu yang datang berkunjung, yang tidak pernah diminta (komen) dari mulut mereka apapun pujian, tetapi bagaikan manis madu rasanya (mereka membuat komen) mengatakan bahawa suasana yang mereka rasai di dalam rumah kita bagaikan suasana sebuah syurga. Bahkan ibu bapa begini juga adalah orang yang memenuhi segala syarat yang perlu ada kepada ibu atau bapa "mithali", kerana kejayaannya membentuk keluarga bahagia dan cemerlang.
Ibu bapa ini juga kalau dia seorang pekerja yang menjawat apa-apa jawatan pun, di mana sahaja ia ditugaskan, bila-bila sahaja khidmatnya diperlukan, akan mempamirkan mutu
(kualiti) kerja yang berprestasi tinggi. Mereka ini berkhidmat dengan segala sifat-sifat yang terpuji, melaksanakan tugas dengan yang terbaik, bukan kerana inginkan pujian, amat teliti dalam segala tindakan dengan mengelakkan segala sifat-sifat yang keji bukan kerana takut kepada (kejian) caci dan maki dari sesiapapun. Mereka ini terbukti memenuhi segala syarat yang perlu ada kepada pekerja yang layak dianugerahi "Khidmat Cemerlang", bahkan majikannya tidak akan teragak-agak untuk mencalonkannya supaya dinaikkan pangkat atau dikurniai 'darjah-darjah' kebesaran dan lain-lain insentif.
BUKTI KECEMERLANGAN ANAK
Anak yang terdidik oleh ibu bapa cemerlang dengan kaedah-kaedah cemerlang akan menamatkan pengajiannya dengan cemerlang, bukan sahaja cemerlang akademiknya bahkan cemerlang peribadi dan jiwanya dengan akhlak yang mulia.
Walau apa bidang kerjaya yang diceburinya, dia tetap cemerlang. Sasaran utamanya adalah perkhidmatan yang terbaik, matlamatnya adalah kecemerlangan diri dan majikannya, bahkan kecemerlangan agamanya dapat dilihat dari mutu kerjanya yang sentiasa maju. Anak-anak ini tidak akan mudah dikelabui (dirasuah) dengan wang ringgit yang mungkin akan ditumbukkan kerusuknya. Ia sentiasa merasa diawasi oleh mata yang boleh melihat dalam keadaan terang mahupun gelap, yang nyata mahupun yang tersembunyi, DIA (Allah SWT) yang mewakilkan dua malaikat "Kiraman Katibin" yang tidak pernah lalai dari mencatat segala apa yang ia (juga kita semua) lakukan. Begitulah kuat imanya terhadap setiap rukun iman (yang enam) itu sendiri, sebagai bukti kecemerlangan dirinya.
Mereka ini menjalankan segala tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya dengan penuh kometmen, iltizam dan istiqamah, tanpa mengira masa dan tidak tertakluk kepada nilai upah atau gaji yang diterima, bahkan merasakan bahawa gaji yang diterimanya dari majikan bukanlah satu keutamaan yang boleh merampas keutamaan sifat ikhlas yang menjadi sifatnya yang paling utama dalam mencari keridaan Allah SWT.
KESIMPULAN
Seandainya apa yang disarankan melalui catatan ini dapat dipraktikkan sendiri oleh ibu bapa, samada untuk pakaian sendiri atau untuk diterapkan dalam agenda mentarbiah anak-anak dari masa kesemasa dengan penuh tanggungjawab dan bijaksana serta niat yang ikhlas, maka usaha yang murni (artikel) ini sudah tentu dapat membantu mengwujudkan generasi berilmu dan berakhlak ke arah kecemerlangan (hidup) di dunia dan juga di akhirat nanti.
Maka semua ini terpulanglah kepada ibu bapa itu sendiri samada mahu mencuba dengan usaha yang bersungguh-sungguh ataupun mahu terus mencuba teori-teori yang cuba diketengahkan oleh musuh-musuh Islam yang kadang-kala bertentangan dengan apa yang dianjurkan oleh agama kita yang maha suci.
Perlu diingat, bahawa kita sebenarnya bukanlah gagal dalam mentarbiah anak-anak kita, tetapi sebenarnya yang gagal adalah percubaan kita yang mungkin sebelum ini terdapat cacat- cela di sana sini. Oleh itu kita hendaklah berani untuk terus mencuba. Jangan sekali-kali kita gagal untuk meneruskan percubaan demi percubaan disamping terus bertawakkal dan bermohon doa kepada Allah SWT, mudah-mudahan dengan kecekalan kita itu akan dimakbulkan oleh Allah SWT juga akhirnya Insya Allahu Ta'ala Amin ya Rabbal 'alamin.
Bersyukurlah apa yang ada.
No comments:
Post a Comment