Monday, March 26, 2012

Bank Rakyat Umum Dividen 20 PERATUS


Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat) hari ini mengumumkan pengagihan dividen 20 peratus atau RM435 juta bagi tahun kewangan 2011, berbanding 15 peratus pada tahun sebelumnya.
  
Pengagihan itu melibatkan pembayaran dividen tunai 15 peratus atau RM330 juta dan dividen bonus saham sebanyak 5.0 peratus atau RM105 juta.    
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pembayaran yang lebih tinggi berkenaan disumbangkan oleh peningkatan keuntungan sebelum cukai sebanyak 17.6 peratus atau RM301.9 juta kepada RM2.02 bilion, paras tertinggi dalam sejarah penubuhannya, berbanding RM1.72 bilion pada tahun sebelumnya.
    
"Rekod keuntungan ini dicapai hasil dari fokus bank terhadap pertumbuhan aktiviti pembiayaan di samping peningkatan kualiti aset, walau pun terdapat cabaran dalam industri perbankan tempatan," katanya ketika mengumumkan pengagihan dividen bank berkenaan di sini.
    
Katanya jumlah pendapatan kasar meningkat 13.3 peratus kepada RM5.5 bilion berbanding RM4.86 bilion pada tahun sebelumnya dengan pembiayaan peribadi kekal sebagai penyumbang utama kepada keuntungan bank di samping pertumbuhan dalam pendapatan Ar-Rahnu dan aktiviti pelaburan.
    
Mengenai prospek untuk tahun ini, Ismail Sabri berkata Bank Rakyat menyasarkan untuk mencapai keuntungan sebelum cukai RM2.1 bilion yang dipacu oleh peningkatan pinjaman persendirian dan pendapatan dari Ar-Rahnu, iaitu cabang pajak gadai Islamnya.
    
Katanya bank itu bercadang membuka sembilan cawangan baru iaitu masing-masing satu di Pahang, Johor, Selangor, Kelantan dan Negeri Sembilan dan masing-masing dua di Terengganu dan Sabah.

Katanya bank juga bercadang membuka 10 lagi cawangan pajak gadai Islam melalui sistem francais yang lebih dikenali sebagai Ar-Rahnu X'change di seluruh negara.
    
Ketika ini, perkhidmatan Ar-Rahnu ditawarkan di 135 rangkaian cawangan Bank Rakyat dan 38 Ar-RAhnu X'Change di seluruh negara.
    
Selain itu katanya, kadar pinjaman tidak berbayar (NPL) yang rendah iaitu sebanyak 2.8 peratus dan keyakinan rakyat terhadap perkhidmatan yang ditawarkan oleh Bank Rakyat juga adalah antara penyumbang kepada prestasi kewangan yang lebih baik pada tahun ini.
    
Ditanya mengenai prospek jangka panjang, katanya Bank Rakyat perlu memperbanyakkan pembiayaan komersil untuk mengimbangi kebergantungan pendapatan dari pembiayaan peribadi.
    
"Kita tidak akan selama-lamanya bergantung terlalu banyak kepada pembiayaan peribadi.
    
"Saya percaya bank rakyat akan keluar dengan perancangannya untuk menambahkan pembiayaan komersil yang lain," katanya.
    
Tahun lepas, pendapatan bank berkenaan dari sumber pembiayaan meningkat kepada RM4.46 bilion berbanding RM4.04 bilion pada tahun sebelumnya di mana 91.4 peratus atau RM4.07 bilion disumbangkan oleh perbankan konsumer manakala 8.6 peratus atau RM385.2 juta dari perbankan komersil.
    
Bank berkenaan juga merekodkan pendapatan berasaskan fi sebanyak RM92 juta, di mana 75.7 peratus adalah disumbangkan oleh pendapatan berasaskan wasiat, komisen takaful dan yuran perkhidmatan ATM.

- Bernama

No comments:

Post a Comment