Sunday, January 15, 2012

Cara Menjadi Mulia,Kaya dan Kuat

Marilah kita memerhati dan mengambil pengajaran dari kata-kata yang berhikmat dari Rasulullah SAW yang bermaksud :

"Barangsiapa yang suka menjadi orang yang paling mulia maka dia hendaklah bertaqwa kepada Allah SWT. Barangsiapa yang suka menjadi orang yang paling kaya maka dia hendaklah lebih percaya kepada apa yang ada pada Allah SWT daripada apa yang ada pada dirinya sendiri. Barangsiapa yang suka menjadi orang yang paling kuat maka dia hendaklah bertawakkal kepada Allah SWT"

Perkara yang disebut oleh Rasulullah SAW menjadi pengajaran yang sangat penting, besar dan perlu kepada setiap orang yang beriman untuk menguji, mencuba dan menentukan sejauh mana keimanan dan keyakinan mereka kepada Allah SWT

Adalah menjadi idaman hati setiap manusia mahu menjadi orang yang paling mulia, paling kaya dan orang yang paling kuat. Tetapi manusia hendaklah menyedari bahawa mereka adalah makhluk yang paling lemah, yang sangat berhajat kepada Allah SWT. Seseorang manusia tidak boleh berbangga dengan keturunan, bangsa, pangkat dan harta benda. Tidak boleh berbangga dengan kekuatan jasad yang ada padanya kerana yang menentukan dan mengurniakan segala-galanya ialah Allah SWT.

Allah SWT yang mencipta kita, maka segala yang ada pada diri kita ini adalah milik Allah SWT. Dia boleh memberi dan mengurnia, bila-bila masa sahaja, Dia boleh menghilang dan merampas sesuatu dari seseorang bila-bila masa sahaja.

Seseorang manusia yang beriman hendaklah sedar bahawa yang menentukan kemuliaan mereka bukannya pangkat, bukannya keturunan, bukannya harta benda, bukannya bangsa tetapi yang menentukannya ialah kepatuhan kepada Allah SWT.

Firman Allah Taala yang bermaksud :
"Wahai Manusia, sesungguhnya Kami telah menjadikan kamu daripada seorang lelaki dan perempuan, berbangsa-bangsa dan berpuak-puak, supaya kamu berkenal-kenalan di antara satu sama lain dan yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah SWT ialah orang yang paling bertaqwa kepada Allah SWT."
(Surah Al-Hujurat: 13)


Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :
"Semua kamu dari Adam, Adam dari tanah, tiada kelebihan di antara orang Arab dengan orang yang bukan Arab, di antara orang yang berkulit putih dengan orang yang berkulit hitam melainkan dengan bertaqwa kepada Allah SWT."


Yang menentukan kemuliaan manusia itu ialah kenalnya manusia itu akan Tuhannya. Makin banyak kenalnya manusia akan Tuhannya, maka taat kepada Allah SWT, mengerjakan segala perintah, meninggalkan segala larangan sehingga perkara itu menjadi sifat yang sebati di dalam dirinya dan menguasai hati yang menjadi raja di dalam jasad dan memerintah jasadnya supaya taat kepada Allah SWT.


Manusia hendaklah menyedari bahawa yang mengurniakan rezeki dan kehidupan yang senang adalah Allah SWT, manusia itu tidak boleh berbangga dengan kekayaannya, dengan kebijsanaannya mencari harta semata-mata.


Dia hendaklah menyedari bahawa rezeki adalah dari Allah SWT. Seorang yang tidak percaya bahawa rezeki itu dari Allah SWT walaupun pada pandangan lahirnya adalah seorang kaya dan mempunyai harta benda yang banyak, dia akan menjadi manusia yang paling papa, susah dan bangsat di mana dia tidak sanggup mengambil ni'mat dengan harata yang diberi oleh Allah SWT, tidak sanggup untuk menunaikan zakat, tidak sanggup membantu orang-orang yang susah, tidak sanggup membantu bagi kesenangan dirinya sendiri maka dia menjadi seorang yang fakir, seorang yang miskin walaupun mempunyai harta benda yang banyak kerana kebimbangan terhadap hilang harta bendanya, tidak percaya kepada rezeki dari Allah SWT langsung menyusahkannya dalam kehidupannya.

Adapun orang yang percaya kepada Allah SWT yang dikurniakan harta benda ataupun tidak, apabila dia yakin kepada Allah SWT, dia percaya kepada pemberian Allah SWT, dia akan mendapat kemenangan jiwa, seorang yang kaya jiwanya, senang dalam kehidupannya dan boleh menunaikan perintah Allah SWT dengan cara yang sebaik-baiknya.

Dan begitulah orang yang bertawakkal kepada Allah SWT, yang menyerah diri urusannya kepada Allah SWT, dikurniakan kepadanya kekuatan dalam menghadapi hidup ini sehingga dia sanggup menghadapi segala cubaan apabila dia menyedari segala-galanya adalah qadar takdir dari Allah SWT. Dia dapat menghadapi segala bala, penderitaan, kesusahan, rintangan dan cabaran dengan hati yang tabah kerana pergantungan dan menyerah dirinya kepada Allah SWT.

Kita melihat betapa banyak orang yang kuat dan gagah, yang mempunyai sifat keperkasaan, tetapi keperkasaannya dikhadamkan oleh orang lain atau digunakan oleh orang lain. Dia tidak boleh mengambil manfaat daripada kekuatan yang diberi oleh Allah SWT. Maka dia menjadi manusia yang hina dan lemah dengan kekuatannya kerana dia tidak mendapat kekuatan dari Allah SWT.

Oleh kerana itu semua kebaikan adalah bagi orang-orang yang beriman. Sekiranya dia diberi kesenangan, dia bersyukur, sekiranya dia ditimpa kemalangan, dia bersabar. Maka dia sentiasa mendapat pahala dan ganjaran. Kehidupannya penuh dengan amalan yang soleh, pemberian yang berkekalan dari Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud :

"Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah SWT, Allah SWT akan mengurniakan kepadanya jalan keluar (dalam menghadapi apa jua masalah) dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah, maka Allah akan mencukupkan (keperluannya), sesungguhnya Allah melaksanakan urusan ( yang dikehendakinya) sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu"
(Surah At-Thalaq : 2-3)


Marilah kita melihat dan mengambil pengajaran dari kata-kata yang berhikmat dari Rasulullah SAW yang bermaksud :


"Barangsiapa yang suka menjadi orang yang paling mulia maka dia hendaklah bertaqwa kepada Allah SWT. Barangsiapa yang suka menjadi orang yang paling kaya maka dia hendaklah lebih percaya kepada apa yang ada pada Allah SWT daripada apa yang ada pada dirinya sendiri. Barangsiapa yang suka menjadi orang yang paling kuat maka dia hendaklah bertawakkal kepada Allah SWT."


Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi bin Awang
dipetik daripada Buku Mutiara 2 Tok Guru : Membangun Ummah. 


Sumber: ilmi.islam.com

No comments:

Post a Comment