Thursday, October 27, 2011

Rahsia Pemilihan Semenanjung Arab Sebagai Tapak Permulaan islam




Sebelum kita memperkatakan sesuatu tentang sejarah hidup Rasulullah Sallallahu 'alaihi Wasallam dan Semenanjung 'Arab di mana baginda hidup dan dipilih sebagai Rasul, ada baiknya kalau kita cuba menyingkap hikmat-hikmat Allah, mengapa terpilihnya Rasulullah dari bumi ini dan bangsa 'Arab pula sebagai pembawa obor da'wah Islamiyyah.

Untuk mengetahui segala-segalanya, pertama kita mesti mengetahui keistimewaan bangsa 'Arab dan perangai serta tata penghidupannya sebelum Islam dan keadaan muka bumi (geografi) dan persekitarannya. Kemudian barulah kita membuat perbandingan dengan bangsa-bangsa yang hidup sezaman de-ngannya seperti Romawi, Greek dan India termasuk adat resam, tatasusila dan keistimewaan tamadun mereka.

Empayar Parsi

Empayar Rom

Pertamanya, marilah kita mengkaji secara sepintas lalu bangsa-bangsa yang hidup di sekitar tanah 'Arab sebelum Islam: Dunia di kala itu boleh dikatakan telah dikuasai dan dikepalai oleh dua negara yang gagah iaitu Parsi dan Romawi dan disenarai yang kedua pula ialah Greek dan India. Parsi di kala itu merupakan arena pertarungan agama dan falsafah yang beranika corak. Pembesar dan pemerintah pada keseluruhannya menganut agama Majusi (Zuradisy) yang mana antara ajarannya menggalakkan lelaki berkahwin dengan ibunya, anak perempuannya atau adik dan saudara perempuannya.

Empayar Yazdajrid kedua yang memerintah di pertengahan abad kelima Masihi telah berkahwin dengan anak perempuannya. Bukan setakat itu sahaja malah tatasusila dan sopan-santun telahpun terpesong dari garis-garis yang bersifat kemanusiaan. Mengikut apa yang ditegaskan oleh Al Imam Al Shahras-tani dalam kitabnya yang berjudul Al-Milal Wa Al-Nihal, terdapat antara ajaran agama Mazdak yang menyebut bahawa kebebasan kaum wanita tiada hadnya. Begitu juga dengan kebebasan menggunakan harta benda dan seterusnya menjadikan wanita dan harta benda ini kepunyaan dan hak milik bersama, tidak ubah seperti air, api dan rumput di mana semua manusia boleh berkongsi tanpa sekatan. Seruan ini telah mendapat sambutan yang begitu hangat dari karangan mereka yang memang berhaluan demikian.

Kerajaan Romawi (Rom) pula begitu meluap-luap dengan jiwa dan semangat penjajahan dan bergelut dalam persengketaan agama dengan pihak Kristian negeri Syam (Syria) dan Mesir. la bergantung penuh kepada kekuatan angkatan tenteranya dan cita-cita penjajahannya yang berkobar-kobar dalam rangka percubaan memodenisasikan agama Kristian untuk disesuaikan dengan matlamat mencapai cita-cita dan kemahuannya.

Negara ini juga berada dalam keadaan huru-hara dan kucar-kacir dari negara Parsi, yang hidup dengan segala kemewahan iaitu kemewahan dalam kemerosotan ekonomi dan pemerasan terhadap rakyat jelata. Kenaikan cukai yang begitu melambung tinggi merupakan suatu gejala yang biasa dan telah menjadi satu lumrah.

Greek tua pula tenggelam ke dasar lautan khurafat dan dongeng yang tidak memberi sebarang faedah dan natijah yang berguna sama sekali. Negara India pula di kala itu menurut Professor Abul Hassan Al Nadwi telah menegaskan bahawa ahli sejarah dan pengarang sebulat suara mengatakan yang India di permulaan abad keenam Masihi telah terlantar ke lembah kemerosotan agama, akhlak dan kemasyarakatan. India bersama jiran tetangga dan saudaranya turut serta mengambil bahagian dalam memerosotkan akhlak dan kemasyarakatan.

Perlu kita ketahui bahawa anasir-anasir yang menyeret bangsa-bangsa ini ke lembah kerosakan dan perpecahan ialah kemajuan dan tamadun yang berasaskan kepada kebendaan (material) semata-mata. Tamadun ini telah tidak mengambil contoh-contoh ma'nawi dan akhlak yang sempurna sebagai landasan dan asas kemajuan. Tamadun dan kemajuan kebendaan dengan aneka sebab-akibat yang timbul darinya hanyalah tidak lebih dari satu jalan semata-mata iaitu satu jalan yang tidak dapat memberikan apa-apa erti. Lantaran ketandusan fikiran yang waras dan contoh sempurna yang benar-benar dapat dihayati maka tamadun dan kemajuan yang dicapai itu telah membawa kehidupan manusia mengalir ke tasik kecelakaan dan huru-hara. Sebaliknya jika ahli fikirnya mempunyai akal fikiran yang waras dan pertimbangan yang saksama maka tamadun dan kemajuan tadi merupakan jalan-jalan yang indah serta mudah pula menuju ke arah kesenangan dalam semua corak dan aspek hidup. Biasanya perkara ini tidak akan lahir kecuali melalui agama dan wahyu Ilahi sahaja.

Semenanjung Arab

Semenanjung 'Arab di masa itu merupakan suatu kawasan yang tenang, jauh dan terpencil dari gejala-gejala huru-hara tadi. Bangsanya langsung tidak pemah merasai kemewahan dan kemajuan seperti Parsi; yang boleh membawa mereka ke arah kerosakan dan keruntuhan akhlak dan tidak pula mengagung-agungkan kekuatan tentera yang membolehkan mereka menjajah negara-negara di sekitamya.

Mereka juga tidak menganut falsafah dan ideologi yang beranika ragam seperti Greek Tua yang menyebabkan mereka menjadi mangsa kepada dongengan dan khurafat.

Tabi'at semulajadi mereka ini tidak ubah seperti suatu "bahan yang mentah" yang belum pernah dilebur di mana-mana dapur dan dicorak di mana-mana acuan seolah-olah terbayang di layar penghidupan mereka seorang manusia semulajadi yang bersih mempunyai kemahuan yang kuat ke arah pembentukan manusia yang terpuji yang rnempunyai sifat-sifat amanah, pemurah, suka menolong dan bencikan kezaliman. Apa yang mereka perlu hanyalah pengetahuan yang dapat menyinari jalan-jalan ke arah tersebut kerana mereka ini hidup dalam kejahilan yang gelap memekat. Kebanyakan mereka telah sesat untuk sampai ke arah kemanusiaan yang sebenarnya. Mereka membunuh anak perempuan kerana mahu menjaga maruah, membelanjakan wang yang banyak dengan harapan mahukan kemuliaan dan berperang sama sendiri dengan tujuan mempertahankan kehormatan.

Segala-galanya ini telah diterangkan oleh Allah Subhanahu Wata'ala di dalam Al-Qur'an:

yang bermaksud;

"Dan sesungguhnya kamu sebelum hari ini adalah dan golongan orang-orang yang telah sesat".
(Al-Baqarah Ayat 198)

Penegasan ini lebih merupakan keuzuran dan kemaafan bagi mereka daripada penghinaan ke atas mereka.

Ini adalah memandangkan bangsa-bangsa lain telah menggunakan tamadun dan kemajuan mereka sebagai alat ke arah kerosakan sedangkan mereka ini sedar malah merancang sedemikian. Di samping semuanya ini, Semenanjung 'Arab di segi kedudukan muka buminya pula terletak di pertengahan bangsa-bangsa tersebut (iaitu Parsi dan Rome) yang bergolak di sekelilingnya.

Muhammad Al Mubarak seorang professor Mesir telah mengutarakan pendapat dengan katanya:

'"Orang yang memerhati dan memandang kepada bangsa 'Arab akan dapat melihat bagaimanakah bangsa Arab boleh berdiri di masa silam di tengah-tengah dua tamadun yang melebar di kiri kanan. Di sebelah kirinya tamadun barat yang keterlaluan telah cuba mendapatkan gambaran dan imej manusia dengan alirannya yang kering pucat tak berhias dan tidak berjejas dengan hakikat keinsanannya. Di sebelah kanannya pula tamadun kerohanian dan kejiwaan yang melambung ke alam khayalan seperti yang terdapat di India, China dan sebagainya."

Setelah kita dapat menggambarkan hal keadaan bangsa 'Arab dan semenanjungnya sebelum Islam juga hal keadaan bangsa-bangsa lain yang mengelilinginya maka mudahlah bagi kita menyingkap di sebaliknya apakah hikmat-hikmat Allah mengutuskan Rasul utusan di Semenanjung 'Arab itu dan bangsa 'Arab pula merupakan golongan pertama buat merintis jalan-jalan ke arah penyebaran obor seruan da'wah Islamiyyah yang kini telah dianuti oleh umat manusia di seluruh pelusuk alam.

Bukanlah sepertimana yang disangka oleh setengah-setengah golongan yang mengatakan bahawa pengikut-pengikut agama yang sesat adalah sukar untuk mengubati jiwa mereka dan sukar memberi tunjuk ajar kerana mereka ini ta'sub (fanatik) dan membanggakan keburukan, kehancuran dan kemusnahan yang pada sangkaan mereka semuanya baik. Sedangkan mengubah dan memberi tunjuk ajar kepada mereka yang sedang mencari-cari kebenaran lebih mudah kerana mereka ini sama sekali tidak menafikan kejahilan mereka sendiri dan tidak pula membanggakan atau bermegah-megah dengan hasil tamadun kerana mereka langsung tidak mempunyai tamadun. Golongan ini paling mudah sekali untuk diperbaiki dan diberi dorongan kepada mereka. Bagi kita bukanlah ini yang dikatakan hikmat Ilahi, kerana penganalisaan yang seumpama ini hanya tepat kepada mereka yang mempunyai daya dan tenaga yang terbatas sahaja, memilih yang senang dan meninggalkan yang susah kerana tidak mahukan penat lelah.

Andaikata Allah mahu menjadikan pancaran da'wah Islamiyyah di mana-mana bahagian di Parsi atau di Rom atau di India bersinar cemerlang maka sudah pasti pula Allah akan menyediakan kemudahan dan cara-cara sehingga berjaya da'wahnya seperti mana yang berlaku di Semenanjung 'Arab. Soal ini tidak pula menjadi bebanan, kerana Allah Subhanahu Wata'alah Pencipta 'alam semesta. Namun hikmah Allah memilih Semenanjung 'Arab dan Rasul utusan itu tadi (seorang yang buta huruf - tidak boleh membaca dan menulis seperti mana yang diterangkan oleh Allah dalam Kitab SudNya) agar manusia seluruhnya tidak merasa syak wasangka terhadap keNabian dan keRasulanNya.

Sebagai penutup dan epilog kepada hikmah Allah ialah suasana persekitaran tempat Rasulullah diutuskan di mana di dalamnya wujud suatu biah (suasana) buta huruf juga dan jika dibandingkan dengan bangsa-bangsa lain yang hidup di sekelilingnya mereka juga belum pernah dimasuki dan diracuni oleh sebarang tamadun, pemikiran dan kerumitan falsafah yang berserabut.

Di antara hikmat Ilahi juga ialah menghindarkan perasaan syak wasangka manusia apakah Muhammad Sallallahu 'alaihi Wasallam ini boleh membaca dan mempelajari kitab-kitab lama yang mengandungi sejarah manusia purba dan tamadun negara tetangga dan menghindarkan juga sangkaan buruk terhadap Muhammad sekiranya dakwah Islamiyyah ini timbul di kalangan umat manusia yang bertamadun dan mempunyai falsafah seperti Parsi, Greek Tua atau Romawi. Sebabnya ialah sangkaan buruk ini akan memberi suatu gambaran yang buruk iaitu dari siri tamadun dan falsafah yang terakhir dalam bentuk tamadun yang tulen serta kemas dengan perundangan yang lengkap. Hikmah-hikmah Ilahi ini telahpun diterangkan dengan tegas danjelasnya dalam Al-Qur'an:

Yang bermaksud:

"Dialah (Allah) yang telah mengutuskan di kelompok buta huruf seorang utusan daripada kalangan mereka (untuk) menyampaikan kepada mereka ayat-ayatNya dan menjauhkan mereka daripada syirik dan mengajar mereka kitab-kitab dan hikmat, dan sesungguhnya mereka itu dahulunya dalam kesesatan yang amat sangat. "
(Al-Jumu'ah 62 : 2)

Sudah kehendak Allah mengutuskan utusanNya yang buta huruf, begitu juga bangsa yang akan timbul Rasul di ka-langannya juga satu bangsa yang kebanyakannya buta huruf, agar mukjizat keNabian dan syari'at Islam itu terjulang nampak dan jelas di antara dogma-dogma dan seruan manusia lain yang beranika corak.

Di sana terdapat hikmat Ilahi yang lain, dan boleh diringkaskan seperti berikut:

1. Seperti yang diketahui di mana Allah Subhanahu Wata'ala telah menjadikan Baitui Haram itu tumpuan dan kesejahteraan untuk umat manusia seluruhnya dan merupakan rumah yang pertama untuk manusia beribadat serta mempraktikkan rukun-rukun agama. Sesungguhnya lembah Makkah ini telah menjalankan dan melaksanakan seruan bapa para Anbiya' iaitu Sayyidina Ibrahim 'Alaihi sallam. Tepat dan kena pada tempatnya di mana kawasan yang mulia ini menjadi muara seruan agama Islam yang pertama iaitu| agama Nabi Ibrahim dan juga tempat pengutusan Nabi yang terakhir .

2. Di segi kedudukan ilmu alam maka semenanjung 'Arab ini telah dipilih untuk bebanan tanggungjawab da'wah Islamiyyah, kerana situasi dan kedudukannya di tengah-tengah berbagai bangsa. Ini menyebabkan penyebaran da'wah Islamiyyah di kalangan bangsa-bangsa dan negara yang di sekelilingnya tersebar dengan mudah. Ini temyati sekali bila kita mengkaji semula perjalanan da'wah Islamiyyah di zaman permulaannya dan di zaman khulafa al-Rashidin. Memang tepat seperti yang ditegaskan tadi.

3. Dan sebagai hikmat Ilahi juga yang menjadikan bahasa 'Arab itu sebagai media da'wah Islamiyyah dan bahasa yang pertama buat menerang dan mentafsirkan percakap-an atau kalam Allah 'Azza wa jalla untuk disampaikan kepada kita.

Kalau kita perhatikan dengan teliti tentang keistimewaan bahasa-bahasa diikuti dengan satu perbandingan dengan bahasa 'Arab maka dengan jelas kita dapati yang bahasa 'Arab mempunyai banyak keistimewaan yang sukar didapati dalam bahasa-bahasa lain. Maka sudah layak baginya untuk menjadi bahasa yang pertama dan utama untuk umat Islam di mana mereka berada.
 
Sumber dari sebuah kehidupan

No comments:

Post a Comment