Harakahdaily |
KUALA LUMPUR, 15 Okt: Penggunaan kad kredit di kalangan masyarakat umum ketika ini bukan lagi dilihat sebagai satu kebanggaan atau satu gaya hidup akan tetapi sudah menjadi suatu kemestian dalam mengharungi zaman kenaikan harga barang dan taraf hidup yang semakin tinggi. Pengerusi Lajnah Pengguna dan Alam Sekitar Dewan Pemuda PAS Malaysia, Mohd Firdaus Jaafar berkata, rakyat dilihat seolah-olah tidak mempunyai jalan lain di dalam mengharungi hidup terutama di kota-kota besar seperti Kuala Lumpur dan Johor Bahru. “Namun adakah ini jalan penyelesaian yang terbaik dalam hendak memastikan diri dan keluarga ‘berdaya saing’ demi untuk meneruskan kehidupan,” soalnya kepada Harakahdaily. Sebelum ini, katanya media pernah melaporkan bahawa 449 muflis kerana kad kredit. Beliau berkata, berdasarkan kajian yang dikumpulkan oleh pengeluar kad kredit bagi 2007 hingga 2009, tiada kes muflis dilaporkan bagi pemegang kad kredit berusia 25 tahun ke bawah, manakala bagi pemegang kad kredit berusia 26 hingga 30 tahun, kes muflis akibat hutang itu secara puratanya adalah dua orang setahun. Ini, ujarnya satu angka yang mesti diberikan perhatian oleh pihak kerajaan. Tambahnya, walaupun jumlah muflis akibat gagal membayar hutang kad kredit hanya mencatatkan 4,417 kes dalam tempoh lima tahun hingga Mei 2010 yang lalu, situasi penggunaan serta pengeluaran kad yang dilihat tidak terkawal dianggap membimbangkan serta boleh memusnahkan masa depan generasi muda. Beliau menambah, statistik Bank Negara Malaysia (BNM) sehingga Mac 2009 juga menunjukkan bahawa pinjaman melalui kad kredit menguasai 6.1 peratus daripada jumlah pembiayaan institusi perbankan. Katanya, pengiraan secara statistik menunjukkan sekiranya seseorang itu berhutang RM1,000 melalui kad kredit dan cuma membuat bayaran minimum lima peratus setiap bulan, dia mengambil masa lima tahun lapan bulan untuk melangsaikan hutangnya termasuk kadar faedah. Kajian juga, katanya menunjukkan pengguna kad kredit cenderung untuk berbelanja 17 peratus lebih daripada individu yang berurusan menggunakan wang tunai. Menurutnya, antara sebab-sebab yang membawa kepada ‘maslahah’ ini adalah faktor kadar faedah yang tinggi, kawalan kelulusan pengeluaran kad kredit terlalu longgar, sikap institusi kewangan yang hanya memikirkan keuntungan tanpa melihat kepada kesan sosioekonomi dalam jangka masa yang panjang. “Ditambah dengan sikap segelintir pengguna yang tidak berhemah dikenal pasti punca kenapa ramai yang jatuh muflis kerana gagal membayar hutang kad kredit,” katanya yang juga ahli Parlimen Jerai. Pihak kerajaan, tambah beliau perlu melihat kepada isu dengan lebih mendalam dan perlu mengambil tanggungjawab dan bukannya dengan mudah menyalahkan rakyat serta menuduh rakyat tidak pandai mengurus kewangan dan boros di dalam berbelanja. Ianya, kata beliau perlu dilihat juga dari segi harga kereta dan harga rumah di negara ini. “Seperti yang kita ketahui, harga kereta di Malaysia adalah antara yang tertinggi di dunia. Begitu juga dengan hartanah yang mana harganya semakin hari semakin meningkat yang mana menyebabkan harga rumah juga terus meningkat. “Di dalam keadaan begini menyebabkan ramai rakyat terpaksa berhutang dan akhirnya menjadi muflis,” katanya. Beliau berkata, bebanan yang ditanggung oleh rakyat perlu diambil kira sekiranya slogan ‘Rakyat Didahulukan’ dilaksanakan dan bukan sekadar retorik semata-mata. Kalau dilihat secara teliti, katanya Bajet 2012 yang baru dibentangkan oleh Datuk Seri Najib baru-baru ini juga tidak banyak membantu rakyat dalam menyelesaikan masalah bebanan kenaikan harga barang. Malah, katanya faktor inflasi dan kenaikan harga barang juga turut menyebabkan ramai rakyat yang tertekan, yang mana akhirnya terpaksa menggunakan duit peruntukan yang sepatutnya dibayar untuk hutang, digunakan untuk perbelanjaan hidup. “Maka tidak pelik kalau satu hari nanti Malaysia akan dipenuhi oleh anak-anak muda yang umur belum mencecah 25 tahun tetapi sudah berstatus muflis,” katanya. |
Sunday, October 16, 2011
Kad kredit: Tidak pelik anak muda berstatus muflis
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment