
Dunia
kini hangat membicarakan tentang isu-isu yang berkaitan keamanan,
keagamaan, politik dan pembangunan negara termasuklah di negara Malaysia
sendiri yang banyak mempersoalkan dan mempermudahkan serta
mempermainkan isu-isu berkaitan agama islam.
Gambar hiasan: Pilihan raya merupakan salah satu kaedah untuk rakyat memilih pemimpin yang adil
Hal ini dapat dilihat dalam situasi sekarang apabila sesuatu amanat
yang dikemukakan oleh alim ulama dan pemimpin Islam telah dijadikan isu
untuk kepentingan poilitik mereka yang mana secara tidak langsung telah
memutar belitkan fikiran masyarakat kini. Tetapi ia sebenarnya tidak
boleh dikaitkan dengan hal-hal politik kerana amanah adalah sebahagian
daripada suruhan islam dalam melaksanakan pemerintahan negara sekaligus
dapat merealisasikan hak-hak masyarakat dengan adil dan amanah.
Sebagaimana firman Allah dalam surah an-nisa’ ayat 58 yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menunaikan (menyerahkan)
segala jenis amanah kepada ahlinya yang berhak menerima dan apabila
kamu menjalankan hukum di antara manusia (Allah menyuruh kamu) menghukum
dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu member
pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa
mendengar, lagi sentiasa melihat ”.
Berkata Ibn Abbas,“Ayat ini umum, untuk orang yang memerintah. Memang
ayat ini wajib dipegang oleh penguasa, memberi amanah hendaklah kepada
ahlinya. Orang yang akan diberi tanggungjawab dalam sesuatu tugas,
hendaklah yang sanggup dan boleh dipercayai ia beramanah memegang
tugasnya itu (kerana mengikut perintah Allah). Rasulullah SAW bersabda,
“Tiada iman pada orang yang tidak menunaikan amanah; dan tiada agama
pada orang yang tidak menunaikan janji.” (Ahmad dan Ibnu Hibban).
Amanah adalah kata yang sering dikaitkan dengan kekuasaan dan
materi. Namun sesungguhnya kata amanah tidak hanya terkait dengan
urusan-urusan seperti itu sahaja. Secara syar’ie, amanah bermakna
menunaikan apa-apa yang dititipkan atau dipercayakan. Dalam konteks ayat
yang dikemukakan di atas, adalah dimaksudkan kepada individu yang
dipertanggungjawabkan untuk mentadbir dan mengurus sesebuah organisasi.
Amanah ini hendaklah diserah kepada seseorang yang berhak dan
berkelayakan.
Maju mundur sesebuah organisasi bermula dengan
mutu kepimpinan yang dilantik. Kegagalan dalam proses perlantikan kepada
yang layak akan memberi kesan yang malap kepada organisasi. Justeru itu
terdapat beberapa kaedah dari sudut sistem untuk memilih seseorang
untuk menerajui sesebuah organisasi. Di antaranya ialah melalui
jawatankuasa hal pemilih. Jawatankuasa ini hendaklah dianggotai oleh
ahli-ahli yang berakhlak dan berkelayakan. Jika tidak ia nampak cantik
dari segi proses tetapi gagal memenuhi semangat dan tujuan jawatankuasa
diwujudkan.
Sifat amanah dalam melaksanakan urusan pemerintahan
juga sebagai salah satu tuntutan yang perlu diberi perhatian. Tugas
memerintah ini tidak akan diberikan kepada seseorang itu melainkan
kepercayaan yang telah diberikan oleh rakyat kepadanya. Pemimpin yang
dipilih seharusnya menganggap peluang untuk memimpin sesebuah
pemerintahan itu sebagai satu amanah untuk diterajuinya supaya mencapai
ke tahap yang paling cemerlang.
Justeru itu pemimpin harus
memiliki wawasan yang jauh, bersikap dinamik dan sentiasa berusaha
memajukan proses kepimpinannya. Kejujuran dan keikhlasan pemimpin
terhadap amanah tersebut adalah asas penting. Pemimpin yang jujur akan
mengorbankan tenaganya untuk memperbaiki prestasi kepimpinannya secara
berterusan. Kegagalan sesebuah pemerintahan berprestasi dengan
cemerlang, kebanyakan disebabkan oleh pemimpin yang tidak jujur, yang
mengutamakan kepentingan peribadi daripada kepentingan rakyatnya. Sikap
negatif yang demikian banyak menimbulkan gejala kepada prestasi
kepimpinan. Masyarakat tidak boleh berkompromi pemimpin yang bermasalah.
Bahkan usaha mempertahankan pemimpin yang tidak beramanah adalah
kesilapan yang besar menurut Islam.
Berdasarkan ayat tersebut
juga, telah dijelaskan bahawa Allah telah memerintahkan kamu yang
membawa maksud bahawa mengatur pemerintahan yang baik dan memilih orang
yang cekap dalam kepimpinan adalah satu kewajiban yang mana telah
ditetapkan dalam hukum Usul Fiqh, barang siapa yang mengamalkannya akan
mendapat pahala manakala barang siapa yang meremeh-temehkannya akan
mendapat dosa. Di sini dapat difahamkan bahawa seseorang pemimpin yang
memegang urusan kenegaraan adalah pemegang amanat Allah kerana urusan
Negara tidak boleh dipisahkan dari agama. Dalam ayat ini juga telah
memerintahkan supaya kamu menyerahkan segala jenis amanah kepada
ahlinya. Perkataan ‘kamu’ di sini memberi makna masyarakat ataupun umat,
maka umat itulah yang memilih pimpinan.
Pada zaman Rasul beliau
sendiri yang memegang pimpinan itu. Baginda dilantik oleh Allah sebagai
Rasul-Nya dan baginda juga diakui umat sebagai pemimpinnya. Dengan
ucapan syahadat: “Tidak ada Tuhan melainkan Allah, dan Muhammad
Rasulullah,” bererti orang menyerahkan pimpinan kepada Baginda dalam
urusan agama dan urusan kehidupan dunia atau negara. Dalam pemerintahan
baginda, baginda melantik seseorang yang dipercayai amanah mengikut
ijtihadnya.
Sebagaimana Rasulullah SAW telah menyerahkan amanah
kepada Uthman bin Talhah iaitu memegang kunci kaabah dan baginda terus
membaca ayat tersebut. Setelah baginda wafat, sebelum jenazahnya
dikebumikan lagi, sahabat-sahabatnya ketika itu bermesyuarat untuk
memilih pengganti baginda sebagai khalifah dan akhirnya Abu Bakar
As-Siddiq dipilih menjadi khalifah. Ketika itu, umatlah yang menyerahkan
amanat kepada khalifah dan ahlinya. Hal ini membuktikan bahawa umat
(masyarakat) itu berdaulat. Setelah Abu Bakar As-Siddiq diberi kuasa
memerintah, menjadi imam bagi kaum muslim, beliau jugalah yang
menunaikan amanat kepada ahlinya masing-masing sama ada, dalam bidang
pemerintahan, bidang peperangan, dan juga bidang ekonomi, sosial,
politik, pendidikan dan bidang-bidang lain mengikut acuan syariat Allah.
Rasullah SAW pernah berpesan kepada Abu Dzarr al-Ghiffari
supaya jangan sesekali inginkan kekuasaan dalam pemerintahan walaupun
Abu Dzarr al-Ghiffari seorang yang baik, terkenal dengan sifat
kejujurannya, dan hidup dalam keadaan bersederhana. Sebab itulah ada
beberapa hadis Nabi mengingatkan kita supaya tidak memberi kekuasaan
dalam pemerintahan kepada orang yang meminta untuk berkuasa. Maka orang
yang meminta untuk berkuasa dalam pemerintahan adalah dianggap sebagai
pengkhianat. Dengan dasar tersebut, menjadi tanggungjawab setiap
individu muslim untuk melantik pemimpin yang dipercayai amanah yang
sesuai dengan kemampuan dan keupayaan mereka untuk melaksanakan tugas
seperti yang diamanahkan. Maka amanlah agama , bangsa dan negara jika
mereka yang memegang amanat itu dengan betul dan saksama.
Tetapi
sebaliknya jika mereka menerima amanat untuk kepentingan dirinya adalah
satu penipuan dan ia adalah salah satu amalan orang munafik. Hal ini
kerana perkataan amanah berkait rapat dengan Iman yang mana Iman memberi
makna kepercayaan manakala amanah beerti cara untuk melaksanakan Iman
tersebut yang menunjukkan amanah ialah amanah dari Allah kepada insan
supaya menuruti kebenaran yang dibawa oleh Rasul-rasul-Nya. Oleh hal
yang demikian, tugas menunaikan amanah itu adalah wajib, lebih-lebih
lagi ketika amanah itu dituntut oleh tuannya. Maka barangsiapa yang
tidak menyempurnakan amanah di dunia, nescaya akan dituntut amanah itu
di akhirat kelak.
Berdasarkan potongan ayat yang bermaksud, “Dan
apabila kamu menetapkan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kamu
menetapkan hukum dengan adil” memberi makna bahawa menjadi satu
kewajiban kepada suatu pemerintah untuk menegakkan keadilan dalam
pemerintahannya iaitu hukum yang adil dan bukan yang zalim serta
menegakkan sumber hukum yang asli iaitu hukum Allah. Seperti mana Nabi
Muhammad SAW sendiri pernah mengatakan bahawa jika anaknya, Fatimah
binti Muhammad yang mencuri, baginda sendiri yang akan memotong tangan
anaknya itu. Allah SWT telah memerintahkan manusia supaya berlaku adil
dalam semua keadaan, sama ada kepada orang yang dikasihi mahupun yang
dibenci. Pemerintah diingatkan supaya menjalankan dasar perlaksanaan
keadilan politik yang mutlak, sekalipun terhadap yang bukan Islam.
Namun
demikian, keadaan ini amat berbeza dengan keadilan politik yang
dipraktikkan masa sekarang termasuklah di Malaysia. Dunia kini telah
menyaksikan ketidakadilan politik merata-rata. Fahaman politik
perkauman, sentimen agama yang melulu dan politik kepartian telah
menyebabkan manusia tidak lagi berlaku adil. Mereka yang berkedudukan
tinggi, berkuasa, dan kuat mendapat jaminan keadilan. Sementara mereka
yang lemah terus menjadi mangsa. Golongan yang menyokong pihak yang
berkepentingan akan diberi perlindungan dan keistimewaan. Perkara inilah
yang akan menyebabkan juga timbulnya hukum-hakam manusia yang tidak
adil dan secara tidak langsung mempersenda-senda dan menolak hukum yang
telah disyariatkan dalam Islam iaitu hukum syariah.
Dalam hal
ini, umat Islam yang tidak sanggup mempertahankan kesucian hukum Allah
atau merasa keberatan untuk menganggapkan hukum itu sebagai hukum-hukum
Allah yang wajib dipatuhi atau bertindak liar dengan mempertikaikan
hukum tersebut atau mempersenda-sendakannya atau mensifatkannya sebagai
undang-undang tidak adil, kejam dan tidak berperikemanusiaan, maka
bermakna mereka tidak sanggup melaksanakan hukum Allah dan secara
terbuka menentang al-Quran dan sunnah Rasulullah secara langsung
tergolong dalam kumpulan manusia yang menentang Allah dan Rasul-Nya.
Kewajipan
mempertahankan hukum Allah bukan sahaja menjadi kewajipan cerdik pandai
Islam atau alim ulama seperti yang dianggapkan selama ini, tapi ia
menjadi kewajipan semua pengamal undang-undang yang beragama Islam, yang
terdiri daripada hakim-hakim dan peguam-peguam yang terlibat dalam
pelaksanaan dan pengendalian undang-undang negara. Sikap menerima dan
berpuas hati dengan undang-undang ciptaan manusia yang diambil dari
Barat adalah bertentangan dengan akidah Islamiah yang mereka anuti.
Gambaran
asas tentang hukum Allah yang dipertikai itu amatlah perlu khususnya
kepada pucuk pimpinan negara Malaysia supaya dapat difahami dengan
penjelasan yang betul, mudah dan terlepas dari sentimen politik dan
semangat perkauman yang buta, agar isu yang besar ini difikir dan
diteliti dengan penuh tanggungjawab oleh setiap pihak yang berminat
mencampuri dalam isu ini terutama umat Islam yang menerima Allah sebagai
Tuhan mereka dan menerima Rasulullah SAW sebagai pemimpin mereka yang
terulung di sepanjang zaman.
Kesimpulannya, masyarakat atau
rakyat yang beriman hendaklah memilih pemimpin dari kalangan orang-orang
yang adil dan amanah. Telah ditegaskan bahawa, pilihlah pemimpin yang
beriman dan bertakwa yang akan membuktikan bahawa akidah yang suci
(bertakwa) mampu membina sifat amanah yang mulia. Setelah syarak
menggariskan ketetapan terhadap kewajipan menunaikan amanah disusuli
pula dengan tuntutan berikutnya iaitu melaksanakan hukuman yang adil
terhadap sesama manusia. Sebagaimana yang kita maklum, bersikap amanah
itu merupakan asas utama kepada hukum Islam manakala keadilan itu
merupakan asasnya yang kedua. Justeru kedua-kedua ini juga menjadi
kesepakatan bagi sekalian umat sebagai natijah kepada sesuatu nilai
hukum yang berintegriti.
Ketahuilah jua bahawa keadilan itu
merupakan asas kepada sesebuah pemerintahan. Pemerintahan yang adil
menjadi faktor penyumbang kepada ketamadunan, kemakmuran dan kemajuan
sesebuah negara. Setiap manusia berbilang agama dan bangsa mengakui
bahawa keadilan itu satu elemen yang wajib diterapkan terhadap sesebuah
pemerintahan dan pentadbiran. Produktiviti pemerintahan yang lahir
daripada elemen tersebut menjadikan masyarakat di semua saluran mendapat
manfaat menerusi peruntukan yang selayaknya tanpa wujud unsur
pertikaian dan penindasan. Golongan yang lemah layak menerima
bahagiannya tanpa diskriminasi dan birokrasi daripada pemerintah di
samping tiada ruang bagi golongan yang berkeupayaan untuk menindas
golongan yang lemah. Apabila wujudnya situasi seperti ini di dalam
sesebuah masyarakat hasil keadilan yang dipersembahkan oleh pemerintah
maka tiada sebab keamanan dan kestabilan negara tidak boleh dikekalkan.
*Abdul Hafiz bin Mohamed, berasal dari Kota Bharu, Kelantan. Kini menuntut di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor.
*Artikel ini merupakan pemenang sagu hati pertandingan menulis esei berdasarkan ayat al-Quran Surah an-Nisa ayat 58.
Sumber harakahdaily