TUAN GURU ABDUL HADI AWANG |
Isu Rang Undang-Undang Ahli Persendirian menurut Peraturan Mesyuarat 49 (1), bernama Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan 2016), menjadi perbincangan hangat, kerana adanya kalangan yang menjadikannya pertikaian yang dihangatkan dan modal politik tanpa maruah.
Kepada penganut Islam, sila tepuk dada tanya iman, bukan tepuk dada tanya selera. Wajib berdalil bukannya berdalih dan berdolak dalik. Di mana kepentingan menegakkan Islam yang diimani mengatasi tujuan politik, walaupun poilitik itu sebenarnya tidak boleh dipisahkan daripada Islam, namun kemanisan iman yang disifatkan oleh Rasulullah SAW:
ثلاث من كن فيه وجد حلاوة الإيمان , أن يكون الله ورسوله أحب إليه مما سواهما , وأن يحب المرأ لايحبه إلا لله , وأن يكره أن يعود في الكفر كما يكره أن يقذف في النار (البخاري)
"Ada tiga perkara, sesiapa yang mempunyainya, menandakan masih adanya kemanisan iman didalam dirinya. (1) Allah dan Rasul dikasihinya lebih daripada yang lain. (2) Dia megasihi seseorang secara ikhlas kerana Allah dan (3) Dia benci kepada kekufuran laksana tidak mahu kalau dia dicampak ke dalam api neraka." (Al-Bukhari)
Kemanisan ini menjadikan semua pihak dalam kalangan penganut Islam tanpa mengira fahaman politik, termasuk yang tidak berpolitik, semuanya mendukung tujuan memartabatkan Syariat Allah secara umum, termasuk DYMM Raja-Raja melalui titah ucapan Yang di-Pertuan Agong dalam perasmian Sidang Parlimen ini pada 7 Mac 2016. Tegas Baginda, mahukan taraf Mahkamah Syariah ditinggikan. Bukan undang-undang Hudud yang mengikut mereka yang berfahaman sempit terhadap Islam, yang meletakkan undang-undang Islam hanya jenayah Hudud. Maka dijadikan satu-satunya senjata paling kuat untuk menyerang Islam.
Usul seumpama ini telah diangkat beberapa kali, sejak Parliman Ke-9 (1995) dan persidangan akhir tahun 2015. Perubahan dibuat melalui rundingan di luar Parlimen, kerana medan politik bukan sahaja berbahas dalam Parlimen. Amalan demokrasi bukan sahaja dalam Parlimen, termasuk hubungan diantara kerajaan dan pembangkang secara perbincangan. Usul ini dibawa terlebih dahulu secara rundingan di luar Parlimen, mencari pendekatan damai, walaupun berbeza pendapat dan pendekatan.
PAS tidak perlu memikul kesalahan DAP yang mengumpul masyarakat bukan Islam khususnya kaum Cina dan lain-lain ke dalam bakul pembangkang DAP, sehingga memilih secara kasar dan hanya bersorak di dalam Parlimen dan demonstrasi di jalanan untuk paparan berita hangat media.
Sebenarnya, usul ini berkaitan dengan penganut Islam sahaja, bagi membetulkan asas perlembagaan Negara. Perkara 3, Islam adalah Agama Persekutuan dan agama-agama lain dibenarkan untuk diamalkan secara bebas. Masalahnya Islam yang menjadi Agama Persekutuan ini masih tidak bebas, khusus bagi penganut Islam yang sudah dihimpit dengan masalah yang wajib diselesaikan dengan Syariat Islam.
Inilah yang menyedarkan umat Islam sendiri, bukan sahaja PAS, termasuk juga Umno dan lain lain, sama ada dia berpolitik atau tidak, daripada rakyat biasa sehinggalah Raja-Raja dan para pemimpin, seorang Islam yang baik atau jahat, kerana kecintaan kepada Islam yang ada dalam hati-hati mereka. Maka campur tangan pihak lain terhadapnya boleh dianggap melanggar sempadan dan mahu memecah tembok perbezaan yang harmoni.
Usul ini telah dikemukakan mengikut tempoh masa yang diwajibkan oleh Peraturan Mesyuarat, terlebih dahulu sebelum daripada kemalangan helikopter yang mengorbankan dua Ahli Parlimen yang kami semua mendoakan rahmat Allah kepada mereka, sehingga terpaksa diadakan dua PRK. Kalau usul tidak dikemukakan cukup tempoh harinya maka usul hendaklah ditolak. Usul ini sekadar menaikkan taraf Mahkamah Syariah dan sebahagian daripada hukum syariat yang hukumannya dalam perkara umum, termasuk undang-undang keluarga, pusaka dan wakaf yang lebih rendah daripada mahkamah sivil paling rendah. Inikah kedudukan Islam yang menjadi agama negara dalam perlembagaan?
Jelasnya, bahawa Rang Undang-Undang ini lebih bersifat menyempurnakan prasarana Sistem Kehakiman Islam yang menunjukkan bahawa Undang-Undang Allah SWT lebih menjamin keadilan daripada undang-undang ciptaan manusia dan membetulkan perjalanan undang manusia yang diizin Allah, di mana Mahkamah Syariah dan hukumannya lebih berkonsep mendidik masyarakat, bukannya menghukum.
Adapun hukuman jenayah yang disebut di bawah pindaan ini, lebih banyak dalam perkara takzir yang terlalu ringan yang bersifat mendidik masyarakat Islam dan menjadi contoh kepada masyarakat bukan Islam tanpa paksaan. Ada pun hukuman jenayah berat dalam perkara Hudud dan Qisas seperti hukman bunuh, memotong tangan pencuri yang amat ditakuti oleh DAP dan sepertinya tidak terlibat. Sepatutnya mereka tidak perlu takut kalau tidak mencuri atau merompak, kerana pindaan undang-undang ini memerlukan majoriti 2/3, di mana mereka boleh menghalangnya, kerana sudah pasti mereka tidak menyokong, bahkan menghalangnya, kerana perangai mereka begitu rupa, walaupun perkara urusan penganut Islam.
Diulang lagi, sepatutnya pihak bukan Islam tidak perlu takut kerana ini bukan urusan mereka, ini urusan penganut Islam sahaja.
Kami hanya membawa usul untuk dibaca kali yang pertama yang belum boleh dibahas sebelum diluluskan, mengikut Peraturan Mesyuarat 15(5), untuk memberi peluang kepada semua pihak mengkaji dan menyediakan hujah dan alasan sehingga Persidangan Parlimen yang akan datang, memakan masa menunggunya lebih daripada tiga bulan.
Kepada penganut Islam yang wajib menyokong usul ini, saya memberi peringatan dengan firman Allah SWT di dalam Al-Quran:
وَأَنِ ٱحۡكُم بَيۡنَهُم بِمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ وَلَا تَتَّبِعۡ أَهۡوَآءَهُمۡ وَٱحۡذَرۡهُمۡ أَن يَفۡتِنُوكَ عَنۢ بَعۡضِ مَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ إِلَيۡكَۖ فَإِن تَوَلَّوۡاْ فَٱعۡلَمۡ أَنَّمَا يُرِيدُ ٱللَّهُ أَن يُصِيبَهُم بِبَعۡضِ ذُنُوبِهِمۡۗ وَإِنَّ كَثِيرٗا مِّنَ ٱلنَّاسِ لَفَٰسِقُونَ
"Dan hendaklah Engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah Engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanMu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadaMu. Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, hanyasanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab setengah dari dosa-dosa mereka dan sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adalah orang-orang yang fasik." (Surah Al-Maidah, ayat 49)
Adapun kepada parti yang dinamakan Parti Amanah yang pandai bersilat dengan kata-kata dan alasan berdalih, saya sebutkan firman Allah SWT:
إِنَّآ أَنزَلۡنَآ إِلَيۡكَ ٱلۡكِتَٰبَ بِٱلۡحَقِّ لِتَحۡكُمَ بَيۡنَ ٱلنَّاسِ بِمَآ أَرَىٰكَ ٱللَّهُۚ وَلَا تَكُن لِّلۡخَآئِنِينَ خَصِيمٗا
"Sesungguhnya Kami menurunkan kepadamu (wahai Muhammad SAW) Kitab (Al-Quran) dengan membawa kebenaran, supaya Engkau menghukum di antara manusia menurut apa yang Allah telah tunjukkan kepadaMu (melalui wahyuNya) dan janganlah Engkau menjadi pembela bagi orang-orang yang khianat." (Surah An-Nisa', ayat 105)
Tegasnya, bahawa usul ini adalah membuka pintu ke arah mengisi kemerdekaan yang kita warisi bersama daripada generasi awal yang memperjuangkan kemerdekaan negara. Kemerdekaan itu bukan sekadar menghalau penjajah asing keluar daripada tanah air kita, bahkan juga membuang segala peninggalan mereka, termasuklah aspek perundangan. Mereka yang menghalang usaha ini adalah saki baki penjajahan pemikiran yang wajib membebaskan fikiran mereka daripadanya.
Kita wajib berterima kasih kepada semua pihak, kerajaan dan bukan kerajaan yang mendukung dan menyokong, serta memohon Allah supaya diberi pahala dan fadhilat manakala kepada pihak yang lain supaya bertaubat dan mendapat hidayat.
Kepada yang mahu bercakap atau menulis dalam tajuk ini, bacalah firman Allah SWT:
وَلَا تَقۡفُ مَا لَيۡسَ لَكَ بِهِۦ عِلۡمٌۚ إِنَّ ٱلسَّمۡعَ وَٱلۡبَصَرَ وَٱلۡفُؤَادَ كُلُّ أُوْلَٰٓئِكَ كَانَ عَنۡهُ مَسُۡٔولٗا
"Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya (pada hari kiamat nanti) tentang apa yang dilakukannya." (Surah Al-Isra': ayat 36)
“BERISTIQAMAH HINGGA KEMENANGAN”
ABDUL HADI AWANG
PRESIDEN PAS
24 Syaaban 1437 / 31 Mei 2016 - HARAKAHDAILY 31/5/2016
No comments:
Post a Comment