Monday, June 13, 2016

Kisah Bukit Besi - Tempat Penuh Bersejarah



Sejarah Bukit Besi Bandar Perlombongan


Bandar Bukit Besi adalah salah satu bandar kecil yang terdapat di daerah Dungun, Terengganu, Malaysia. 

Bukit Besi terkenal kerana dahulunya merupakan tempat perlombongan bijih besi dan kawasan yang mempunyai hasil bumi iaitu bijih besi dengan banyaknya.
Stesen Keretapi Bukit Besi.

Kronologi Sejarah Bukit Besi

Bagaimana Bukit Besi mendapat nama? 

Ada pendapat menyatakan, ceritanya bermula dengan penemuan oleh beberapa orang penduduk setempat yang masuk ke hutan untuk mencari rotan. 

Ketika dalam perjalanan mereka berhenti rehat dan ingin menikmati bekal yang dibawa.

Salah seorang daripada mereka ternampak seketul batu sederhana besar dan sesuai dijadikan tempat duduk. 

Beliau lalu mengambil keputusan untuk mengangkat batu tersebut. 

Walau bagaimanapun, niatnya terpaksa dibatalkan apabila batu tersebut ternyata sangat berat. 

Ada yang cuba untuk mengangkat batu tersebut namun tetap juga gagal. 

Maka salah seorang daripada mereka mencadangkan menamakan tempat tersebut dengan nama Bukit Besi dan ia kekal sehingga ke hari ini.
sejarah bukit besi


Manakala sejarah kegiatan perlombongan bijih besi di Bukit Besi bermula apabila seorang ahli kaji bumi dari Jepun,  Mr. Kuhara datang ke Cemuak, Ulu Dungun pada tahun 1916. 

Beliau  mendapati terdapat kandungan bijih besi dengan jumlah yang besar di kawasan tersebut. 

Pada permulaannya, bijih besi diangkut dengan menggunakan kereta tolak daripada Bukit Besi ke Kampung Dendang. 

Kemudian ia dibawa ke Dungun menggunakan bot. Syarikat Kuhara Mining Ltd yang bertanggungjawab sepenuhnya menjalankan kegiatan melombong bijih secara tidak rasmi semenjak 1927.

Ia kemudian ditukar nama kepada Nippon Mining Company (NMC). 'Mining Lease' telah dikeluarkan dengan rasmi oleh Kerajaan Terengganu kepada NMC pada 13 Januari 1929.

Kawasan yang berkeluasan kira-kira 360 hektar, terdiri daripada M.L. 129, M.L. 130, M.L. 131 dan M.L. 132 adalah pecahan daripada M.L. 75, iaitu  kawasan yang telah dikurniakan oleh Sultan Terengganu kepada seorang kerabatnya, Tengku Abu Bakar Tengku Abdul Jalil.
Bukit Besi

Pada tahun 1930, laluan kereta api Dungun - Bukit Besi telah dapat disiapkan di stesen Che' Lijah. 'Stock Pile' atau Tempat Memunggah Bijih yang pertama juga adalah di Kampung Che' Lijah. 

Dari situ bijih-bijih besi dimuatkan ke dalam bot untuk dibawa ke Kuala Dungun. Tahun 1935, jumlah penduduk di Bukit Besi telah meningkat sehingga 6,000 orang (termasuk 3,000 pekerja). Pendapatan penduduk Bukit Besi pada masa itu sangat mewah.

Perkhidmatan awam seperti bekalan air, elektrik, kereta api juga disediakan secara percuma. Sebuah terowong yang dikenali sebagai Bukit Tebuk dapat disiapkan dalam tahun 1936. 

Perjalanan melalui Bukit Tebuk dapat menjimatkan masa. Oleh itu tempat memunggah bijih  dari Che Lijah telah dipindahkan ke Nibong, dan akhirnya dipindahkan pula ke Sura.

Pengeluaran bijih besi oleh NMC mencapai kemuncaknya antara 1936 - 1940. 

Selepas itu ia mula menurun dan berakhir pada tahun 1945, iaitu selepas Jepun menyerah kalah kepada British dalam Perang Dunia ke II. 

Tiada aktiviti perlombongan yang dijalankan sekitar 1946 - 1949 kerana keadaan darurat dan tiada permintaan.  Kerajaan British telah menjual harta lombong Bukit Besi kepada Eastern Mining and Metal Company(EMMCO). 

EMMCO telah memulakan kegiatannya  secara besar-besaran di awal 1950an, kerana permintaan yang tinggi dari syarikat-syarikat di Jepun. 

Untuk mendapatkan keuntungan besar dalam masa yang singkat, EMMCO telah menggandakan pengeluaran bijih. 

Aktiviti pengeluaran dijalankan 24 jam sehari tanpa henti, kecuali hari Jumaat. 

Jentera-jentera moden juga telah digunakan dalam proses pemecahan batu-batu bijih. 

Dengan ini, pihak syarikat telah berjaya meningkatkan pengeluaran dan menghasilkan bijih besi yang lebih bermutu, di samping mengaut keuntungan yang berlipat ganda.

Kemuncak pengeluaran ialah antara 1960-1964 di mana jumlah pengeluaran melebihi 2,000,000 tan setahun. 

Pada 1 Oktober 1970, Lembaga Pengarah EMMCO telah membuat keputusan muktamad untuk menutup lombong Bukit Besi. 

Terdapat berbagai faktor yang menyebabkan penutupan lombong tersebut walaupun kandungan bijih besi dipercayai masih banyak lagi. 

Penutupan lombong bijih besi ini telah mempengaruhi ekonomi dan kehidupan penduduk-penduduk Bukit Besi dan Dungun. 

Ramai daripada mereka telah berhijrah ke tempat-tempat lain untuk mendapatkan pekerjaan baru.

Berek Meneng. (Berek mining) ??



Tiang Opal Di Teluk Lipat Dungun (Sekarang dah tak ada)

Sumber http://bukitbesi.blogspot.my, http://trulyterengganu.blogspot.my/2010/09/kuih-qasidah.html
sumber : beritasini.com

Kerana Islam atau kerana politik?


TUAN GURU ABDUL HADI AWANG |

Isu Rang Undang-Undang Ahli Persendirian menurut Peraturan Mesyuarat 49 (1), bernama Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan 2016), menjadi perbincangan hangat, kerana adanya kalangan yang menjadikannya pertikaian yang dihangatkan dan modal politik tanpa maruah.
Kepada penganut Islam, sila tepuk dada tanya iman, bukan tepuk dada tanya selera. Wajib berdalil bukannya berdalih dan berdolak dalik. Di mana kepentingan menegakkan Islam yang diimani mengatasi tujuan politik, walaupun poilitik itu sebenarnya tidak boleh dipisahkan daripada Islam, namun kemanisan iman yang disifatkan oleh Rasulullah SAW:
ثلاث من كن فيه وجد حلاوة الإيمان , أن يكون الله ورسوله أحب إليه مما سواهما , وأن يحب المرأ لايحبه إلا لله , وأن يكره أن يعود في الكفر كما يكره أن يقذف في النار (البخاري)
"Ada tiga perkara, sesiapa yang mempunyainya, menandakan masih adanya kemanisan iman didalam dirinya. (1) Allah dan Rasul dikasihinya lebih daripada yang lain. (2) Dia megasihi seseorang secara ikhlas kerana Allah dan (3) Dia benci kepada kekufuran laksana tidak mahu kalau dia dicampak ke dalam api neraka." (Al-Bukhari)
Kemanisan ini menjadikan semua pihak dalam kalangan penganut Islam tanpa mengira fahaman politik, termasuk yang tidak berpolitik, semuanya mendukung tujuan memartabatkan Syariat Allah secara umum, termasuk DYMM Raja-Raja melalui titah ucapan Yang di-Pertuan Agong dalam perasmian Sidang Parlimen ini pada 7 Mac 2016. Tegas Baginda, mahukan taraf Mahkamah Syariah ditinggikan. Bukan undang-undang Hudud yang mengikut mereka yang berfahaman sempit terhadap Islam, yang meletakkan undang-undang Islam hanya jenayah Hudud. Maka dijadikan satu-satunya senjata paling kuat untuk menyerang Islam.
Usul seumpama ini telah diangkat beberapa kali, sejak Parliman Ke-9 (1995) dan persidangan akhir tahun 2015. Perubahan dibuat melalui rundingan di luar Parlimen, kerana medan politik bukan sahaja berbahas dalam Parlimen. Amalan demokrasi bukan sahaja dalam Parlimen, termasuk hubungan diantara kerajaan dan pembangkang secara perbincangan. Usul ini dibawa terlebih dahulu secara rundingan di luar Parlimen, mencari pendekatan damai, walaupun berbeza pendapat dan pendekatan.
PAS tidak perlu memikul kesalahan DAP yang mengumpul masyarakat bukan Islam khususnya kaum Cina dan lain-lain ke dalam bakul pembangkang DAP, sehingga memilih secara kasar dan hanya bersorak di dalam Parlimen dan demonstrasi di jalanan untuk paparan berita hangat media.
Sebenarnya, usul ini berkaitan dengan penganut Islam sahaja, bagi membetulkan asas perlembagaan Negara. Perkara 3, Islam adalah Agama Persekutuan dan agama-agama lain dibenarkan untuk diamalkan secara bebas. Masalahnya Islam yang menjadi Agama Persekutuan ini masih tidak bebas, khusus bagi penganut Islam yang sudah dihimpit dengan masalah yang wajib diselesaikan dengan Syariat Islam.
Inilah yang menyedarkan umat Islam sendiri, bukan sahaja PAS, termasuk juga Umno dan lain lain, sama ada dia berpolitik atau tidak, daripada rakyat biasa sehinggalah Raja-Raja dan para pemimpin, seorang Islam yang baik atau jahat, kerana kecintaan kepada Islam yang ada dalam hati-hati mereka. Maka campur tangan pihak lain terhadapnya boleh dianggap melanggar sempadan dan mahu memecah tembok perbezaan yang harmoni.
Usul ini telah dikemukakan mengikut tempoh masa yang diwajibkan oleh Peraturan Mesyuarat, terlebih dahulu sebelum daripada kemalangan helikopter yang mengorbankan dua Ahli Parlimen yang kami semua mendoakan rahmat Allah kepada mereka, sehingga terpaksa diadakan dua PRK. Kalau usul tidak dikemukakan cukup tempoh harinya maka usul hendaklah ditolak. Usul ini sekadar menaikkan taraf Mahkamah Syariah dan sebahagian daripada hukum syariat yang hukumannya dalam perkara umum, termasuk undang-undang keluarga, pusaka dan wakaf yang lebih rendah daripada mahkamah sivil paling rendah. Inikah kedudukan Islam yang menjadi agama negara dalam perlembagaan?
Jelasnya, bahawa Rang Undang-Undang ini lebih bersifat menyempurnakan prasarana Sistem Kehakiman Islam yang menunjukkan bahawa Undang-Undang Allah SWT lebih menjamin keadilan daripada undang-undang ciptaan manusia dan membetulkan perjalanan undang manusia yang diizin Allah, di mana Mahkamah Syariah dan hukumannya lebih berkonsep mendidik masyarakat, bukannya menghukum.
Adapun hukuman jenayah yang disebut di bawah pindaan ini, lebih banyak dalam perkara takzir yang terlalu ringan yang bersifat mendidik masyarakat Islam dan menjadi contoh kepada masyarakat bukan Islam tanpa paksaan. Ada pun hukuman jenayah berat dalam perkara Hudud dan Qisas seperti hukman bunuh, memotong tangan pencuri yang amat ditakuti oleh DAP dan sepertinya tidak terlibat. Sepatutnya mereka tidak perlu takut kalau tidak mencuri atau merompak, kerana pindaan undang-undang ini memerlukan majoriti 2/3, di mana mereka boleh menghalangnya, kerana sudah pasti mereka tidak menyokong, bahkan menghalangnya, kerana perangai mereka begitu rupa, walaupun perkara urusan penganut Islam.
Diulang lagi, sepatutnya pihak bukan Islam tidak perlu takut kerana ini bukan urusan mereka, ini urusan penganut Islam sahaja.
Kami hanya membawa usul untuk dibaca kali yang pertama yang belum boleh dibahas sebelum diluluskan, mengikut Peraturan Mesyuarat 15(5), untuk memberi peluang kepada semua pihak mengkaji dan menyediakan hujah dan alasan sehingga Persidangan Parlimen yang akan datang, memakan masa menunggunya lebih daripada tiga bulan.
Kepada penganut Islam yang wajib menyokong usul ini, saya memberi peringatan dengan firman Allah SWT di dalam Al-Quran:
وَأَنِ ٱحۡكُم بَيۡنَهُم بِمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ وَلَا تَتَّبِعۡ أَهۡوَآءَهُمۡ وَٱحۡذَرۡهُمۡ أَن يَفۡتِنُوكَ عَنۢ بَعۡضِ مَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ إِلَيۡكَۖ فَإِن تَوَلَّوۡاْ فَٱعۡلَمۡ أَنَّمَا يُرِيدُ ٱللَّهُ أَن يُصِيبَهُم بِبَعۡضِ ذُنُوبِهِمۡۗ وَإِنَّ كَثِيرٗا مِّنَ ٱلنَّاسِ لَفَٰسِقُونَ
"Dan hendaklah Engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah Engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanMu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadaMu. Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, hanyasanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab setengah dari dosa-dosa mereka dan sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adalah orang-orang yang fasik." (Surah Al-Maidah, ayat 49)
Adapun kepada parti yang dinamakan Parti Amanah yang pandai bersilat dengan kata-kata dan alasan berdalih, saya sebutkan firman Allah SWT:
إِنَّآ أَنزَلۡنَآ إِلَيۡكَ ٱلۡكِتَٰبَ بِٱلۡحَقِّ لِتَحۡكُمَ بَيۡنَ ٱلنَّاسِ بِمَآ أَرَىٰكَ ٱللَّهُۚ وَلَا تَكُن لِّلۡخَآئِنِينَ خَصِيمٗا
"Sesungguhnya Kami menurunkan kepadamu (wahai Muhammad SAW) Kitab (Al-Quran) dengan membawa kebenaran, supaya Engkau menghukum di antara manusia menurut apa yang Allah telah tunjukkan kepadaMu (melalui wahyuNya) dan janganlah Engkau menjadi pembela bagi orang-orang yang khianat." (Surah An-Nisa', ayat 105)
Tegasnya, bahawa usul ini adalah membuka pintu ke arah mengisi kemerdekaan yang kita warisi bersama daripada generasi awal yang memperjuangkan kemerdekaan negara. Kemerdekaan itu bukan sekadar menghalau penjajah asing keluar daripada tanah air kita, bahkan juga membuang segala peninggalan mereka, termasuklah aspek perundangan. Mereka yang menghalang usaha ini adalah saki baki penjajahan pemikiran yang wajib membebaskan fikiran mereka daripadanya.
Kita wajib berterima kasih kepada semua pihak, kerajaan dan bukan kerajaan yang mendukung dan menyokong, serta memohon Allah supaya diberi pahala dan fadhilat manakala kepada pihak yang lain supaya bertaubat dan mendapat hidayat.
Kepada yang mahu bercakap atau menulis dalam tajuk ini, bacalah firman Allah SWT:
وَلَا تَقۡفُ مَا لَيۡسَ لَكَ بِهِۦ عِلۡمٌۚ إِنَّ ٱلسَّمۡعَ وَٱلۡبَصَرَ وَٱلۡفُؤَادَ كُلُّ أُوْلَٰٓئِكَ كَانَ عَنۡهُ مَسۡ‍ُٔولٗا
"Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya (pada hari kiamat nanti) tentang apa yang dilakukannya." (Surah Al-Isra': ayat 36)
“BERISTIQAMAH HINGGA KEMENANGAN”
ABDUL HADI AWANG
PRESIDEN PAS

24 Syaaban 1437 / 31 Mei 2016 - HARAKAHDAILY 31/5/2016