Friday, March 28, 2014

Gambar Sekitar bantahan hukuman mati 529 rakyat Mesir






KUALA LUMPUR:
Pemimpin politik dan NGO bersama ribuan orang ramai menyertai himpunan aman di hadapan Kedutaan Mesir di ibu negara hari ini.

Mereka mula berarak ke pejabat kedutaan selepas solat Jumaat sebagai membantah hukuman mati yang djatuhkan mahkamah Mesir di Minya kepada 529 rakyat negara itu, Isnin lalu.

Beberapa pemimpin menyampaikan ucapan pada himpunan tersebut.


























- Harakahdaily

Mengimbas kembali Misteri MH653 Yang Terhempas Di Tanjong Kupang 1977




Saja aku carik pasal 'Turbulence' kat internet, tetiba jumpa ni. 'Turbulence' tu ialah gegaran disebabkan pelanggaran awan dan angin yang kuat. Aku dah la selalu menggunakan kapal terbang untuk balik ke kampung halaman, tak sangka tragedi kapal terbang terhempas pernah berlaku di Malaysia dan ianya membuatkan aku cuak jugak.



Pada hari Isnin 4 Disember 1977 adalah tarikh yang paling mendukacitakan rakyat Malaysia dalam sejarah Penerbangan Malaysia (MAS) apabila salah sebuah pesawat miliknya terhempas dan mengorbankan banyak nyawa termasuk orang kenamaan. Penerbangan MH653 yang membawa seramai 93 penumpang bersama tujuh krew penerbangan telah meletup dan terhempas di sebuah kawasan paya bakau dekat Kampung Ladang, Tanjong Kupang, Gelang Patah, Johor.




Rangka pesawat itu berkecai dan terbakar hingga meranapkan muka bumi seluas kira-kira dua kilometer persegi dari titik hentamannya. Peristiwa yang berlaku 34 tahun lalu itu juga meninggalkan memori hitam kepada sejarah negara apabila ia turut mengorbankan Duta Cuba ke Malaysia yang pertama, Mario Garcia Inchaustegui dan isterinya, Gladys yang dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur selepas menghadiri seminar di Pulau Pinang.

Berdasarkan kisah yang dinyatakan kepada umum, pada pukul 7.21 malam hari kejadian, pesawat Boeing 737 yang dikendalikan Kapten G.K. Ganjoor dan pembantunya, Kamarulzaman Jalil itu sedang dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Pulau Pinang menuju ke Lapangan Terbang Subang.



Sebelum sempat melakukan pendaratan di Lapangan Terbang Subang, Ganjoor sempat memberitahu menara kawalan mengenai kehadiran pengganas di dalam pesawat yang sedang dikendalikannya. Selepas mengetahui perkara tersebut, pihak berkuasa Lapangan Terbang Subang segera mengosongkan laluan 33 bagi membolehkan pesawat Boeing 737 kendalian Ganjoor dan Kamarulzaman mendarat dengan selamat.



Bagaimanapun, pesawat tersebut tidak sempat untuk melakukan pendaratan di lapangan terbang itu, sebaliknya Ganjoor bertindak terbang semula ke awan dan memberitahu menara kawalan yang dia diarahkan oleh pengganas untuk menuju ke Singapura. Peristiwa ini mempunyai kisah misteri dan seramnya tersendiri, untuk mengetahui kisah misteri dan seram tersebut, teruskan membaca dengan klik link dibawah ni.
Kira-kira pukul 8.15 malam, pesawat yang membawa 93 penumpang bersama tujuh krew penerbangan itu hilang dari radar menara kawalan dan terhempas di sebuah kawasan hutan paya bakau di Tanjong Kupang, Gelang Patah.

Selain mengorbankan Mario Garcia dan usahawan Jepun, Tomio Gotto, tragedi pesawat MH653 itu turut meragut nyawa Menteri Pertanian, Datuk Seri Ali Ahmad; Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya, Tan Sri Mahfuz Khalid; Pengarah Kerja Raya Bahagian Tentera, Datuk Khalid Mohamad; Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perikanan, Abu Bakar Othman Merican serta dua pegawai Bank Dunia, O.D. Hoerr dan S.A. Naime.



Tempat tragedi pesawat MH653 itu adalah sebahagian daripada kawasan paya seluas 800 hektar milik kerajaan yang kini diletakkan di bawah jagaan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) secara konsesi dan dirizabkan sebagai zon bebas aktiviti manusia. Paya yang hangus dan menjadi saksi kepada 100 jiwa yang terkorban itu kini hanyalah hamparan muka bumi yang mirip hutan sekunder.



Peristiwa Misteri dan Seram

Bagaimanapun, kejadian itu terus mewujudkan pelbagai andaian, cerita dan kenangan. Pelbagai cerita aneh turut diceritakan pelbagai pihak selepas kejadian itu. Antaranya, kisah seorang pemandu teksi mengambil penumpang wanita muda bersama seorang anak kecil di kampung itu, tidak jauh dari kawasan kemalangan. Penumpang berkenaan meminta dihantar ke Jalan Kebun Teh iaitu tanah perkuburan khas bagi menempatkan mangsa tragedi.

Apabila sampai di situ, wanita itu meminta keluar sebentar untuk menziarah makam dengan menumpangkan anak kecilnya di tempat duduk hadapan teksi. Bagaimanapun, sebaik berpaling melihat wanita itu berjalan ke arah makam, anak kecil di sebelah tempat duduknya bertukar menjadi batu nisan dan wanita itu turut ghaib.

Sehingga kini, tidak ada pokok termasuk pokok bakau dapat hidup di kawasan kapal terbang terhempas itu. Ketua Kampung Ladang, Tanjung Kupang, Abu Bakar Mohd Ali (gambar), 58, berkata beliau masih teringat kira-kira lima hari selepas kejadian, dia menerima kedatangan seorang pelanggan, seorang anggota polis hutan yang membeli barangan keperluan di kedai runcitnya. Beliau berkata, ketika itu, dia perasan, wang yang digunakan untuk membeli barangan adalah wang kertas RM5 yang banyak ditemui di lokasi kemalangan serta berbau darah.

“Saya mengesyaki wang berkenaan milik mangsa yang terbabit dalam nahas itu. Saya mencium wang berkenaan untuk memastikannya selepas pelanggan berkenaan meninggalkan kedai dan saya yakin ia berbau darah,” katanya.
Abu Bakar berkata, berikutan kejadian itu, dia menjadi gelisah dan tidak dapat tidur semalaman.


“Bagaimanapun apa yang menakutkan ialah bayangan lembaga hitam mengganggunya sehingga dia berasa seolah-olah ada benda berat menindih badannya. “Saya tidak dapat melihat dengan jelas lembaga hitam itu sama ada lelaki atau perempuan. Bagaimanapun, saya percaya ia disebabkan saya menerima wang milik mangsa kemalangan berkenaan.“Kejadian itu menyebabkan saya menjadi seperti tidak tentu arah dan sentiasa terperanjat hampir seminggu,” katanya.

Seorang nelayan, Sulaiman Othman, 58, berkata kawasan nahas berkenaan berhampiran sebuah pangkalan nelayan. Katanya, dia sering berulang-alik di kawasan itu termasuk pada hari kejadian apabila turun ke laut untuk menangguk udang kira-kira jam 7.30 malam bersama dua lagi rakan.

“Kira-kira jam 8.45 malam, kami terdengar bunyi bising. Pada mulanya, kami ingat bunyi kapal terbang Singapura menjalani latihan. Bagaimanapun, bunyinya pelik dan berdesing seperti wisel. “Tidak berapa lama kemudian, kami melihat sebuah pesawat terbang rendah dan terdengar bunyi dentuman sebelum satu letupan kuat dan api menjulang beberapa puluh meter ke udara,” katanya.

Sulaiman berkata, kejadian itu menyebabkan pelbagai dokumen dan barangan turut tercampak ke laut.


“Saya amat terkejut dan bersama seorang rakan kembali ke darat untuk melihat apa yang terjadi. Saya dapati pelbagai barangan bersepah berhampiran tempat kejadian seperti pakaian, makanan, kertas dan sebagainya. “Kami juga melihat satu daripada sayap kapal terbang berkenaan tercacak pada benteng manakala tayar di kawasan bakau. Selain itu, banyak wang kertas RM5 turut ditemui bertaburan di atas tanah serta perut manusia. “Semua mayat sudah hancur dan tidak lagi kelihatan bentuk. Apa yang kami dapat lihat ketika itu hanya gumpalan daging saja,” katanya.

Beliau yang dipercayai penduduk kampung pertama sampai di tempat kejadian mendakwa menemui ikan kurau kering masih elok di dalam sebuah bakul yang biasa dibawa masyarakat Cina pada masa itu. Katanya, tidak lama kemudian, satu helikopter dari Singapura sampai di tempat kejadian dan mula menyuluh ke tempat kejadian.

“Mereka juga mengikuti pergerakan kami di lokasi berkenaan untuk tempoh beberapa minit menyebabkan kami meninggalkan lokasi berkenaan. “Mungkin mereka menyangka kami antara mangsa terselamat dalam nahas berkenaan,” katanya yang mendakwa tidak lama kemudian berpuluh-puluh ambulans dan jentera bomba datang ke tempat kejadian untuk membantu mangsa nahas.

Sulaiman berkata, tiga hari selepas kejadian, dia memasuki kawasan tragedi dan cuba mengambil sebelah kasut kulit yang ditemui di tempat kemalangan berkenaan.

“Saya sungguh terkejut apabila mendapati ada kaki manusia di dalam kasut berkenaan. Saya juga ada mendengar cerita seorang penduduk kampung mengambil kasut di kawasan kemalangan tetapi terpaksa memulangkan semula apabila tidak dapat tidur,” katanya.

Bagaimanapun, Sulaiman dan Abu Bakar kesal kerana janji untuk membina peringatan di atas kawasan nahas berkenaan tidak ditunaikan. Kawasan itu kini diambil alih dan menjadi sebahagian tanah milik Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP).


Tragedi itu mengorbankan 73 rakyat Malaysia, tiga rakyat Australia, Inggeris (lima), Jerman (empat), Afghanistan (satu), India (tiga), Thailand (satu), Jepun (satu), Singapura (satu), Kanada (satu) dan tiga rakyat Indonesia, Amerika Syarikat (satu), Cuba (dua) dan Greece (satu).



Tugu Peringatan Tanjong Kupang di Jalan Kebun Teh, Johor Bahru itu telah dibina sebagai usaha untuk memperingati mereka yang terkorban dalam tragedi Tanjung Kupang.

Sumber : Pengalamanituguruterbaik, Anak Jati Muar

Damn scary!
http://johanharith.blogspot.com


Thursday, March 27, 2014

Filipina, MILF meterai perjanjian bersejarah






Kerajaan Filipina (GPH) dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) hari ini membuka lembaran baharu bagi hubungan mereka sebelum ini yang ditandai dengan permusuhan dan sikap saling tidak mempercayai apabila mereka duduk semeja untuk menandatangani Perjanjian Komprehensif mengenai Bangsamoro (CAB) bagi membuka jalan ke arah mencari penyelesaian politik di Mindanao.

Perjanjian penuh bersejarah yang diusahakan Malaysia ini berlangsung di perkarangan Istana Malacanang serta turut dihadiri Presiden Filipina Benigno Aquino III dan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak.

Rundingan damai dengan MILF, yang bermula pada 1997, bertujuan menamatkan pemberontakan di wilayah selatan Filipina sejak tahun 1970-an, yang sehingga kini telah meragut lebih 100,000 nyawa.
  
Malaysia bertindak sebagai pemudah cara pihak ketiga dalam proses damai ini, dengan Kuala Lumpur mula menyertainya pada 2001.
  
Perjanjian damai GPH-MILF bermatlamat mewujudkan satu entiti politik berperintahan sendiri dikenali sebagai Bangsamoro, yang akan mempunyai lebih banyak kuasa politik dan ekonomi.

Entiti baru ini akan menggantikan Wilayah Autonomi Islam Mindanao, sejajar dengan Undang-undang Asas Bangsamoro, yang akan diluluskan Kongres Filipina dan disahkan penduduk terbabit.
  
Ketika mengalu-alukan penandatanganan perjanjian itu, Najib berkata Malaysia akan terus membantu meningkatkan kemajuan Bangsamoro dalam usahanya untuk mewujudkan institusi, mengukuhkan pendidikan dan menambah baik sektor pertanian.
  
“Dua tahun lepas, saya berjanji kepada Presiden Aquino bahawa Malaysia akan terus memberi bantuan dari segi pembangunan. Janji ini terpakai selagi ia diperlukan. Malaysia akan terus menjadi rakan ke arah perdamaian.
  
Beliau berkata Malaysia bangga kerana dapat memainkan peranannya dalam proses damai Filipina-MILF, yang membantu mengukuhkan lagi ikatan kepercayaan antara Malaysia dan GPH.
  
“Apa yang kami inginkan hanyalah keamanan dan kemakmuran saudara kami di Bangsamoro dan Filipina.
  
“Sambil kita mengharapkan masa depan lebih cerah untuk Bangsamoro, saya berikrar Malaysia akan terus memberi sokongannya. Kami akan terus memainkan peranan kami sebagai pemudah cara pihak ketiga dan terus berusaha melalui Pasukan Pemantauan Antarabangsa di Mindanao,” katanya.

Najib yakin GPH akan terus bekerjasama dengan MILF dalam menyediakan deraf Undang-undang Asas Bangsamoro kerana sokongan semua pihak adalah penting sekiranya mereka ingin melihat ia diluluskan Kongres Filipina dan dalam pungutan suara di Bangsamoro.
  
Katanya CAB bersejarah itu menjamin hak rakyat Bangsamoro dan kedaulatan Filipina.
  
"Kami berharap rakyat Bangsamoro akan bekerjasama dengan kerajaan Filipina dan MILF untuk menjamin kejayaannya.
  
Najib menggesa semua pihak supaya menghayati semangat dan kandungan perjanjian itu bagi memastikan wujudnya sikap hormat terhadap agama dan mengamalkan prinsip membenci keganasan.

"Kita patut menghormati hak asasi manusia, menjunjung tinggi keluhuran undang-undang dan mengamalkan kesederhanaan. Hanya melalui penyelesaian yang dicapai secara rundingan, keamanan berkekalan boleh dinikmati. Dan hanya tadbir urus yang baik sahajalah yang boleh menjamin tercapainya cita-cita bersama kita: melihat Bangsamoro yang kuat dan makmur," kata beliau.
  
Najib menyifatkan penandatanganan perjanjian itu sebagai peristiwa bersejarah tentang keberanian dan yakin ia akan mengubah sejarah negara mereka.
  
"Dengan menyertai proses damai, MILF telah membalas kepercayaan yang diberi kepadanya oleh rakyat. Dengan berunding secara penuh keikhlasan, kerajaan Filipina mengesahkan hak Bangsamoro untuk menentukan nasib sendiri.
  
"Perpaduan tidak boleh dicapai dalam tempoh semalaman. Selepas bertahun-tahun, tidak terdapat jalan pintas mengenainya. Banyak lagi usaha perlu dilakukan dan akan terdapat halangan dalam melaksanakannya. Tetapi, komitmen terhadap keamanan - komitmen yang dapat saya lihat wujud di dalam dewan ini hari ini - tidak sepatutnya luntur," kata beliau.
  
Najib memuji usaha luar biasa yang dilakukan hingga membolehkan perjanjian itu ditandatangani, dengan kedua-dua pihak bekerja sepenuh hati untuk memastikan rakyat Bangsamoro dapat menikmati dividen keamanan yang tidak terhitung jumlahnya.
  
Sementara itu, beliau juga menyampaikan ucapan terima kasih atas sokongan negara jiran, termasuk Filipina dalam usaha mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370, yang hilang sejak 8 Mac.

"Kehilangan 239 orang yang menaiki Penerbangan MH370 amat menyedihkan ...dalam menghadapi detik-detik sukar ini, kami mendapat kekuatan daripada bantuan dan ihsan negara-negara sahabat," katanya.

Sementara itu, dalam kenyataannya, Aquino berkata rakyat Filipina akan terhutang budi selama-lamanya kepada Malaysia dan kehadiran Malaysia memberi sinar kepada setiap peringkat perjanjian damai itu.

Ketika menzahirkan penghargaannya kepada semua negara yang terlibat menjadikan perjanjian damai itu suatu kenyataan, beliau berkata sesungguhnya, Malaysia, di bawah kepimpinan Najib, telah memainkan peranan penting.
  
"Kita sama-sama menunjukkan suatu contoh kepada seluruh dunia. Perjanjian ini menjadi bukti bahawa kepercayaan dan kesungguhan mampu menggerakkan sifat kemanusiaan ke tahap lebih jauh.
  
"Ia menunjukkan betapa kejujuran, perasaan muhibbah merupakan alat paling berkesan untuk menamatkan konflik, ia membuktikan bahawa usaha mencari kesepakatan pasti membawa hasil yang tidak terhitung banyaknya," katanya.
  
Aquino berkata Pihak Berkuasa Transisi Bangsamoro akan ditubuhkan menjelang 2015 untuk berfungsi sebagai kerajaan sementara sehinggalah pilihan raya diadakan pada 2016.

Dokumen CAB 12 perkara itu ditandatangani pengerusi panel perdamaian MILF Mohagher Iqbal bagi pihak MILF dan ketua panel perdamaian Filipina Miriam Coronel-Ferel bagi pihak kerajaan Filipina.

Upacara menandatangani perjanjian itu disaksikan Najib dan Aquino.

- Bernama

Tuesday, March 25, 2014

Hanya Kotak Hitam Dapat Selesaikan Misteri MH370






KUALA LUMPUR — Nasib penerbangan MH370 milik  Malaysia Airlines sejak 16 hari lepas, terjawab malam tadi menerusi pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa penerbangan itu berakhir di selatan Lautan Hindi.

Berdasarkan rumusan itu hanya kotak hitam pesawat Boeing 777-200ER berkenaan
yang dapat menjawab misteri kehilangannya sejak awal pagi 8 Mac lepas.

(KLIK – Apakah Itu Yang Dikatakan Sebagai Kotak Hitam Pesawat?)
Perdana Menteri pada Isnin malam berkata berdasarkan taklimat Cawangan
Siasatan Kemalangan Udara United Kingdom (AAIB) dan analisis lanjut data oleh
Inmarsat, kesimpulan dibuat bahawa MH370 terbang di koridor selatan dan
kedudukan terakhirnya di tengah-tengah Lautan Hindi, barat Perth.
“Kawasan ini merupakan lokasi terpencil, jauh dari sebarang tempat
pendaratan. Oleh itu dengan perasaan amat sedih dan terharu saya ingin
memaklumkan bahawa menurut data terkini, penerbangan MH370 berakhir di selatan
Lautan Hindi,” kata Najib
Pesawat itu yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal dalam penerbangan
ke Beijing apabila dilapor hilang daripada radar kira-kira 1.30 pagi 8 Mac,
setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
Sejak hari pertama kehilangannya, lebih 12 negara membantu Malaysia dalam
misi mencari dan menyelamat pesawat tersebut.
Pada Isnin, pesawat Australia dan China masing-masing mengesan beberapa
objek yang terapung di selatan Lautan Hindi, namun belum diambil.
Pihak berkuasa Malaysia akan mengadakan sidang media esok untuk menjelaskan
butiran lanjut mengenai perkembangan terbaharu itu.
BERNAMA

Monday, March 24, 2014

Penerbangan MH370 disahkan berakhir di selatan Lautan Hindi, umum Najib


Seorang anggota keluarga penumpang MH370 tidak dapat menahan emosi dan terjatuh di sebuah eskalator di Hotel Lido, Beijing, selepas mendengar pengumuman terbaru yang mengatakan pesawat Malaysia Airlines tersebut telah berakhir di sebuah kawasan terpencil di Lautan Hindi. - Gambar Reuters, 24 Mac, 2014.Seorang anggota keluarga penumpang MH370 tidak dapat menahan emosi dan terjatuh di sebuah eskalator di Hotel Lido, Beijing, selepas mendengar pengumuman terbaru yang mengatakan pesawat Malaysia Airlines tersebut telah berakhir di sebuah kawasan terpencil di Lautan Hindi. - Gambar Reuters, 24 Mac, 2014.Penerbangan Malaysia Airlines MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu disahkan berakhir di sebuah kawasan terpencil di selatan Lautan Hindi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mengumumkan perkembangan terbaru ini kepada pemberita sebentar tadi berkata beliau dimaklumkan mengenai perkara ini oleh wakil Cawangan Siasatan Nahas Udara (AAIB) dari Britain.
Najib berkata, pakar analisis data satelit Inmarsat, yang sebelum ini memberi anggaran lokasi pesawat itu di dua koridor utara dan selatan, merumuskan pesawat malang itu mengakhiri perjalanannya di tengah-tengah Lautan Hindi di barat bandaraya Perth, Australia.
"Ini merupakan lokasi terpencil, jauh dari mana-mana kawasan landasan.
"Dengan penuh rasa sedih dan kesal, saya ingin memaklumkan kepada anda, bahawa berdasarkan data baru ini, penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi," kata Najib dalam sidang media yang turut disiarkan secara langsung.
Datuk Seri Najib Razak ketika mengumumkan berita pengesahan lokasi terakhir pesawat MH370 di PWTC, malam tadi. - Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 24 Mac, 2014.Datuk Seri Najib Razak ketika mengumumkan berita pengesahan lokasi terakhir pesawat MH370 di PWTC, malam tadi. - Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 24 Mac, 2014.Dalam kenyataan ringkasnya, Najib berkata butiran terperinci akan diumumkan pada sidang media esok.
Tambahnya, maklumat terbaru ini dikongsi awal kepada umum untuk menunjukkan komitmen pihak berkuasa Malaysia kepada keterbukaan dan atas rasa hormat terhadap anggota keluarga yang terlibat.
Najib juga memaklumkan bahawa anggota keluarga sudah diberitahu mengenai perkembangan tersebut.
"Bagi mereka, beberapa minggu yang lalu amat menyayat hati. Saya faham berita ini lebih sukar diterima. Saya menyeru pihak media menghormati privasi mereka, dan memberi mereka ruang menghadapi saat-saat sukar ini," kata Najib.
Sementara itu, ahli keluarga penumpang yang terlibat telah menghadiri sesi taklimat tergempar malam ini, dan rancangan sedang diatur bagi menerbangkan mereka dengan pesawat khas ke Australia, menurut laporan Sky News.
Sumber yang dipetik Sky News berkata ahli keluarga yang terlibat akan dibawa terlebih dahulu ke Beijing sebelum diterbangkan ke Australia, selepas beberapa serpihan dipercayai milik pesawat MH370 dikesan di sebuah kawasan terpencil di selatan Lautan Hindi.
Manakala BBC memetik khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar oleh MAS kepada keluarga terlibat, yang memberitahu bahawa tiada penumpang yang terselamat.
"Dengan penuh rasa kesal, Malaysia Airlines percaya bahawa tidak syak lagi MH370 hilang dan tiada yang terselamat,"‎ kata SMS sepertimana dipetik badan penyiaran Britain itu.
Petang tadi, Putrajaya mengesahkan pasukan penyelamat Australia sedang bergegas ke sebuah kawasan terasing di lautan untuk cuba mendapatkan serpihan yang dilihat sebelumnya.
Serpihan yang berbentuk bulatan dan segi empat itu merupakan peninggalan pertama penerbangan MH370 yang ditemui setelah 17 hari usaha mencari dan menyelamat yang paling besar pernah diadakan untuk sebuah pesawat.
Misi pencarian pesawat MH370 merupakan yang paling lama dalam sejarah penerbangan awam moden.
Rekod tempoh pencarian sebelum ini adalah 10 hari iaitu dalam nahas Boeing 737-400 milik PT Adam Skyconnection Airlines, yang hilang di perairan Sulawesi pada 1 Januari, 2007. - 24 Mac, 2014.

Sumber themalaysianinsider

Saturday, March 22, 2014

Transkrip perbualan MH370 dan menara kawalan tidak mencurigakan, kata Hishammuddin




Meskipun terdapat pihak yang mencurigai kehilangan pesawat MH370, namun pihak berkuasa hari ini mendakwa tiada sebarang keganjilan terhadap transkrip asal perbualan di antara kokpit pesawat MH370 dan menara kawalan.
Bagaimanapun, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata transkrip berkenaan masih dianalisis pasukan penyiasat.


Datuk Seri Hishammuddin Hussein menegaskan tiada sebarang maklumat mencurigakan pada transkrip asal perbualan di antara kokpit dengan menara kawalan. - Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 22 Mac, 2014.Datuk Seri Hishammuddin Hussein menegaskan tiada sebarang maklumat mencurigakan pada transkrip asal perbualan di antara kokpit dengan menara kawalan. - Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 22 Mac, 2014.

“Seperti amalan biasa dalam penyiasatan, transkrip tidak boleh disiarkan kepada umum pada peringkat ini. Saya boleh mengesahkan transkrip tidak mengandungi perkara ganjil,” katanya dalam satu sidang media di Hotel Sama-Sama di Sepang hari ini.

TMI
– 22 Mac, 2014. 


Sumber tranungkite 

MH370: Komunikasi 54 minit terakhir didedahkan The Telegraph




KUALA LUMPUR: Komunikasi pada 54 minit terakhir antara pesawat MH370 yang hilang pada awal pagi 8 Mac dengan menara kawalan didedahkan The Telegraph.

Laporan itu juga mendedahkan transkrip komunikasi juruterbang bersama dan menara kawalan, dan lain-lain pengawal trafik udara , bermula dari masa Boeing 777-200ER itu berlepas dari landasan hingga ke kedudukannya di ketinggian yang mencecah puluhan ribu kaki di atas Laut China Selatan.

Transkrip bermula pada 00.25 dengan arahan am daripada menara kawalan kepada juruterbang pesawat Boeing 777-200ER milik Malaysia Airlines (MAS). Perbualan terperinci bermula pada 00.36.

Ia termasuk pertukaran dari satu lokasi di mana penyiasat percaya pesawat itu telah disabotaj, dan juga perkataan terakhir pembantu juruterbang, Fariq Abdul Hamid , 27: "All right, good night. "

Penganalisis berkata urutan mesej yang muncul sebagai "perfectly routine". Walau bagaimanapun, mereka berkata terdapat dua ciri yang menonjol sebagai berpotensi ganjil.





Yang pertama adalah mesej dari kokpit pada 01:07. yang memberitahu menara kawalan, pesawat itu terbang pada 35,000 kaki. Ini mengulangi mesej yang disampaikan enam minit lebih awal.

Tetapi, ia berlaku pada 1:07, ketika ACARS, peranti isyarat pesawat, menghantar mesej terakhir sebelum ia dipadamkan dalam masa 30 minit kemudian, seperti disengajakan. Satu transponder berasingan telah dipadamkan pada 01:21, namun penyiasat percaya ACARS telah ditutup sebelum 01:19 iaitu ketika komunikasi dari Fariq.

Ciri lain yang pelik, yang boleh dijadikan sebab pesawat itu disyaki mengalami kemalangan adalah bila hilangnya komunkasi dan seterusnya penyerahan pengawal trafik udara di Kuala Lumpur kepada petugas di Bandaraya Ho Chi Minh.

"Jika saya mahu merampas pesawat tersebut, ia akan menjadi point di mana saya akan melakukannya," kata Stephen Buzdygan, bekas juruterbang British Airways yang memandu 777s.

"Mungkin ada sedikit ruang kosong di antara pengawal trafik udara... Ia adalah satu-satunya masa semasa penerbangan mereka akan mungkin tidak telah dapat dilihat dari bawah," katanya.

Maklumat yang didedah The Telegraph itu menambah spekulasi mengenai nasib MH370, sama ada ia adalah mangsa kemalangan tiba-tiba atau dirampas. Transkrip ini juga menunjukkan bahawa jika juruterbang yang terlibat, mereka sangat berhati-hati untuk menyembunyikan niat sebenar mereka.

Menurut transkrip kokpit, dari saat tanda masuk di 12.36 apabila pesawat itu masih di atas darat, Fariq, melakukan rutinnya memberitahu lokasi, kenaikan dan ketinggian.

Walaupun dia telah mengambil pendekatan yang sedikit kasual dan pada masa-masa berlepas dari kata-kata rasminya, tidak apa-apa tanda bahawa kapal terbang akan hilang.

Sesetengah pakar berkata mereka tidak melihat apa-apa yang boleh membuatkan mereka merasa ada perbuatan jahat munkin telah berlaku.

The Telegraph mendakwa mereka telah berulang kali meminta pihak MAS, Pihak Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA) dan pejabat Perdana Menteri untuk mengesahkan rekod komunikasi ini namun hanya pejabat Perdana Menteri memberi jawapan bahawa data itu tidak akan didedahkan.

Pesawat MH370 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) awal pagi 8 Mac dalam penerbangannya ke Beijing.

Namun pesawat itu dilaporkan hilang dari radar awal pagi 8 Mac dan masih hilang hingga ke hari ini.-astroawani




Sumber tranungkite

Friday, March 14, 2014

Thursday, March 13, 2014

Dividen Saham Bank Rakyat 2013. Pembayaran Dividen 15%. Berbaloi-baloi!


dividen bank rakyat
Dividen Saham Bank Rakyat 2013. Pembayaran Dividen 15% : Akhirnya, baru sebentar Bank Rakyat telah mengumumkan dividen Bank Rakyat 2013 khas untuk 950,000 ahlinya bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2013 sejumlah 15%. Banyak bukan?
Pada tahun lepas juga, setiap ahli diberi bonus dalam bentuk saham sebanyak 2%.
Pastinya berbaloi-baloi. Beruntung siapa kalangan anda di sini yang ada saham Bank Rakyat. Pastinya melihatkan kadar dividen Bank Rakyat 2013 yang diumumkan ini, ramai yang terus menyimpan hasrat untuk melabur di Bank Rakyat tetapi masih belum mendapat peluangnya.
Walaubagaimanapun, buat masa sekarang ini, saham Bank Rakyat telah pun ditutup.

Dividen Saham Bank Rakyat 2013 : Ramai Yang Berminat Melabur di Bank Rakyat

  • Tahun 2012, Bank Rakyat ada membuka tambahan 1,000,000,000 saham
  • Minimum saham Bank Rakyat adalah sebanyak RM500
  • Jikalau mahu tambah jumlah saham Bank Rakyat, perlu memohon dan beratur
  • Itupun jikalau ada kalangan ahli yang mahu menjual saham Bank Rakyat mereka
  • Tetapi melihatkan kadar dividen Bank Rakyat sejumlah antara 15%, berapa ramai yang mahu menjualnya?
  • Walaubagaimanapun, boleh terus mencubanya.

Pembayaran Dividen Saham Bank Rakyat 2013 Hari Ini

Semakan Berita Semasa di mana pihak Bank Rakyat sendiri sudah mengesahkannya, dividen Bank Rakyat 2013 akan mula dimasukkan bermula hari ini secara berperingkat-peringkat. Di bawah ini Berita Semasa kongsikan sekali bbeera keping gambar Tower baru Bank Rakyat di Jalan Travers. sangat cantik…
P/S : Bank Rakyat, koperasi Islam terbesar di Malaysia tidak sama Public Bank, Maybank, CIMB kerana mereka ini adalah bank komersil

Sumber beitasemasa