27 MEI — Selepas The Gian Killer, Shamsul Iskandar Md Akin
menegur presiden PAS, Abdul Hadi Awang di kongres nasional PKR tiga hari
lalu berhubung kejadian pertindihan calon di antara PKR dan PAS di
beberapa buah kerusi yang menyebabkan calon PKR (Pakatan Rakyat) kalah,
saya menanti mana-mana pemimpin bangkit PAS menjawab kritikan pedas
Shamsul itu.
Kritikan Shamsul itu memang perlu dibela dan tidak boleh dibiarkan
begitu sahaja kerana ahli Parlimen Bukit Katil itu mempersenda dan
menghina presiden PAS. Adalah dayus kalau PAS membiarkan presiden mereka
dikentuk begitu saja, apa lagi dihadapan ramai. Aib dan air muka
presiden perlu dijaga kerana ia juga maruah parti.
Shamsul secara tidak berselindung menyalahkan kepada Abdul Hadi atas
kejadian itu. Beliau melontarkan kemarahan itu di hadapan perwakilan
kongres nasional PKR. Mungkin dia ada hujah dan maklumat konkrit maka
beliau berani berbuat begitu. Shamsul adalah seorang peguam yang tahu
mentafsir undang-undang dan juga bijak memanipulasikan hujan untuk
kemenangan - kebenaran? Saya mengenali beliau sejak tahun 1998.
Nah, hari ini sudah ada orang PAS yang bangkit membela presiden
mereka. Ia adalah dari anak muda, dari Dewan Pemuda PAS. Anak muda itu
Khairil Nizam Khairuddin yang juga bendahari dewan berkenaan. Kenapa
tidak Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasarudin Hassan yang menjawab? Atau
timbalan ketuanya Nik Mohamad Abduh? Begitu juga kenapa Dewan Muslimat
membisu, apakah mereka suka presiden mereka dicela?
Mungkin Nasarudin mengarahkan anak buahnya itu untuk menjawab bukan
beliau. Jika benar tekaan saya ini, ini menunjukkan ada sedikit
kebijaksanaan dari Nasarudin. Kalau beliau yang menjawab akan nampak
pertentangan di antara dua kumpulan anak muda dalam Pakatan Rakyat dan
situasi itu tidak begitu baik.
Khairil Nizam dalam membalas ketukan Shamsul kepada presiden PAS
tampak agak marah sedikit. Sewajarnya kalau anak muda menunjukkan
kemarahan dan kebengisannya. Kenyataan dalam tujuan begitu harus keras
dan pedas juga.
Beliau mengingati Shamsul agar jangan menjadi hero di hadapan
perwakilan kongres dengan menghentam Abdul Hadi Awang. Beliau kesal
kerana Shamsul menjadikan kritikan kepada Abdul Hadi sebagai modal untuk
menunjuk hebat. Kosa kata Khairil Nizam itu bermaksud kalau hendak
menjadi hero janganlah di laman rumah tetapi keluar jauh ke kampung.
Saya yang jahil dan kurang pengetahuan ini tidak jelas dengan hujah
Khairil Nizam yang mengkritik Shamsul ini. Beliau telah meminta Shamsul
membuat kajian dari berbagai sudut termasuk dari sisi fekah dan usul
untuk membuktikan PAS telah langgar semangat “tahaluf syasi”.
“Jika Shamsul benar-benar ‘faqih’ (faham) mengenai tahaluf syasi
hingga berasa dirinya layak untuk menegur pemimpin PAS, saya persilakan
beliau untuk bawa apa saja kajian oleh PKR dari segi usul dan kaedah
fikah atau apa-apa justifikasi yang boleh membuktikan bahawa PAS sudah
melanggar prinsip tahaluf siyasi. Begitulah kata-kata Khiril Nizam
dipetik.
Saya terus terang, saya tidak memahami apakah pengertian dan terma
tahaluf syiasi sebenar di antara PAS dengan PKR. Cuma apa yang difahami
tahakluf syiasi itu adalah persepakatan atau persefahaman politik untuk
saling kerjasama di antara satu sama lain. Bagi PAS ia dibolehlah selagi
ia tidak bercanggah dengan prinsi-prinsip (syariah) Islam.
Apakah ada terma lain lagi disebalik tahaluf syiasi itu sehinggakan
Khairil Nizam meminta Shamsul menjelaskan atau tunjuk dari sudut mana
PAS telah melanggar tahaluf syiasi itu. Ini kerana bagi saya dengan
mengambil fahaman dan pengertizn tahaluf syiasi disebutkan tadi, jelas
apa yang dilakukan oleh PAS amnya dan Abdul Hadi khasnya telah melanggar
perinsip itu.
Dalam kontesk kerusi Kota Damansara dan Sungai Aceh itu jelas apa
dilakukan PAS itu telah melanggar semangat berkenaan? Atau apakah di
dalam tahaluf syiasi itu ada ruang untuk PAS atau mana-mana parti
Pakatan Rakyat melakukan sabotaj di antara satu sama lain? Kalau ini
wujud maka saya sangat jauh darinya dan tidak mengetahuinya. Mungkin
ada.
Khairil Nizam minta untuk berdepan dengan Shamsul mengenai hal ini,
pastilah untuk penyelesaian. Saya merasakan elok mereka berjumpa dan
menghalusi perkara ini agar tidak berlaku perselisihan berpanjangan dan
terus melepas tembakan pula selepas ini. Shamsul boleh memberi pejelasan
mengenai konsep tahalauf syiasi yang beliau fahami manakala Khairil
Nizam pula boleh menjelaskannya apa yang beliau ketahui.
Sekiranya pemahaman mereka salah, tidak sekata.. ini menunjukkan
kerjasama yang dijalankan oleh PAS dengan PKR menerusi konsep tahaluf
syiasi ini dibuat tanpa kedua-duanya masak memahami konsep ini, dan ini
benarlah apa dituduh oleh pihak UBN bahawa kerjasama politik antara PAS
dan PKR adalah tidak matang dan longgar.
Mengenai tindakan Shamsul mengkritik presiden PAS itu saya rasa dia
bukan sengaja untuk menjadikan isu untuk menunjukkan dia hero. Shamsul
kalau pun tidak mengkritik Abdul Hadi dia sudah hero kerana dalam
pilihan raya lalu dia telah mengalahkan gergasi Umno di Melaka. Untuk
pengetahuan, Shamsul mengalahkan Ali Rustam bekas Ketua Menteri Melaka
di parlimen Bukit Katil.
Jadi tidak timbul apa dibangkitkan Shamsul itu untuk beliau jadikan
modal bagi menunjukkan kehebatan dirinya di hadapan perwakilan.
Sebaliknya apa yang diungkitkan itu satu tanggungjawab beliau sebagai
pemimpin bagi menjelas dan menghapuskan persoalan yang timbul di hati
para perwakilan. Isu pertindihan ini benar-benar mengilan dan menjadikan
ahli PKR marah. Saya percaya kalau Abdul Hadi hadir masa perasmian
kongres berkenaan beliau akan di boo.
Sebagai Ketua AMK, PKR seharusnya Shamsul berani membuat teguran
terhadap apa-apa yang berlaku. Isu pertindihan calon itu besar bagi PKR
kerana disebabkan itu calon mereka kalah. Di sini bukan timbul soal
Shamsul biadap atau tidak, tetapi menyatakan sesuatu yang menjadi
tanggungjawab dan haknya.
Teguran Shamsul itu kandati pedas ia harus diterima sebagai
peringatan di masa akan datang. Jangan melihat ia satu sikap sombong
atau “agah”. Selepas ini jangan lagi ada kekeliruan dan pertindihan
seumpama itu yang akhirnya membawa rugi kepada semua pihak. Pakatan di
antara PAS, PKR dan DAP tidak bermakna sekiranya masih ada atau berlaku
perkara seperti di Kota Damansara, Sungai Aceh, Labuan atau pun tiga Dun
di Terengganu itu.
Khairil Nizam atau sesiapa didalam PAS tidak boleh membela presiden
mereka tanpa usul periksa dan melihat siapa yang benar dan siapa yang
salah. Walaupun presiden ada kuasa proregatif terhadap partinya tetapi
bukan untuk digunakan pada saat-saat akan berlangsungnya pilihan raya.
Betapa pun kuasa proregatif itu hak mutlak presiden tetapi penggunaan
disaat begitu beliau tidak akan dilihat sebagai bijaksana.
Bukankah peruntukan kerusi berkenaan telah diberikan kepada PKR? Jadi
terserah kepada PKR untuk meletakkan siapa juga calonnya, dan tugas PAS
yang sememangnya mempunyai jentera yang kuat harus menyokong
berlandaskan tahaluf syiasi yang dipersetujui. Itu baru dinamakana
kerjsama dan sepakatan.
Apabila ia diganggukacau lagi, di sini timbul persoalan dan
kepelikan. Umum sudah tahu siapa yang menjadi dalang di sebalik kacau
ganggu itu? Iya adalah permainan atau game presiden sendiri. Watikah
untuk calon-calon PAS di Kota Damansara, Sungai Aceh dan tempat lain
mulanya tidak dikeluarkan, tetapi kerana desakan akhirnya ia dikeluarkan
atas nama kuasa prerogatif. Di sinilah kelemahan daya politik Abdul
Hadi Awang sebagai presiden beliau tidak tegas dalam tindakannya.
Alasan kerana calon PKR menganut fahaman komunisme dan menjadi
pengedar pil kuda adalah alasan tidak relevan dan perkara itu tidak pun
perlu disebut. Kalau presiden PAS itu benar-benar seorang politician
yang memahami strategi dan tektik serta daya sensitiviti yang tinggi
beliau tidak akan mengungkit perkara itu. Itu adalah hak dan
tanggungjawab PKR. Perkara atau maklumat itu bukan menghalalkan beliau
untuk memberi watikah kepada calon PAS.
Sama ada calon PKR itu berfahaman komunisme (kafir) atau pun menjadi
pengedar pil kuda ia dibawah tanggungjawab parti berkenaan. Semangat
Pakatan Rakyat tidak menjadi masalah kalau PAS menyokong dan ia bukan
dianggap bersubahat. PKR juga tidak pernah mempertikaikan mana-mana
calon PAS walaupun ada yang perangainya lebih teruk dari calon PKR.
Juga, apakah dalam soal ini PAS sangat mementingkan kesucian calon
dan keIslaman dalam perjuangannya? Kalau begitu ingin saya tanya macam
mana dengan tindakan PAS yang jelas memberi laluan kepada orang kafir
(Cina) untuk bertanding di atas lambangnya? Siapa Hu Pang Chaw yang
diletak bertanding di Johor? Dan kalau begitu kenapa secara majoriti PAS
menolak untuk bekerjasama dengan Umno, dan kenapa pula Abdul Hadi tidak
menggunakan kuasa proregatif yang dimiliknya untuk memaksa PAS
menjalini kerjasama dengan Umno?
Apakah pula tahaluf syasi yang digunakan PAS dalam hal ini? Dan
apakah pula tafsiran tahaluf syiasi digunakan untuk menafikan calon PKR
di kerus-kerusi berkenaan? Saya tidak mahu mengatakan tindakan Abdul
Hadi sebagai double standard, tetapi tampaknya begitulah jadinya beliau
mendengar nasihat dari orang yang double standard.
Berbalik kepada kecaman Khairil Nizam kepada Shamsul Iskadar itu,
sebaik-baiknya mereka berdua berjumpa dan bincang masalah dihadapi
presiden PAS itu. Itulah afdalnya. Mereka harus sama-sama memahami
tahaluf syiasi yang digunakan pakai oleh kedua parti itu di dalam
pilihan raya lalu. Kekeliruan ini kena diperbetulkan untuk memastikan
hal-hal yang “domba” begitu tidak lagi berulang.
Sikap kecam mengecam atau pun melaung dari jauh tidak akan
berkesudahan malahan ia akan jadi bertambah buruk dan memberi senjata
kepada musuh. Saya percaya perkara ini kalau tidak dikawal akan meluas.
Dua tiga bulan lagi PAS akan mengadakan muktamar. Dalam muktamar itu
pasti akan ada ahli-ahli yang bercakap menyinggung dan menyentuh batang
tubuh penasihat umum PKR Anwar Ibrahim sebagai balas dendam.
Sebelum perkara ini berborak, elok isu pertindihan calon yang menjadi
singgungan Shamsul kemudian dibalas oleh Khairil Nizam dihentikan atau
diselesaikan dengan baik. Saya yakin berdasarkan latar belakang
pendidikan mereka, penyelesaian jalan ukhwah Islamiyah dapat dicapai. —
msomelayu.blogspot.com