Saturday, November 24, 2012

Lebih 1,000 sertai demonstrasi bantah Israel


Oleh Khairul Azlam Mohamad
Harakah Daily




Ustaz Mohd Nor mengetuai perhimpunan aman membantah Kezaliman Israel terhadap umat Islam di Gaza, Palestin di hadapan Masjid Pengadang Baru, Kuala Terengganu.

KUALA TERENGGANU: Hujan renyai-renyai tidak mematahkan semangat umat Islam khususnya di kalangan Pemuda PAS yang menyertai himpunan secara aman membantah serangan Israel terhadap umat Islam di Gaza, Palestin.

Lebih 1,000 orang menyertai demontrasi aman tersebut yang diketuai oleh Ketua Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Mohd Nor Hamzah selepas solat Jumaat di hadapan Masjid Pengadang Baru, Kuala Terengganu, semalam.

Katanya, perhimpunan aman menentang kezaliman tentera Zionis Israel terhadap umat Islam di Palestin sebagai bukti kebersamaan PAS dengan nasib rakyat di Gaza.

“Ini menunjukkan kebersamaan kita, sayang kita dan simpati kita terhadap umat Islam di seluruh dunia khususnya di Gaza, Palestin.

“Walau pun kita berhimpun dalam masa yang singkat, jarak yang jauh dari Palestin, tetapi kita mahu menunjukkan bahawa sebenarnya hati kita merasai apa yang disabdakan oleh Nabi saw dengan maksudnya. Perbandingan orang-orang yang beriman dalam kasih sayang mereka, dalam simpati mereka ibarat satu jasad. Apabila satu anggota dari jasad ini sakit, maka seluruh tubuh akan mengadu sakit dan deman,” ujarnya ketika berucap pada perhimpunan aman itu.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Payong menyifatkan negara Palestin itu seumpama ‘jantung hati’ bagi umat Islam di seluruh dunia hari ini.

“Jantung hati kita ialah Palestin, yang sedang diburu dan diperangi oleh Israel. Marilah kita memperbanyakkan berdoa kepada Allah dan menunjukkan sikap kita menentang Israel.

“Hari ini, Israel menyerang umat Islam Palestin tetapi sebenarnya Israel sedang ‘menggali kubur’ mereka untuk kehancuran mereka.

“Ini kerana, Islam sedang bangkit di Asia Tengah. Islam sedang berkuasa di Timur Tengah dan Islam juga akan berkuasa di Malaysia ini, Insya Allah,” tegasnya disambut dengan laungan takbir para hadirin.

Sumber: Harakah Daily

No comments:

Post a Comment