Sunday, September 15, 2013

PAS tetap bersama dalam Pakatan Rakyat

Bashir Ishak,
ALOR SETAR: Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, PAS tidak melihat sebarang kemungkinaan untuk keluar daripada Pakatan Rakyat, sebaliknya mahu memperkuatkan lagi pakatan politik tersebut.

Presiden PAS itu berkata demikian ketika menjawab pertanyaan pemberita pada sidang media selepas majlis penutupan Multaqa Ulamak Se-Malaysia di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut dekat sini semalam.

Mengulas resolusi multaqa yang mencadangkan supaya tahaaluf siyaasi bersama rakan-rakan Pakatan Rakyat disemak semula, beliau berkata sehingga kini PAS tetap bersama-sama dalam Pakatan Rakyat.

"Semua urusan termasuk penyusunan ahli-ahli parlimen seperti yang kita setuju dengan apa yang ada pada hari ini dan juga penyertaan dalam parlimen dan dewan undangan negeri,  kita masih tetap bersama.

"Insya Allah itulah yang ada dalam amalan poltik Islam. PAS paling berpengalaman sejak 1951,” ujarnya.

Tegasnya, PAS bertahaluf menuntut kemerdekaaan walau berbeza pandangan dengan Umno dan kemudiannya PAS menjadi pembangkang.

Katanya, PAS juga pernah masuk menjadi kerajaan pada tahun 1970 dan PAS terlibat dalam penubuhan Barisan Nasional pada tahun 1974.

“Tahun 1978 kita dikeluarkan kerana krisis di Kelantan, bila kerajaan campurtangan dengan membuat darurat macam di Mesir sekarang, mereka ambil alih kerajaan.

“Kita ambil balik pada  tahun 1990 bila kita bersama Semangat 46 pula,"jelasnya.

Sumber harakahdaily

Kaji untuk tambah baik, bukan undur – TG Nik Aziz

Harakahdaily, 15 Sep 2013
KUALA LUMPUR: PAS wajib melangkah ke hadapan untuk terus relevan di pentas politik negara dengan memahami suasana politik dan mempersembahkan Islam dengan wajah terbaik kepada masyarakat Malaysia,” kata Musyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Sehubungan itu, beliau menasihati para pemimpin PAS supaya  jangan mengurung PAS di dalam kandang pemikiran yang dicipta sendiri dan bersedia menjalinkan kerjasama politik selagi ia tidak bertentangan dengan prinsip asas syariat.

Dalam satu entri di laman facebook beliau bagi mengulas resolusi yang diputuskan Multaqa Ulamak PAS di Alor Setar semalam, beliau menegaskan  kerjasama politik PAS  dalam Pakatan Rakyat bukannya diputuskan oleh beberapa individu malah adalah keputusan kolektif pimpinan PAS dan diperkuatkan melalui Muktamar Tahunan PAS yang berlangsung selepas pilihan raya umum (PRU) 2008.


“Saya melihat keputusan ini tidak sekali-kali silap bahkan ia lebih membawa PAS ke hadapan pentas politik di Malaysia. Lebih bermakna daripada itu, PAS berjaya mempersembahkan Islam kepada non-Muslim dengan cara yang tidak pernah dilakukan oleh Umno.

“Umno  bukan setakat menjauhkan bukan Islam daripada Islam bahkan menjauhkan orang Islam sendiri dari memahami agama mereka,” tegas beliau.

Berikut kenyataan penuh beliau.

Saya membaca muka hadapan Sinar Harian hari ini 15 September 2013 yang memuatkan tajuk besar PAKATAN RUGIKAN PAS? dengan memetik ucapan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Harun Taib yang dikatakan meminta Majlis Syura Ulama mengkaji semula Tahaluf Siyasi (Persefahaman Politik) dalam Pakatan Rakyat.

Saya tidak menghadiri Multaqa Ulama yang diadakan di Kota Sarang Semut semalam sekalipun saya benar-benar berhasrat untuk hadir. Keuzuran dan situasi kesihatan menghalang saya untuk hadir ke program yang saya sifatkan sangat bermakna itu. Justeru, saya tidak mendengar sendiri ucapan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat seperti yang dilaporkan oleh akhbar. Berkemungkinan ia hanya ulasan akhbar dan bukannya ucapan sebenar beliau ataupun sememangnya dipetik dari ucapan beliau, wallahulam.

Walau bagaimanapun, suka untuk saya memberikan respon terhadap tajuk yang digunakan di muka hadapan Sinar Harian iaitu PAKATAN RUGIKAN PAS? Perlu dijelaskan bahawa penyertaaan PAS melalui Tahaluf Siyasi di dalam Pakatan Rakyat bukannya diputuskan oleh beberapa individu sahaja. Ia diputuskan oleh keputusan kolektif pimpinan PAS dan diperkuatkan melalui Muktamar Tahunan PAS yang berlangsung selepas pilihanraya umum 2008.

Saya melihat keputusan ini tidak sekali-kali silap bahkan ia lebih membawa PAS ke hadapan pentas politik di Malaysia. Lebih bermakna daripada itu, PAS berjaya mempersembahkan Islam kepada non Muslim dengan cara yang tidak pernah dilakukan oleh Umno. Umno bukan setakat menjauhkan bukan Islam daripada Islam bahkan menjauhkan orang Islam sendiri dari memahami agama mereka.

Senjata Umno ialah perkauman, lambang Umno ialah keris tidak bersarung, politik Umno ialah politik samseng jalanan, sampai bila-bila non-Muslim tidak akan melihat keindahan Islam melalui cermin mata politik Umno yang penuh dengan habuk kebangsaan.

Di dalam Pakatan Rakyat, pendekatan Islam yang dibawa oleh PAS tidak pernah ditentang. Pemimpin-pemimpin DAP khususnya seringkali datang ke pejabat saya berbincang sentiasa tentang nilai-nilai Islam. Ada yang datang mengungkapkan istilah-istilah perundangan syarak yang kadang-kadang pemimpin Umno sendiri pun barangkali tidak pernah bersua dengan istilah sebegini.

PAS wajib melangkah ke hadapan. Pengalaman sebagai gerakan Islam yang telah berusia lebih setengah abad wajar mengajar PAS bahawa untuk terus relevan di pentas politik negara, PAS wajib memahami suasana politik. Selagi tidak bertentangan dengan prinsip asas syariat, jangan mengurung PAS di dalam kandang pemikiran yang kita sendiri cipta. PAS membawa nama Islam di dalam perjuangannya, maka wajiblah ke atas PAS untuk mempersembahkan Islam dengan wajah terbaik kepada masyarakat Malaysia.

Saya mendegar pengalaman Yang Berhormat Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan yang baru pulang dari lawatan kerja di Johannesburg, Afrika Selatan. Katanya di sana zakat turut diberikan oleh orang Islam kepada bukan Islam. Di Malaysia, di bawah asnaf muallaf, hanya orang yang baru memeluk agama Islam menerima zakat. Sedangkan muallaf juga boleh jadi seorang non muslim yang hampir lembut hatinya untuk memeluk Islam dan juga seorang non muslim yang sangat tegar memusuhi Islam namun jika diberikan zakat, permusuhannya itu kendur.

Ini sebagai contoh bagaimana ada aspek pengamalan Islam secara praktikal di Malaysia masih belum tepat dengan wajahnya yang sebenar. Inilah yang perlu dibaiki dan PAS wajib memainkan peranan. Saya yakin, jika Islam difahami dengan baik tanpa gangguan daripada pihak-pihak yang berkepentingan, ia akan diterima dengan mudah tanpa sebarang syak wasangka oleh rakan-rakan daripada non Muslim.

Di sinilah letaknya misi sebenar PAS di dalam Pakatan Rakyat. Benar, kita ingin memburu kemenangan di dalam pilihanraya, tetapi juga perlu diingat PAS sebagai gerakan Islam juga memikul tanggungjawab dakwah yang besar di pentas politik. Justeru, keberadaan PAS di dalam Pakatan Rakyat sekali-kali bukan merupakan langkah yang silap, bahkan ia merupakan langkah yang sangat tepat dengan realiti politik negara.

Tahniah kepada para ulama yang bermultaqa semalam. Harapan saya agar ia dapat menguatkan iltizam kita semua di dalam memperkukuhkan PAS sebagai parti politik yang berdasarkan Islam. Berhubung kedudukan PAS di dalam Pakatan Rakyat, jika mahu dikaji, silakan. Tetapi kaji hanya untuk penambahaikan, bukan kaji untuk mengundur ke belakang. Kaji untuk berundur ke belakang hanyalah memberikan pelampung kepada UMNO yang sedang kelemasan.

Sekian.

Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat
Al-Mursyidul Am PAS

9 Zulkaedah 1434H bersamaan 15 September 2013M

Saturday, September 14, 2013

PM umum 5 langkah perkasa ekonomi Bumiputera


OLEH HASBULLAH AWANG CHIK
Datuk Seri Najib Razak berucap di Majlis Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera 2013 di UiTM Shah Alam. Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 14 September, 2013.Datuk Seri Najib Razak berucap di Majlis Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera 2013 di UiTM Shah Alam. Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 14 September, 2013.Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini mengumumkan lima langkah bagi memperkasa ekonomi Bumiputera yang menurutnya mampu meningkatkan penguasaan golongan berkenaan menjelang 2020.
Beliau berkata, pegangan ekuiti korporat masih belum mencapai 30 peratus dan golongan tersebut kini masih dalam tempoh transformasi sejak empat dekad lalu.
"Pertama, daya modal insan Bumiputera perlu ditingkatkan dengan menawarkan peluang pekerjaan serta membantu graduan dari segi latihan tambahan melalui peruntukan tambahan kepada Giat Mara dan memperkasa program latihan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) kepada dua sesi.
"Graduan Bumiputera yang tidak bekerja akan dipadankan kemahiran mereka selain tambahan yang dianjurkan oleh Skim Latihan 1Malaysia.
"Begitu juga dengan meluaskan program lepasan ijazah bagi menambah bilangan pelajar Bumiputera dalam sektor kritikal dan teknologi terkini," katanya keitka merasmikan Majlis Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera di Shah Alam hari ini.
Empat pendekatan lain yang diumumkan Perdana Menteri adalah memantapkan ekuiti Bumiputera dalam sektor korporat, mengukuhkan aset bukan kewangan, memperhebat keusahawanan dan memantapkan ekosistem penyampaian kerajaan terhadap golongan Bumiputera.
Katanya, bagi memantapkan ekuiti Bumiputera dalam sektor korporat, Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB2) akan diwujudkan dengan menambah 10 bilion unit saham.
"Ekuinas turut dilantik bagi membimbing syarikat Bumiputera yang berpotensi untuk disenaraikan ke Bursa Malaysia di bawah Skim Jejak Jaya Bumiputera.
"Yayasan Wakaf Malaysia menjadi enititi wakaf korporat bagi mentadbir hartanah Bumiputera Islam terbiar yang menyebabkan kemerosotan pada harga hartanah.
"Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Permodalan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) turut diamanahkan mencari lokasi strategik bagi pembangunan ekonomi Bumiputera selain Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) di bawah Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) akan memastikan pertambahan perumahan mampu milik untuk Bumiputera termasuk di Sabah dan Sarawak," katanya.
Di bawah perancangan keempat yang digarislkan Perdana Menteri iaitu memperhebat keusahawanan Bumiputera, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) mendapat peruntukan menyediakan pinjaman sebanyak RM300 juta untuk lima tahun.
Katanya, pinjaman yang banyak didominasi oleh kaum wanita itu mensasarkan 500,000 ahli menjelang 2015.
Pada majlis itu juga, Perdana Menteri mengumumkan peruntukan tambahan kepada Tekun sebanyak RM700 juta bagi meningkatkan jumlah peminjam kepada 370,000 orang menjelang 2015.
"Saya mengarahkan syarikat milik kerajaan (GLC) membangunkan vendor berdasarkan meritokrasi Bumiputera dan menjadikan sasaran dan perolehan Bumiputera sebagai penanda aras oleh Ketua Pegawai Eksekutif.
"Skim Usahawan Baru Bumiputera (Superb) memperuntukkan RM100 juta dalam masa tiga tahun dengan geran RM500,000 kepada usahawan baru yang kreatif, berinovasi dan mempunyai potensi untuk masa depan," katanya.
Pendekatan kelima yang digariskan oleh Najib untuk memantapkan ekosistem penyampaian kerajaan terhadap kumpulan Bumiputera adalah dengan mewujudkan unit pembangunan Bumiputera di setiap kementerian dan melindungi agenda Bumiputera.
Katanya, Universiti Teknologi Mara (UiTM) akan ditambah bilangan pelajarnya kepada 250,000 orang pelajar menjelang 2020 dengan pertambahan kampus baru. Dana RM1 bilion juga diperuntukkan kepada Mara bagi membangunkan keusahawanan, penyelidikan dan inovasi.
"Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) akan menggantikan Majlis Tindakan Ekonomi Bumiputera yang dipengerusikan oleh saya sendiri dan dibantu oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, beberapa orang menteri dan pihak yang berkepentingan dalam orgsnisasi ini. Majlis ini akan bermesyuarat sekali sebulan atau lebih jika ada isu penting," katanya.
Najib turut menggesa kaum Bumiputera agar tidak memberi tanggapan negatif terhadap pemerkasaan ekonomi Bumiputera kerana menurutnya program ini bukanlah jalan pintas, mengambil hak atau menafikan milik sesiapa.
Katanya, kerajaan melakukan perkara yang adil dan betul serta tidak bersikap prejudis kepada kaum lain dengan mengagihkan kekayaan negara secara saksama.
"Orang Melayu jangan bimbang, survival Melayu tetap menjadi kutamaaan selagi hayat dikandung badan," katanya mengakhiri ucapan itu. - 14 September, 2013.

Sumber themalaysianinsi

Ranking jatuh: UiTM tidak kejar kedudukan, kata Naib Canselor


Oleh Hasbullah Awang Chik


Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Tan Sri Dr Sahol Hamid Abu Bakar hari ini berkata, UiTM tidak mengejar kedudukan apabila mengulas kedudukannya di tangga 701 universiti terbaik dunia berbanding kedudukan 601 pada tahun lalu.
Beliau berkata, UiTM tidak pernah meminta untuk dinilai bagi berada dalam kedudukan itu dan salah satu faktor yang diambil kira adalah bilangan pelajar antarabangsa menjadikan UiTM kurang daripada segi pemarkahan.
"Kita tidak mempunyai pelajar antarabangsa dan peluang diberi seluas-luasnya kepada hampir 200,000 pelajar yang kini menuntut di UiTM.
"Universiti lain yang tersenarai hanya ada 20,000 pelajar. Mana boleh disamakan dengan kita. UiTM ada program diploma dan pensyarahnya pula kebanyakan berkelayakan sarjana sahaja.
“Bilangan pensyarah kelulusan sarjana lebih tinggi daripada doktor falsafah, itu sebabnya dikurangkan markah. Tujuan kita jelas mahu meramaikan kakitangan separa profesional.
"Kita tidak sama seperti universiti lain yang mengejar kedudukan. UiTM bukan universiti penyelidikan tetapi masih ada dalam kedudukan.
"Banyak universiti lain tidak berada dalam kedudukan, bermakna UiTM hebatlah boleh sama dengan universiti penyelidikan," katanya ketika ditemui di Majlis Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera di UiTM Shah Alam hari ini.
Beliau turut menyelar pihak yang memperlekehkan kemerosotan kedudukan universiti itu dan berkata: "Siapa kata ranking kita jatuh, ilmunya kurang.  Apabila ilmu cetek, cakap banyak, orang label kurang pintar. Kaji baik-baik, baru tahu apa bezanya. Orang tidak tahu pasal ranking jangan cakap. Yang boleh cakap pasal ranking, hanya ahli akademik."
Mengulas mengenai pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang mahu menambah bilangan pelajar UiTM kepada 250,000 orang, beliau berkata, ini satu cabaran besar untuk menggiatkan usaha dalam penambahan pelajar kerana jumlah pelajar buat masa ini mencecah 200,000 orang.
Katanya, dengan pengumuman Perdana Menteri itu, pertambahan pelajar dapat dilakukan secara rasmi dan peruntukan kerajaan juga dapat disesuaikan dengan pertambahan pelajar.
"Tenaga mengajar tidak menjadi masalah di UiTM kerana kami ke arah pembelajaran maya tetapi yang menjadi isu adalah keselesaan pelajar disebabkan pertambahan itu.
"Kualiti pelajar tidak perlu dipertikaikan kerana setiap jabatan di universiti dikawal selia oleh badan profesional. Kejuruteraan dan Perubatan mendapat pengiktirafan untuk lima tahun tetapi universiti terkemuka kerajaan hanya tiga tahun sahaja," katanya.
Sahol turut menyelar dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan program Destini Anak Bangsa menemui kegagalan.
Katanya, program itu berjaya melahirkan 80 peratus pelajar kurang berkemampuan berjaya di universiti itu.
"Mereka kena ingat asal-usul UiTM. Asalnya memang begitu. Saya pun dari pra diploma tetapi sekarang sudah jadi profesor dan Naib Canselor. Salah ke orang yang masukkan saya dahulu? Orang yang mendakwa seperti ini cemburu dengan kejayaan UiTM dan anak mereka tidak masuk ke universiti ini. Jangan samakan kami dengan universiti lain. Saya dapat surat belambak-lambak ucap terima kasih anak mereka berjaya. Saya tidak umumkan pun," katanya.
Beliau berkata, UiTM wujud kerana Umno dan sekarang Umno juga yang pertahankan UiTM.
“Kesesakan pelajar di kampus utama di Shah Alam dapat dikurangkan selepas pelajar yang terlibat dipindahkan ke kampus cawangan,” katanya. – 14 September, 2013

Sumber themalaysianinsider

Operasi AES kini dikendali PDRM



 
Operasi dan penguatkuasaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) kini dikendalikan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
  
Beliau berkata perkara itu sudah berkuatkuasa dan membabitkan semua lokasi AES sedia ada.
  
"Saya ingin mengesahkan bahawa AES telah diserahkan secara rasmi kepada PDRM," katanya kepada pemberita selepas melawat Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu hari ini.
  
Beliau ditanya mengenai desas-desus bahawa AES akan diserah kepada polis apabila urusan pengambilalihan daripada syarikat swasta seperti yang diumum oleh kerajaan baru-baru ini selesai.
  
Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ketika mengumumkan perkara itu bulan lepas, berkata kerajaan membuat keputusan mengambil alih AES selepas mendapat maklum balas daripada jawatankuasa pemandu yang ditubuhkan bagi meneliti isu tersebut.

Setakat ini sebanyak 14 kamera AES beroperasi di seluruh negara kecuali di Melaka.
  
AES yang dikuat kuasa sejak Sept tahun lepas ialah sistem kamera automatik berteknologi tinggi yang dipasang di lokasi yang dikenal pasti sering berlaku kemalangan.
  
Sistem itu antara lain bertujuan mengurangkan kadar kemalangan jalan raya selain meningkatkan keberkesanan dan kecekapan sistem penguatkuasaan.
  
- Bernama

Friday, September 13, 2013

Aku Kayaaaaa!!

CATATAN SANTAI

'ISLAM mengajar umatnya jadi kaya...' antara tulisanku yang lalu, di bawah tajuk Usahawan: Yang Penting X Class, Bukan Ikhlas!  

Seorang pengomen mengomen  (Amin Nordin Ali said... Islam mengajar umatnya jadi kaya.. Boleh sapa tolong hurai..  aku tak berapa jelas.)

Terima kasih, komen tuan. Walaupun apa maksud tersirat tuan, saya ingn jelaskan, di sini..

Konsep 'Kaya' Menurut Syariat. Ini penting diketahui dulu... 

Orang paling kaya, jika diukur dengan timbangan syariat, adalah: orang yang paling boleh terima apa saja. Nabi SAW berkata.

لَيْسَالْغِنَىعَنْكَثْرَةِالْعَرَضِ،وَلَكِنَّالْغِنَىغِنَىالنَّفْسِ


  • “Kekayaan tidaklah diukur dengan banyaknya harta, namun kekayaan yang hakiki adalah kekayaan hati.” (HR. Bukhari dan Muslim; dari Abu Hurairah) 
Kaya hati, atau sering diistilahkan dengan “qana’ah“. Ertinya adalah ‘menerima' dan rela dengan berapa pun yang diberikan oleh Allah Ta’ala. Atau istilah mudah 'memada dengan yang ada'. Berapa pun rezeki yang dapat, dia tidak mengeluh. Mendapat rezeki banyak, bersyukur; mendapat rezeki sedikit, bersabar dan tidak mengumpat. Soal wajib berusaha, hal itu tetap diteruskan.

Kalau kita mampu mengamalkan hal di atas, kita sudah memilik harapan besar menjadi orang terkaya di dunia. Ujung-ujungnya, 'untung'lah yang menanti kita. Sabda Nabi SAW.

قَدْأَفْلَحَمَنْأَسْلَمَوَرُزِقَكَفَافًاوَقَنَّعَهُاللَّهُبِمَاآتَاهُ

  • “Beruntunglah orang yang berIslam, dikunia rezeki yang cukup, dan dia dijadikan menerima apa pun yang diberikan Allah (kepadanya).” (HR. Muslim; dari Abdullah bin ‘Amr)
Berdasarkan kayu ukur di atas, boleh jadi orang yang dapat RM60 sehari dikategorikan orang kaya, sedangkan yang berpendapatan  RM600 sehari
dikategorikan sebagai orang miskin. Kerana orang pertama bersikap 'memada dengan yang ada' dan orang kedua tetap 'tidak puas dan terus merasa kurang walaupun wang yang didapatnya sangat banyak.

Ada orang kata, "Ai, RM60 se hari boleh cukup ke? Makan minum anak isteri, pakaian, pembelajaran dan segala macam gedebuk-gedebak lain, mana boleh cukup?

Kata Nabi SAW..

مَنْأَصْبَحَمِنْكُمْآمِنًافِيسِرْبِهِ،مُعَافًىفِيجَسَدِهِ،عِنْدَهُقُوتُيَوْمِهِ،فَكَأَنَّمَاحِيزَتْلَهُالدُّنْيَا

  • “Barangsiapa yang melewati harinya dengan perasaan aman dalam rumahnya, sihat badannya, dan memiliki makanan untuk hari itu, maka seakan-akan ia telah memiliki dunia seisinya.” (HR. Tirmidzi; dinilai hasan oleh Al-Albani)
Ya, bukan sahaja kerana ukuran Nabi begiru, juga kerana ke'berkah'an yang Allah limpahkan dalam hartanya. Dalam pembelajaran ekonomi kapitalis, tidak ada perkataan 'berkah' dalam kamusnya.

Bagaimana membangunkan peribadi yang qana’ah atau kaya hati?

Di antara tip kejayaan membentuk jiwa yang qana’ah adalah dengan melatih diri menyedari seyakin-yakinnya bahawa rezeki hanyalah di tangan Allah dan yang kita dapatkan telah dicatat oleh Allah Ta’ala, serta tidak mungkin melebihi apa yang telah ditentukan-Nya, walaupun bersunguh-sungguh bekerja.

Allah Ta’ala mengingatkan,

وَمَامِندَآبَّةٍفِيالأَرْضِإِلاَّعَلَىاللّهِرِزْقُهَا

  • “Tidak ada satu pun makhluk bergerak (bernyawa) di bumi melainkan semuanya dijamin rezekinya oleh Allah.” (QS. Hud:6)
Rasulullah SAW menasihatkan,

إِنَّأَحَدَكُمْلَنْيَمُوْتَحَتَّىيَسْتَكْمِلَرِزْقَهُ،فَلاَتَسْتَبْطِئُواالرِّزْقَ،وَاتَّقُوااللهَأَيُّهَاالنَّاس، وَأَجْمِلُوْافِيالطَّلَبِ،خُذُوْامَاحَلَّوَدَعُوْامَاحَرُمَ

  • “Sesungguhnya, seseorang di antara kamu tidak akan mati kecuali setelah dia mendapatkan seluruh rezeki (yang Allah takdirkan untuknya) secara sempurna. Maka, janganlah kamu bersikap tidak sabar dalam menanti rezeki. Bertakwalah kepada Allah, wahai manusia! Carilah rezeki secara profesional, ambillah yang halal dan tinggalkan yang haram.” (HR. Al-Hakim; dari Jabir; dinilai sahih oleh Al-Albani)
Oh, Manis Qana’ah!

Sebagai suatu karakter yang terpuji, qana’ah dapat menumbuhkan sifat-sifat positif, Di antaranya:

Pertama: Qana’ah menjadikan seseorang tidak mudah tergiur untuk memiliki harta yang dimiliki orang lain. Macam anak ayam, berebut cacing walaupun sudah berada di dalam mulut anak-anak ayam lain.

Orang itu merasa cukup dengan apa yang telah dimilikinya, sehingga dia selalu hidup dalam ketenteraman dan kedamaian batin. Dia tidak pernah iri mahupun dengki dengan kelebihan nikmat yang Allah limpahkan pada orang lain. Karakter istimewa inilah yang Allah rakam sebagai salah satu perangai sahabat Rasul SAW semasa Beliau menceritakan keadaan mereka yang fakir..

يَحْسَبُهُمُالْجَاهِلُأَغْنِيَاءمِنَالتَّعَفُّفِتَعْرِفُهُمبِسِيمَاهُمْلاَيَسْأَلُونَالنَّاسَإِلْحَافاً

  • “(Orang lain) -yang tidak tahu– menyangka bahawa mereka adalah orang-orang kaya, kerana mereka menjaga diri (dari meminta-minta). Engkau (wahai Muhammad), mengenal mereka dari ciri-cirinya, mereka tidak meminta dengan cara mendesak kepada orang lain.” (QS. Al-Baqarah:273)

Kedua: Qana’ah menempa jiwa seseorang untuk tidak mengadu tentang kesusahan hidupnya melainkan hanya kepada Allah Yang Mahakaya.

Inilah salah satu tingkatan tawakal tertinggi, yang telah dicapai oleh para nabiyullah. Sebagaimana yang Allah ceritakan tentang Nabi Ya’kub ‘alaihis salam (AS),

قَالَإِنَّمَاأَشْكُوبَثِّيوَحُزْنِيإِلَىاللّهِ

  • “Dia (Ya’kub) berkata, ‘Hanya kepada Allah, aku mengadukan kesusahan dan kesedihanku.’” (QS. Yusuf:86)
Mengapa para kekasih Allah hanya mengadu kepadaNya? Kerana keyakinan mereka yang begitu mendalam bahawa dunia seisinya tidak lain hanyalah kepunyaan Allah. Lantas mengapa tidak meminta terus kepada Yang Maha Memiliki segalanya, tetapi masih minta kepada zat yang juga bersumber dari Yang Maha Memiliki itu tadi?

Namun, realitinya lain. Rata-rata, kita masih suka mengetuk pintu makhluk sebelum mengetuk pintu Khalik. Kerana itulah, ulama mengingatkan.. “Ada ke, antara kita yang meminta keperluannya kepada Allah dulu, sebelum meminta kepada manusia?”

Qana’ah bukan bererti tidak berikhtiar.

Qanaah itu perlu dipahami dalam perspektif produktif. Qanaah itu setelah berikhtiar. Sehingga, seorang itu tidak boleh duduk berpangku tangan saja. Rasulullah menyatakan, Allah tidak pernah melemparkan emas dan perak dari langit, ketika beliau menegur seorang sahabat yang hanya berdzikir saja dalam masjid.

Qana’ah atau 'memada dengan yang ada' tidaklah seperti itu. Kerana qana’ah maksudnya, seorang hamba bekerja semampunya dengan tetap memperhatikan rambu-rambu syariat. Setelah itu, berapa pun hasil yang didapati dari kerjakuatnya, diterimanya dengan penuh rasa ridha tanpa cerewet.

Nabi SAW menjelaskan hakikat tawakal dan korelasinya dengan ikhtiar, dalam sebuah perumpamaan yang sangat detail,

لَوْأَنَّكُمْكُنْتُمْتَوَكَّلُونَعَلَىاللَّهِحَقَّتَوَكُّلِهِلَرُزِقْتُمْكَمَايُرْزَقُالطَّيْرُتَغْدُوخِمَاصًاوَتَرُوحُبِطَانًا

  • “Andainya kamu benar-benar bertawakal kepada Allah, niscaya kamu akan mendapat rezeki sebagaimana burung memperoleh rezeki. Dia pergi di pagi hari dalam keadaan perut kosong, lalu pulang petangnya dalam keadaan perut kenyang.” (HR. Tirmidzi, dan beliau berkomentar bahwa hadis ini hasan sahih)
Ya, perut burung itu tentu penuh, ia keluar mencari nafkah dari pagi hari bukan tidur di sarang! Inilah tawakal yang sebenar-benarnya; berikhtiar lalu hasilnya serahkan pada Allah Ta’ala. Di situlah lahirnya.. Kayaaaaa!
Tapi ingat, ada kaya yang dibenci Allah SWT, Kaya Tak Guna!!! Bersambung..
Wallahu a’la wa a’lam..

Sumber Ibnu Hasyim

13 bantah angkat sumpah MB dipenjara dua tahun

Tiga belas orang yang dijatuhkan hukuman maksimum penjara dua tahun dan denda RM5,000 dihantar ke Penjara Tapah selepas Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar menolak permohonan untuk menangguhkan hukuman yang bermula hari ini.
perak mb ubudiah mosque bn takeover 060209 02Semua mereka dijatuhkan hukuman itu di bawah Seksyen 145 Kanun Keseksaan selepas didapati bersalah kerana meneruskan perhimpunan haram walaupun diarahkan supaya bersurai pada 6 Februari 2009 di hadapan Masjid Ubudiah, Bukit Chandan, Perak empat tahun lalu.
Ia adalah hari sama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir mengangkat sumpah sebagai menteri besar baru selepas tiga ADUN Pakatan Rakyat beralih menyokong BN.

Menurut peguam Augustin Anthony, pihaknya akan memfailkan rayuan untuk menangguhkan hukuman di Mahkamah Tinggi Taiping seawal-awalnya Selasa minggu depan selepas Hakim Norsalha Hamzah menolak permohonan mereka pagi tadi.

"Ada di antara OKT (orang kena tuduh) merupakan penghidap kanser dan ibu tunggal," katanya kepada Malaysiakini.

Turut sama bertindak sebagai peguambela adalah Aminuddin Zulkifli dan Zamri Ibrahim.
Sementara itu, Bernama melaporkan Hakim Norsalha Hamzah membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah manakala pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap mereka setelah meneliti serta menimbang kesemua keterangan termasuk hujahan kedua-dua pihak.
   
Bad Latif Mansor, 47, Suhana Abdullah, 49, Meor Safizal Meor Mohamed Amin, 38; Mohd Faiz Mohd Arshad, 26; Zulhaizam Zulkifli, 29 ; Isha Riduan Ishak, 59; Adi Hilmee Mohd Nasir, 44; Yusoff Jaafar, 48; Idris Mohd Thaib, 48; Mohamad Nazeer Hameed, 48; Khairul Azmi Hassan Basri,48; Mohd Hasri Ismail, 48; dan Mohamed Ismail S.M Abdul Kadir, 47, didapati bersalah menyertai perhimpunan haram itu pada pukul 3.30 petang, 6 Feb 2009 semasa istiadat pelantikan dan angkat sumpah jawatan menteri besar Perak.
   
Hakim Norsalha memerintahkan hukuman penjara itu berkuat kuasa hari ini selepas menolak permohonan peguam Augustine Anthony yang mengetuai pasukan lapan peguam mewakili kesemua tertuduh, bagi penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi dan menetapkan penjara lima bulan jika gagal membayar denda itu.
   
Mereka didakwa mengikut Seksyen 145 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang membawa hukuman penjara tidak melebihi dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
   
Dalam penghakimannya, Hakim Norsalha beliau berkata hukuman yang dijatuhkan mahkamah adalah demi kepentingan dan ketenteraman awam serta institusi diraja selepas turut mengambil kira rayuan kedua-dua pihak.
   
"Ini sebagai satu pengajaran dan keinsafan kepada semua pihak dan mahkamah mendapati ia satu kesalahan serius," katanya.
   
Terdahulu, Augustine memohon mahkamah menggunakan budi bicara seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 294, Kanun Prosedur Jenayah dengan mengambil kira fakta sebelum menjatuhkan hukuman kerana ini merupakan kesalahan pertama mereka.
   
Timbalan Pendakwa Raya Masri Mohd Daud berkata hukuman setimpal perlu dikenakan kerana kes itu telah mengambil tempoh hampir lima tahun yang melibatkan perbelanjaan serta masa mahkamah.

"Apa yang berlaku semasa kejadian adalah keadaan huru-hara kerana menentang satu proses perundangan, menimbulkan keadaan tidak aman dan banyak kerosakan.

Seksyen 145 dilihat lebih serius sebab itu ayat yang digunakan dalamnya adalah "...shall be punish...", oleh yang demikian tidak timbul Seksyen 294 wajar diguna pakai," katanya.
   
Sementara itu, Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Changkat Jering, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, yang juga Menteri Besar Perak semasa pakatan pembangkang menerajui pentadbiran negeri selama 11 bulan selepas pilihan raya
umum ke-12 turut hadir di mahkamah bagi mengikuti kes itu.
   
Beberapa pemimpin pembangkang termasuk Pengerusi DAP Perak Datuk Ngeh Koo Ham dan Pesuruhjaya PAS Perak Abu Bakar Hussain serta sejumlah penyokong PAS turut hadir di perkarangan mahkamah.

Sumber malaysiakini

Wahabi menurut pandangan Malaysia



Blog Gendang Perang



(1703 - 1791 M) lahir di Uyaynah utara Riyadh di daerah Nejad Arab Saudi. Bapanya adalah seorang qadhi di Nejad yang berpegang kepada akidah Ahli Sunnah wal-Jamaah. Selain berguru dengan bapanya beliau juga berguru dengan ulama-ulama Ahlu Sunnah Wal-Jamaah di Mekah dan Madinah. Gurunya yang terkenal di Madinah ialah Syeikh Muhammad Hayat yang menulis kitab Al-Hashiyah 'Ala Sahih al-Bukhari.

Imam Muhammad bin Abdul Wahhab merupakan seorang ulama? yang banyak dipengaruhi Mazhab Hanbali tetapi pegangan tauhidnya berasaskan fikrah Ibnu Taimiyyah dan Ibnu Qayyim yang juga bermazhab Hanbali. Beliau tertarik dengan pemikiran dua pemikir dan cuba menghidupkan kembali konsep pemikiran Ibnu Taimiyyah dan Ibnu Qayyim.

Ibnu Taimiyyah (1263 - 1328 M) adalah seorang pemikir besar umat Islam. Pemikiran Ibnu Taimiyyah menimbulkan bantahan beberapa ulama berfahaman akidah Ahli Sunnah Wal-Jamaah yang sedang menguasai pemikiran akidah pada masa itu sehingga ia di penjara, dilarang menulis dalam penjara dan akhirnya meninggal dunia dalam penjara di Damshik Syiria. Ibnu Qayyim (1292 - 1350M) adalah juga murid kepada Ibnmu Taimiyyah.

Secara umumnya Syeikh Mohammad bin Abdul Wahab muncul ketika pengaruh Mazhab Hanbali sedang merosot dan umat Islam pada masa itu banyak melakukan pencemaran akidah seperti khurafat, bid?ah dan wakil gabenor Turki pula terlibat dengan rasuah. Beliau telah melancarkan reformasi dan pembaharuan di semenanjung Arab dalam usaha membersihkan mengembalikan umat Islam kepada ajaran sebenar al-Quran dan Hadis Sahih Rasulullah S.A.W. Usahanya mendapat sokongan beberapa pemimpin kabilah Arab di Nejad.

Berasaskan gerakan reformasi inilah maka ia beruasaha menghapuskan rasuah, segala macam bid'ah, khurafat dan pelbagai perbuatan yang membawa kepada syirik. Penegak-penegak fahaman Wahabi ini juga menamakan fahaman mereka sebagai kumpulan Salafi iaitu kumpulan yang tidak terikat dengan mana-mana mazhab mana yang berlaku di zaman Rasulullah dan kepimpinan sahabat-sahabat selepasnya.

Bagaimana pun terdapat juga penganalisis politik Arab bahawa gerakan Wahabi ini lahir sebagai usaha untuk membebaskan bangsa Arab dari pemerintahan Kerajaan Uthmaniah Turki yang menguasai negara Arab pada masa itu. Muhammad bin Saud (pengasas pemerintah Kerajaan Arab Saudi sekarang) telah memimpin
kabilah Arab dan mendapat sokongan British berjaya memerintah Arab Saudi. Muhammad bin Saud dan pengasas fahaman Wahabi itu telah bersatu dalam usaha mengukuhkan kepentingan masing-masing dan usaha mereka berjaya. Kerajaan Uthmaniah Turki gagal mengawal kebangkitan Muhammad bin Saud dan perkembangan gerakan Wahabi kerana sibuk memnperkukuhkan penyebaran Islam di Eropah.

Menurut sumber sejarah ulama Mekah dan Madinah pada awalnya menentang fahaman Wahabi di mana berlaku isu kafir mengkafir yang hebat di antara ulama Ahli Sunnah Wal-Jamaah dengan ulama Wahabi. Bagaimana pun gerakan Wahabi berjaya menawan dua tempat suci itu maka bermulalah fahaman itu bertapak kukuh.

Pada prinsipnya fahaman Wahabi ini membuat terjemahan serta tafsiran al-Quran dan hadis sebulat-bulatnya mengikut fahaman pemimpin mereka serta ditegaskan dengan pendirian keras pergerakan itu. Mereka juga dikatakan menolak fahaman 4 Mazhab utama serta pegangan Ahli Sunnah Wal-Jamaah.

Menurut K.H Sirajudin Abbas seorang ulama besar Indonesia dalam buku 40 Soal-Jawab Agama menyatakan konsep moden fahaman Wahabi antaranya adalah seperti berikut:

1. Dalam mempelajari ilmu Usuludin hendaklah berpegang kepada fahaman yang
diasaskan oleh Ibnu Taimiyyah.
2. Di dalam amalan fiqh pula tidak berpegang kepada mana-mana mazhab malah
boleh menampal antara satu sama lain (Talfiq).
3. Berpegang kepada sumber al-Quran dan hadis sahih sahaja tanpa berpegang
kepada Ijmak dan Qias.
4. Melarang keras umat Islam berdoa melalui tawassul (perantaraan).
5. Melarang ziarah kubur walaupun maqam Rasulullah s.a.w. Kerajaan Arab
Saudi membenarkan Jemaah Haji dan Umrah menziarah Maqam Rasulullah itu
adalah atas
dasar menziarahi Masjid Nabawi.
6. Menghancurkan tugu-tugu peringatan kerana semua itu menjadikan umat
Islam syirik.
7. Melarang membaca qasidah dan berzanji yang memuji Rasulullah s.a.w.
tahlil dan seumpamanya.
8. Melarang umat Islam mengadakan sambutan hari-hari kebesaran Islam
seperti Maulid Nabi, Isra' Mikraj dan lain-lain.
9. Melarang umat Islam belajar sifat 20 dan seumpamanya.
10. Fahaman Asa'ari iaitu fahaman Ahlu Sunnah Wal-Jamaah dibuang jauh-jauh.
11. Imam dilarang membaca Bismillah pada permulaan Fatihah.
12. Tidak boleh membaca wirid-wirid yang memuji Rasulullah.
13. Tidak boleh melagu-lagukan lafaz al-Quran dan laungan azan tetapi
boleh baca dengan lurus sahaja.
14. Menghadakan majlis zikir secara berjemaah dilarang.
15. Amalan tariqah dilarang sama sekali.
16. Amalan berwirid selepas solat berjemaah dilarang keras.

Fahaman Wahabi menjadi pegangan Kerajaan Arab Saudi yang menguasai Masjidil Haram Mekah dam Masjid Nabawi Madinah. Berdasarkan penguasaan dua tempat suci ini maka fahaman Wahabi terus bertapak kukuh. Malah Kerajaan Arab Saudi menjadi negara Islam paling banyak menyumbangkan dana-dana untuk perkembangan dakwah dan syiar Islam di seluruh dunia.

Di negara kita Kerajaan Perlis Indera Kayangan satu-satunya negeri yang tidak berpegang kepada mana-mana mazhab. Mereka mendakwa berpegang kepada al-Quran dan hadis sahih sepenuhnya seperti mana yang diamalkan di Arab Saudi. Terdapat kalangan pelajar Malaysia yang belajar di Arab Saudi dan mahir dalam selok-belok hukum tertarik dengan fahaman Wahabi dan mengembangkannya di Malaysia.

Penerapan fahaman Wahabi di kalangan umat Islam di negara ini yang sejak berkurun lama berakar umbi dengan Akidah Ahli Sunnah Wal-Jamaah telah menimbulkan salah faham di kalangan umat Islam. Manakala bagi orang awam yang kurang mahir dalam selok belok mazhab maka lebih baik bertaqlid dengan pegangan
sedia ada.

Hakikatnya fahaman Wahabi tidak membawa pemikiran baru tentang akidah. Mereka hanya mengamalkan apa yang telah dikemukakan oleh Ibnu Taimiyyah dalam bentuk yang lebih keras berbanding apa yang diamalkan oleh Ibnu Taimiyyah sendiri. Perkembangan fahaman Wahabi dan penerapan mazhab lain dalam masyarakat Islam di negara ini tidak dapat dielakan kerana kesan pengglobalan ilmu di dunia hari ini.

Malah dalam penghayatan muamalah dan sisitem perbankan Islam di negara ini dan di dunia sekarang banyak menggunakan kaedah yang terdapat dalam Mazhab Hanafi.

Kesimpulannya:
Dari segi tauhid fahaman Wahabi bukan ajaran baru dan juga tidak termasuk antara 73 cabang ajaran sesat seperti mana yang dijelaskan ulama berdasarkan huraian hadis penjelasan 73 ajaran sesat itu.

Sumber : Pengarah Bahagian ILIM
Rujukan: www.islam.gov.my
melalui islamgrid

Tetapi walaupun demikian , perlu kita fikirkan kenytaan di bawah... Tidakkah mereka sesat?

"Mereka kemudian menyeru Umat Islam supaya mengikuti Aqidah Mujassimah dan Musyabbihah mereka iaitu mengatakan Allah duduk semayam, beranggota badan seperti tangan, mata, kaki, muka. Aqidah inilah yang ditolak oleh ASWJ kerana menyerupai agama-agama Musyrik lain"

Tidakkah ini juga bermaksud menyekutukan Allah dan zatNYA dengan makhluk ciptaannya?

Persepsi gua mudah,
Allah duduk bersemayam bererti menyamakanNYA dengan raja Saud. Allah ada anggota badan seperti tangan, mata, kaki dan muka juga untuk menyamakanNYA dengan raja SAUD.  Kesimpulan gua wahabi menyeru manusia sujud kepada yahudi Saud.

***** Muhammad Bin Abdul Wahab adalah sekutu Saud ketika menghalalkan darah umat Islam di Saudi.

wasukalu.com

Thursday, September 12, 2013

Prestasi UM meningkat sejak 5 tahun, kata VC


Naib canselor Universiti Malaya Tan Sri Ghauth Jasmon berkata kedudukan institusi tersebut bertambah baik dalam ranking dunia sejak lima tahun lalu.

Katanya, kedudukan di tangga ke-156 pada tahun lalu adalah pencapaian terbaik universiti tersebut.

Tambahnya, peningkatan dan penurunan dalam ranking dunia adalah normal dan tiada universiti yang dapat terus meningkatkan prestasi, katanya kepada Malaysiakini.

Apa yang penting, universiti tersebut menunjukkan peningkatan secara keseluruhan dalam tempoh berkenaan, tegasnya.

Beliau mengulas prestasi universiti tertua di Malaysia itu yang merosot ke tangga ke-167 dalam senarai dikeluarkan firma Quacquarelly Symonds (QS).

Ghauth berkata institusi berkenaan akan menjalankan usaha bagi memperbaikinya.

Katanya, QS melakukan sedikit perubahan dalam kaedah untuk menilai reputasi akademik universiti dunia – yang didakwa menyumbang kepada kemerosotan ranking UM.

Peningkatan menyeluruh
Prestasi tersebut bagaimanapun menunjukkan peningkatan secara menyeluruh antara 2008 hingga 2013, katanya.
"Untuk makluman semua, kedudukan 156 pada tahun 2012 adalah kedudukan terbaik UM dalam sejarah universiti ini.
"Ada satu ketika dalam masa 8 tahun lepas UM pernah mencatatkan kedudukan ke-89 tetapi itu berlaku sebab terdapat kesilapan dalam data yang dihantar UM kepada QS-THE Ranking pada masa itu," katanya.

Katanya, UM menjalankan usaha untuk memperbaiki prestasi tersebut, antanya:
  • Menjalankan penyelidikan berimpak tinggi secara aktif melalui Geran (HIR) yang diberi oleh Kementerian Pendidikan berjumlah RM590 juta bagi tempoh 5 tahun mulai 2011 sehingga 2015.
  • Keanggotaaan tiga orang Pemenang Hadiah Nobel dan dua orang Felo Terkemuka (bertaraf Highly Cited Researcher) dalam Majlis Penasihat bagi projek HIR.
  • Usaha mencari lebih ramai Academic Icon yang mempunyai latar belakang dan rekod pencapaian penyelidikan yang terkemuka.
  • Usaha membawa masuk seramai 300 orang pelajar yang mempunyai Kepujian Kelas Pertama melalui Program Bright Spark.
  • Kerjasama dengan lebih daripada 300 buah universiti ternama di seluruh dunia, termasuk dari Amerika Selatan dan Afrika. Antaranya dalam bidang Penyelidikan bersama, Pertukaran staf akademik, Joint PhDs dan Pertukaran Pelajar.
Ghauth juga berkata, kemerosotan prestasi UM pada tahun ini adalah kesusutan sebanyak 3.8 peratus dalam pengiraan untuk menilai reputasi akademik.
"Pada tahun ini, pihak QS telah mengubah cara pengiraan reputasi akademik dengan pemberatan dalam ranking mata pelajaran yang memberi impak yang besar terhadap pencapaian UM secara keseluruhannya.
"QS memberitahu pemberatan tersebut adalah bergantung kepada kecemerlangan sesuatu disiplin atau bidang tertentu di dalam sesebuah universiti," kata Ghauth.

Sumber malaysiakini

Wednesday, September 11, 2013

Mengapa kedudukan IPTA di Malaysia merosot?


Kedudukan 800 universiti teratas di seluruh dunia bagi 2013 yang dilaporkan oleh QS World University Rankings sewajarnya menjadi isu utama negara mutakhir ini, selain dari isu kenaikan harga minyak kerana kedua-duanya mempunyai kesan besar kepada kebajikan rakyat.
Laporan tersebut menunjukkan bahawa enam dari tujuh universiti awam negara yang tersenarai di dalam 800 universiti teratas telah mengalami kemorosotan seperti berikut:

azlan















Hanya UTM yang menokok sedikit kedudukannya dari tangga 358 (2012) kepada 355= (2013).

Kedudukan ini dibuat berdasarkan kriteria-kriteria berikut:
  • Reputasi pencapaian akademik (40%)
  • Kemampuan mendapatkan pekerjaan dan pandangan majikan (10%)
  • Nisbah siswa kepada tenaga pengajar fakulti (20%)
  • Rujukan penyelidikan (citation) mengikut fakulti (20%)
  • Keantarabangsaan pelajar (5%)
  • Keantarabangsaan tenaga pengajar fakulti (5%)
Ramai pimpinan Barisan Nasional yang masih berdolak dalih dan tidak mahu menerima hakikat bahawa persoalan mutu pendidikan tinggi dan kedudukan universiti awam negara adalah isu utama yang membawa kesan besar kepada rakyat.

Kedudukan universiti awam negara yang tidak berdaya saing menyukarkan graduan mendapat kerja yang baik dengan gaji yang berpatutan.
Malah, masalah pengangguran di kalangan graduan terutamanya di kalangan graduan Melayu/Bumiputra banyak berpunca dari mutu pendidikan tinggi yang merudum yang saban tahun disahkan oleh kedudukan universiti awam negara.

Oleh sebab itu, hakikat bahawa enam dari tujuh universiti awam negara semakin rendah kedudukannya sewajarnya diambil serius oleh semua pihak dengan penuh keterbukaan.

Apatah lagi apabila universiti terbaik Asia adalah National University of Singapore (NUS) yang menduduki tangga ke-24 menjadikannya univesiti terbaik Asia mengalahkan universiti-universiti Jepun, Korea Selatan dan China.

Ramai yang tidak tahu bahawa NUS mempunyai sejarah yang sama dengan Universiti Malaya kerana kedua-duanya diwujudkan sebagai University of Malaya di Singapura dalam tahun 1949 mengikut saranan Suruhanjaya Carr-Saunders.

Pada 1959, University of Malaya mempunyai dua kampus yang berasingan iaitu kampus asal di Singapura dan kampus baru di Kuala Lumpur. Pada 1962, kedua-dua kampus ini berpisah menjadi dua universiti berasingan iaitu Universiti Malaya di Kuala Lumpur dan NUS di Singapura.

Selepas 50 tahun, walaupun bermula dari titik yang sama, Universiti Malaya tidak pun berada di dalam kedudukan 100 teratas di dunia sedangkan NUS menjadi universiti terbaik di Asia.

Ini adalah hakikat yang perlu ditangani secara terbuka tanpa prejudis politik atau perkauman kerana mutu dan kedudukan universiti awam negara mempengaruhi taraf hidup rakyat dan daya saing negara seluruhnya.

Oleh yang demikian, saya menyarankan supaya perkara-perkara demikian dibahaskan secara terbuka dan reformasi pendidikan tinggi dijalankan secara segera seperti berikut:
  • Kembalikan kebebasan akademik kepada universiti-universiti awam dengan memberi kuasa autonomi kepada Senat Universiti tanpa campur tangan kementerian dan kerajaan
  • Pemilihan kepimpinan universiti awam mengikut merit berdasarkan kredibiliti akademik, pengalaman mengurus universiti ternama, integriti peribadi yang bebas dari pandangan partisan dan ciri-ciri lain yang ada pada kepimpinan universiti ternama dunia
  • Kembalikan kebebasan minda yang sepenuhnya kepada siswazah dan gerakan mahasiswa dengan menghentikan serta merta sebarang aktiviti atau program yang mengongkong perkembangan minda bebas siswazah, termasuklah program propaganda politik yang dianjurkan oleh BTN dan badan-badan yang serupa dengannya
  • Menilai semula sistem pemberian biasiswa yang menekankan penghantaran pelajar terbaik ke universiti-universiti luar negara dan beralih kepada sistem biasiswa yang memberi tempat terbaik kepada mereka di universiti-universiti terbaik Malaysia, dan
  • Program khusus memperkasakan kredibiliti akademik fakulti di universiti-universiti awam dengan membawa masuk tenaga pengajar dan penyelidik terbaik dari seluruh dunia
Saya percaya langkah-langkah ini adalah permulaan untuk mengembalikan keunggulan universiti awam negara dengan sasaran Universiti Malaya berada di dalam tangga 100 universiti terbaik dunia dalam tempoh 10 tahun dari sekarang.

Saya juga akan membuat kunjungan hormat ke NUS dalam bulan November 2013 untuk mempelajari sendiri langkah-langkah yang dilaksanakan selama ini untuk menjamin kualiti pendidikan di universiti itu.

Rafizi Ramli adalah ahli parlimen Pandan dan pengarah strategi PKR
 
Sumber malaysiakini