Monday, November 6, 2017

ZAMAN KECIL-KECILKU ( 10. )

Oleh Ram Ramuda

Seringkali kami berjalan
dalam semak belukar
mencari buah getah untuk buat berlaga
di pangkal pokok besar
kami jumpa nasi kunyit
dua biji telur ayam rebus
roti canai pun ada dua keping
letak atas upih pinang
dan biawak-biawak sedang memakan
hidangan itu .

Itulah hidangan buat jamu penunggu-penunggu
itulah menu orang-orang tua sebut buang acak
ya , buang acak
upacara klasik orang-orang zaman dulu
yang salah .
Kami cari ikan sekilau
itu ikan pelagalah
di Kubang Lembu , Kubang Rusa
dan lain-lain kubang
dapat lima enam ekor
balik ke rumah bubuh dalam botol
cari ogat-ogat di kebun getah
dan bawah pokok kelapa .
Ogat-ogat tu jentik-jentiklah
makanan ikan sekilau
di rumah kami
berderet-deret botol ikan sekilau
ikan sekilau until dibuat berlaga
dahsyat , dahsyat !!
hi hi hi hi hi hi hi hi !!

ZAMAN KECIL-KECILKU ( 9 )

Oleh Ram Ramuda

Main pondok-pondok tepi rumah
main menanak nasi
nasi daripada tanah campur air
ikan-ikan daripada daun-daun kayu
periuk daripada tempurung kelapa
tungku daripada batu-batu
pinggan-pinggan daripada daun pisang
bila ' masak ' kami ' makan ' hidangan sama-sama
sungguh ' sedap sungguh enak '
hi hi hi ha ha ha ha ha !!!

Malam main wayang kulit
di bangsal kami bina daripada kayu-kayu
hutan
atap nipah yang terbuang .
Watak Sri Rama , Hanuman , Sita Dewi
Wak Long , Pak Dogol , Pak Kadir , Pak Diman
diukir daripada kertas surat khabar
ditampal pada pancang-pancang buluh
lampu pelita ayam
main lepas solat Isyak
meriah tiada terkira
suka tiada terkata
inilah alam kami
alam kanak-kanak yang realiti
bukan ilusi
bukan imajinasi
inilah hakiki sendiri .

ZAMAN KECIL-KECILKU (8)

Oleh Ram Ramuda

Pagi-pagi atau petang-petang
hari cuti sekolah
rakan-rakan perempuan
main congkak dan selambut
di bawah rumah .

Lubang congkak digali pada tanah
buah congkak adalah buah-buah getah
buah selambut buah-buah guli
rakan-rakan lelaki bermain sama
penuh harmoni dan wajah kami ria berseri-seri kawan-kawan kita belaka .
Bila dapat ' tembak ' buah congkak lawan
banyak-banyak dalam lubang
kami ketawa ramai-ramai
kah kah kah kah kah !!!
Kami juga main ' game '
lelaki perempuan
Ada ' game ' papan , ' game ' kapalterbang
lompat lompat dapat pijak ' rumah '
selesai satu pusingan
dan main lagi main lagi
hingga kami kepenatan
tapi amat gembira
amat ceria .

ZAMAN KECIL-KECILKU. ( 7 )

Oleh Ram Ramuda

Sungai desaku airnya jernih menghijau kehijauan
bila air pasang melimpah keatas tebing
ada Pengkalan Gong , Pengkalan Tok Man
Pengkalan Che Mek , Pengkalan Ayah Long
Pengkalan Pak Soh dan Pengkalan Bawah Alor.

Sungai desaku tiada buaya
tiada ular , tiada harimau , tiada gajah
tiada singa , tiada beruang
cuma biawak-biawak merayap-rayap
sekali sekala
dan katak-katak bernyanyi-nyanyi riang ria
kami selamat
syukur ya Rabbi .
Balik sekolah angkut air sungai dengan baldi
curah ke dalam tempayan besar di dapur
buat masak memasak
curah ke dalam tempayan kecil tepi tangga
buat basuh kaki
kami redha
tiada mengapa
bersyukur sungguh
redha sungguh
Kami tiada bersungut
tiada merungut
hidup kami tenteram
tiada sengketa
tiada perbalahan .
Malam ramai-ramai solat di masjid
dekat rumah
masjid tinggi kayu cengal tak dimakan anai-anai
suka sungguh
gembira sungguh
hidup dipermudah walau susah
penuh barakah penuh hikmah .

Sunday, November 5, 2017

ZAMAN KECIL-KECILKU. ( 6. )

Oleh Ram Ramuda

Petang-petang lepas mengaji Quran
main buah gandu
main setik mata
main bola katak
main golek tok kong
main setik getah para
main wak
penuh riang ria bergurau senda
tiada tekanan jiwa
dunia kami penuh warna warni .

Aku makan nasi cuma lauk ikan singgang
itu ikan rebuslah
ikanselayang , ikan aya
itu ikan tongkollah
ulam pucuk paku cicah budu
cukup sedap , cukup lazat
tak pernah makan ikan tenggiri , bawal
daging lembu atau kerbau
yang dirasa daging ayam kampung
sekali sekala .
Pagi-pagi lepas solat subuh
kami ramai-ramai lelaki perempuan
bawa pelita ayam
pergi ke sungai mandi
untuk ke sekolah
qadar hajat dalam semak
nak buat macam mana
suasana masa itu begitu
semua begitu di mana-mana
kami selesa kami gembira
syukur ya Rabbi
inilah hakiki
tak dapat dielakki .

ZAMAN KECIL-KECILKU ( 5 )

Oleh Ram Ramuda

Petang-petang lepas mengaji Quran
main wau di padang
wau bulan , wau kucing , wau burung , wau kapal terbang
macam-macam wau
meriah sungguh
suka sungguh .


Petang-petang lepas mengaji Quran
main gasing bawah pokok rambai besar
gasing pangkah , gasing ulit
bukan ulit mayang
ada juga bertanding
tiada hadiah
hanya suka-suka
ha ha ha ha ha ha !!!

Petang-petang lepas mengaji Quran
main bolasepak 7 sebelah , 6 sebelah
ikut yang ada
tanpa pengadil
dapat sumbat gol
dapat balas gol
kami bersorak riang ria
ayam-ayam jantan di tepi rumah bersorak sama
kuk kerek kuuuuuuuuk !!!
kucing-kucing terpinga-pinga
terus lari ke bawah rumah
miyoong , miyoooong , miyoooong !!!! .
Satu ketika
kami berlawan bola jiran kampung sebelah
7 sebelah
budak-budak belaka
di padang kampung mereka
tiada pengadil .
Aku penjaga gol
Mat Silau pertahanan
sepak tendang , sepak tendang
kami bolos 2 gol .
Masa rehat kami bincang
mahu lawan lagi ke ?
kata putus tak payah
takut bolos lagi
lalu kami sembunyi dalam semak
ketua mereka kata " keluarlah ! takut ke ! "
kami diam
seketika mereka pun pergi
kami pun keluar dari sembunyi
dan ramai-ramai ketawa
ha ha ha ha ha ha !!!
hi hi hi hi hi hi hi hi !!!

Zaman kecil-kecilku
terpahat rapat dalam minda
digali satu demi satu
sebagai peneman rindu
di zaman itu .

ZAMAN KECIL-KECILKU. ( 4 )

Oleh Ram Ramuda

Malam raya
pasang pelita buluh
bakar tempurung junjung
berjalan keliling kampung ramai-ramai
bawa jamong daun kelapa kering
macam obor-oborlah
suka sungguh
gembira sungguh .

Musim menuai padi
malam tumbuk emping
lesung kayu setiap rumah
ibu-ibu yang tumbuk
kami bantu makan
bantu makan je
bapa-bapa asah pisau
buat menoreh getah esok hari
asah juga pisau ibu
sama-sama pergi menoreh
menoreh getah tua getah muda .
Musim menuai padi
buat laksa cara klasik
pusing kebak berkeliling-keliling
guna kayu pengisar yang keras-keras
masak dalam kawah besar-besar
tepi sungai air jernih bak Kristal .
Lepas solat Jumaat
jamu laksa di masjid
kuah putih kuah merah
sedap-sedap belaka
kami senyum-senyum puas
kerana perut telah padat
kami gembira sakan
ini kampung kita .

ZAMAN KECIL-KECILKU ( 3 )

Oleh Ram Ramuda

Seronok sungguh
sedap sungguh
suka sungguh
zaman kecil-kecilku
masih segar diingatanku
teringat selalu
terasa ingin kembali ke zaman itu .

Banyak lagi episod dirakam
hari meniti hari
minggu berganti minggu
tahun bertukar tahun
penuh ceria
sakan ketawa
walau hidup tak seberapa
orang kampung
menoreh getah
berkebun sayur , tanam padi , tanam ubi
ubi keledek , ubi kayu , ubi keladi
ubi bermacam ubi
pelbagai ubi .
Lega dada
lapang hati
tenang minda
dapat luahkan secebis nostalgia
yang enak dirasa
indah dikenangi
tersemat di hati .
SukaTunjukkan lagi reaksi.

ZAMAN KECIL-KECILKU ( 2 )

Oleh Ram Ramuda

Zaman kecil-kecilku
sekolah atap zink
dinding zink
tiada elektrik
tiada air paip
kami gembira
kami selesa .


Zaman kecil-kecilku
tengok wayang gambar
panggung dinding papan
atap zink
lantai tanah
tiket dewasa 50 sen
kanak-kanak 25 sen
masuk free ikut orang dewasa
kami ketawa kami gembira
tiap-tiap minggu .
Satu ketika
penjaga pintu panggung
tahan semua kanak-kanak
tak boleh masuk free
aku dan kawan karibku Mat Silau
terkebil-kebil melihat penuh sayu
kecewa tak
dapat masuk panggung
malam ini .
Malam itu filem Putera Bertopeng
lalu kami berjalan pulang .
Di tengah jalan orang bertanya
" bakpa balik dah ? "
aku dan Mat Silau jawab
" ngantuk mata ! "
padahal poket kami kosong
tak dapat nak beli tiket
ha ha ha kami ketawa
Sedap sungguh
seronok sungguh
suka sungguh

zaman kecil-kecilku
kawan karibku ialah Mat Silau
dan aku adalah Ramli Ketopi Kopiah Rotan
ha ha ha ha ha !!!

ZAMAN KECIL-KECILKU ( bahagian 1 }

Zaman kecil-kecilku
minum air telaga
mandi manda di sungai
mengail umpan cacing
dapat ikan haruan , keli , toman , baung
pelbagai ikan .


Zaman kecil-kecilku
main sorok-sorok
berlaga ayam
laga ikan sekilau
laga buah getah
main pondok-pondok
berjoget twist lelaki perempuan .

Zaman kecil-kecilku
pergi sekolah jalan kaki ramai-ramai
bekal duit 10 sen
beli keropok lekor 5 sen
mee goreng 5 sen
minum air kosong
air perigi .