Sunday, March 27, 2016

Sanggah salah lapor Utusan 'Bersatu Tentang Agenda DAP'


KENYATAAN AKHBAR MENYANGGAH SALAH LAPOR ARTIKEL UTUSAN MALAYSIA TERHADAP UCAPAN PRESIDEN PAS MELALUI ARTIKEL “BERSATU TENTANG AGENDA DAP – HADI”

Saya ingin menegaskan bahawa Utusan Malaysia melalui artikel “BERSATU TENTANG AGENDA DAP – HADI” yang disiarkan pada 22 Mac 2016 adalah laporan yang salah dan berniat jahat.  Laporan yang ambil daripada ucapan YB Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Presiden PAS semasa menyampaikan ucapan semasa merasmikan Markaz Tarbiyah PAS Kawasan Bandar Tun Razak.

Ada beberapa salah lapor yang bersifat fitnah dalam laporan artikel tersebut iaitu:

1. Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyeru umat Islam supaya bersatu menentang agenda politik yang diperjuangkan DAP dan menggagalkan usaha parti itu yang berhasrat untuk memerintah negara ini.
2. DAP tidak berhak untuk memerintah negara ini memandangkan kaum Cina hanya mewakili 30 peratus sedangkan jumlah umat Islam adalah 60 peratus. DAP mempunyai cita-cita lebih besar daripada sekadar menguasai ekonomi.
Tentang point tulisan pertama, ingin saya tegaskan di sini, Presiden PAS tidak pernah menyebut dalam ucapan beliau tentang seruan kepada umat Islam untuk bersatu menentang agenda politik yang diperjuangkan DAP dan menggagalkan usaha parti itu untuk memerintah negara.

Tentang point ucapan kedua, Presiden PAS menegaskan bahawa DAP tidak boleh memimpin pemerintahan negara dalam suasana 30% penduduk bukan Islam yang memimpin 60% penduduk Islam. Keadaan ini akan menimbulkan suasana kekacauan dan tidak stabil dalam politik negara. Presiden PAS juga menegaskan bahawa Islam boleh menerima masyarakat majmuk kerana politik perkauman dilarang oleh Islam.

Dalam point ucapan ketiga, Presiden PAS tidak pernah menyebut tentang cita-cita lebih besar DAP yang bukan sekadar menguasai ekonomi.

PAS merasa kesal dengan laporan fitnah yang melampau dengan niat buruk untuk menjatuhkan kredibiliti Presiden PAS. Laporan palsu ini pula telah diambil oleh banyak media lain dengan tujuan yang sama. Maka saya mendesak Utusan Malaysia untuk menarik balik artikel tersebut serta memohon maaf secara terbuka kepada Presiden PAS di atas LAPORAN PALSU tersebut sebelum berdepan dengan tindakan undang-undang.

Saya juga mendesak semua portal-portal berita dan media yang mengambil sumber laporan Utusan Malaysia untuk memohon maaf di atas sumber berita yang tidak disahihkan terlebih dahulu.

DR AHMAD SAMSURI MOKHTAR
Setiausaha Politik Presiden PAS
26 Mac 2016 -

Ribuan pertahan agama Islam



Ribuan pertahan agama Islam
Protes itu dianjurkan kumpulan Touhidi dan Hefajat-e-Islam di luar Masjid Baitl Mukarram di Dhaka. Foto: AFP
 
DHAKA - BANGLADESH. Lebih 3,000 penunjuk perasaan menyertai protes anjuran kumpulan Touhidi dan Hefajat-e-Islam di sini, kelmarin sebagai mengutuk petisyen yang mahu menggugurkan Islam sebagai agama rasmi di negara itu.
Kumpulan protes itu turut berhimpun di luar Masjid Baitul Mukarram di Dhaka selepas solat Jumaat bagi membantah tindakan undang-undang itu yang dijangka dipertimbangkan oleh Mahkamah Tinggi pada hari ini.
Jurucakap penganjur menegaskan perhimpunan tersebut diadakan bagi menghantar mesej kepada pihak berkuasa bahawa Muslim di negara tersebut tidak akan bertoleransi terhadap sebarang langkah yang bertujuan untuk membatalkan Islam sebagai agama rasmi.
Agensi AP melaporkan petisyen tersebut difailkan oleh kumpulan berpengaruh di negara itu berikutan lebih 90 peratus daripada 160 juta populasi penduduk di negara itu adalah beragama Islam manakala Buddha dan Hindu adalah dua agama minoriti utama.
Berdasarkan sejarah, bekas pemerintah tentera, H M Ershad mengisytiharkan Islam sebagai agama rasmi di Bangladesh pada 1988.
Pada 2011, Perdana Menteri, Sheikh Hasina mempromosikan sekularisme sebagai tunggak Perlembagaan pada 2011, namun mengekalkan Islam sebagai agama rasmi. - Press TV

sumber sinarharian

Thursday, March 24, 2016

Hari Ini Dalam Sejarah PAS: Dato' Asri Bawa Serpihan PAS Tubuhkan Hamim (24 Mac 1983)

PADA hari ini dalam tahun 1983, bekas Yang Dipertua Agung PAS, Dato' Mohd Asri Haji Muda telah membawa penyokong-penyokongnya untuk menubuhkan parti serpihan PAS, Hizbul Muslimin Malaysia (HAMIM). Pergolakan politik dalaman PAS telah sampai ke kemuncak apabila Dato' Mohd Asri meletakkan jawatan sebagai Yang Dipertua Agung PAS dalam Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-28 pada 23 Oktober 1982. Ekoran itu, para penyokong Dato' Mohd Asri yang diketuai oleh Dato' Nik Abdul Rahman Nik Mohamad (Dato' Nik Man) telah menubuhkan sebuah Jawatankuasa Bertindak yang bertujuan untuk membawa Dato' Mohd Asri kembali memimpin PAS. Walau bagaimanapun, jawatankuasa ini telah bertindak mengadakan perhimpunan-perhimpunan yang menentang PAS, termasuk menganjurkan fitnah bahawa PAS dikuasai oleh elemen Syiah kesan dari Revolusi Iran.

Berlanjutan dari tindakan para penyokong Dato' Mohd Asri ini, pada 6 Januari 1983, PAS Kelantan telah membuat aduan tatatertib terhadap sekumpulan bekas pemimpin PAS yang menyebabkan Jawatankuasa Tatatertib PAS pada 23 Januari 1983 telah mengambil tindakan terhadap 13 bekas pemimpin PAS termasuk Dato' Mohd Asri yang digantung keahlian. Pada 31 Januari 1983, Dato' Sudin Wahab dan Dato' Abu Bakar Umar bersama 13 bekas pemimpin PAS tersebut telah mengadakan mesyuarat di Kota Bharu yang kemudiannya menubuhkan sebuah lagi Jawatankuasa Bertindak yang dipimpin oleh Dato' Mohd Asri.

Jawatankuasa Bertindak pimpinan Dato' Mohd Asri ini telah memutuskan bahawa mereka tidak akan mengemukakan rayuan terhadap tindakan tatatertib itu, sebaliknya akan menubuhkan sebuah lagi Jawatankuasa Bertindak yang serupa di Kedah dan Perlis. Tindakan ini menyebabkan PAS Pusat pada 16 Februari 1983 mengeluarkan ancaman untuk memecat keahlian Dato' Mohd Asri dan 10 penyokongnya, sedangkan Jawatankuasa Bertindak Kedah dan Perlis cuba menjadi pendamai antara PAS dan Kumpulan Dato' Mohd Asri. Pada 22 Februari 1983, Setiausaha Agung PAS, Ustaz Hassan Shukri telah mempertegaskan pendirian PAS bahawa semua Jawatankuasa Bertindak adalah jawatankuasa haram dan mengarahkan semua pimpinan dan ahli PAS supaya jangan terlibat.
Dato' Mohd Asri sebaliknya pada 23 Februari 1983 telah mengumumkan keluar dari PAS yang diikuti oleh para penyokongnya. Sebulan kemudian, pada 24 Mac 1983, Dato' Mohd Asri telah mengumumkan penubuhan parti Islam yang baru, HAMIM yang menyebabkan PAS kehilangan empat daripada lima kerusi Parlimen apabila Dato' Abu Bakar Umar (Kota Setar), Mohd Zain Abdullah (Bachok), Wan Ibrahim Wan Abdullah (Pasir Mas) dan Haji Hassan Mohamad (Rantau Panjang) menyertai parti tersebut. Pada 9 Jun 1983, pendaftaran HAMIM telah diluluskan dan dalam Mesyuarat Agung Khas HAMIM pada 2 Julai 1983, Dato' Mohd Asri dipilih secara sebagai Yang Dipertua Agung HAMIM, manakala Ahmad Shukri Abdul Shukur sebagai Timbalan Yang Dipertua Agung, Wan Ismail Ibrahim dan Ustaz Abdul Wahab Yunus sebagai Naib-naib Yang Dipertua Agung.

HAMIM yang menyertai BN pada 1985 dengan bantahan Berjasa telah diberi dua kerusi Parlimen dan empat kerusi DUN dalam Pilihan Raya Umum 1986 dan berjaya memenangi kerusi Parlimen Bachok dan dua DUN di Chetok dan Meranti. Namun bagitu, pada 17 November 1988, Dato' Mohd Asri telah meletakkan jawatan dan cuba membubarkan HAMIM tetapi gagal. Ekoran itu, Dato' Mohd Asri telah menyertai Umno pada 22 November 1988 dan Ustaz Abdul Wahab Yunus yang memangku jawatan Yang Dipertua Agung HAMIM tewas kepada Dato' Sudin Wahab pada 1989 yang menyebabkan Ustaz Abdul Wahab menubuhkan pula serpihan HAMIM, Parti Ikatan Masyarakat Islam Malaysia (Ikatan). Sedangkan Dato' Sudin Wahab membawa HAMIM bekerjasama dengan PAS dan Berjasa melalui Angkatan Perpaduan Ummah (APU). Pada 1999, Parti Ikatan telah diambil alih oleh penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membentuk Parti Keadilan Nasional (PKN).

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
24 Mac 2016

Tuesday, March 22, 2016

Bank Rakyat umum dividen 13 peratus 22 Mac 2016



Bank Rakyat
Bank Rakyat 
 
BANK Rakyat, bank koperasi Islam terbesar di Malaysia, mengumumkan dividen tunai sebanyak 13 peratus, berjumlah RM385 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2015 berbanding 15 peratus pada 2014.
Bank tersebut mencatatkan keuntungan sebelum cukai dan zakat sebanyak RM2.01 bilion berbanding RM2.19 bilion dicatatkan pada 2014.
Semasa mengumumkan keputusan kewangan bank itu, Pengerusi Bank Rakyat Jeneral Tan Sri Datuk Seri Abdul Aziz Zainal berkata dividen tersebut diumumkan berdasarkan pengukuhan perolehan sebanyak RM6.43 bilion yang dicatatkan pada tahun lepas berbanding RM6.06 bilion yang diraih pada 2014.
Dividen tersebut akan dibayar kepada ahlinya mulai esok.
"Dividen yang diumumkan bagi 2015 lebih rendah berbanding 15 peratus pada tahun sebelumnya, tetapi 13 peratus dianggap tinggi dengan keadaan ekonomi semasa.
"Namun, kami akan berusaha untuk meningkatkan pulangan dividen antara 13-16 peratus pada masa depan," kata Abdul Aziz kepada pemberita di sini hari ini.
Bank tersebut menyumbang dua peratus atau RM39.2 juta daripada keuntungan sebelum cukai dan zakat kepada Kumpulan Wang Amanah Pendidikan Koperasi dan satu peratus atau RM19.6 juta kepada Kumpulan Wang Amanah Pembangunan Koperasi.
"Kami berharap jumlah sumbangan bagi 2015, yang berjumlah RM58.80 juta, akan membantu sektor koperasi di negara ini," katanya.
Abdul Aziz berkata baki pembiayaan kasar Bank Rakyat, tahun ke tahun, mencatatkan peningkatan sebanyak 3.8 peratus atau RM2.36 bilion kepada RM64.46 bilion walaupun langkah ketat oleh pihak berkuasa untuk menangani petumbuhan hutang isi rumah.
"Pembiayaan kasar pengguna turut meningkat sebanyak RM2.87 bilion kepada RM59.58 bilion berbanding RM56.71 bilion pada 2014," kata Abdul Aziz.
Jumlah deposit naik 3.6 peratus atau RM2.46 bilion kepada RM70.98 bilion berbanding RM68.52 bilion dicatatkan pada 2014.
Jumlah aset meningkat 3.5 peratus, tahun ke tahun, kepada RM92.40 bilion berbanding RM89.31 bilion dicatatkan pada 2014 sejajar dengan pertumbuhan ekonomi yang perlahan.
Abdul Aziz menyifatkan prestasi bank itu sebagai cemerlang berdasarkan tahun yang mencabar berikutan kesan daripada perkembangan dalaman dan luaran.
"Bagaimanapun, kami terus mengekalkan kedudukan kami sebagai bank koperasi Islam terbesar di negara ini dan menerajui institusi kewangan Islam dari segi keuntungan," katanya. - Bernama

Hari Ini Dalam Sejarah PAS: Majlis Raja-Raja Benarkan PAS Guna Nama Islam (22 Mac 2001)

PADA hari ini dalam tahun 2001, Majlis Raja-raja telah membenarkan dan menggalakkan mana-mana pertubuhan dan parti politik termasuk PAS untuk menggunakan nama Islam pada pertubuhan mereka. Majlis Raja-raja yang menerima keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan tidak berhalangan untuk membenarkan PAS terus menggunakan nama Islam walaupun terdapat desakan kuat dari Umno yang mahu perkataan Islam pada nama PAS diharamkan. Baginda semua membuat keputusan untuk membenarkan parti politik dan pertubuhan lain menggunakan nama Islam dengan syarat tidak disalahgunakan untuk mengeliru dan menyelewengkan aqidah dan pemikiran rakyat, sebaliknya ia mesti digunakan dengan ilmu, hikmah dan ihsan.

Isu penggunaan nama Islam pada PAS ini telah lama dibangkitkan oleh Umno kerana mereka mendapati ia menjadi punca kekuatan PAS terutama selepas Pilihan Raya Umum Ke-10 pada 29 November 1999. Sebelumnya, pada 14 April 1998, Ahli Parlimen Yan, Datuk Badaruddin Aminuddin telah mendesak di Dewan Rakyat supaya Islam pada nama PAS dihapuskan. Selepas Pilihan Raya Umum Ke-10 itu, Dr Mahathir Mohamed, Presiden Umno pada 19 Disember 1999 telah mendakwa kemerosotan undi Umno adalah kerana fitnah yang dibuat oleh PAS. Beliau menegaskan tiga langkah akan diambil untuk membendung pengaruh PAS iaitu mengurangkan keberkesanan Harakah melalui pengurangan permit penerbitan kepada dua kali sebulan, mengharamkan perkataan Islam pada nama PAS dan menyekat ceramah politik PAS.
Bagi merealisasikan tujuan tersebut, pada 30 Januari 2000, Umno telah menuduh PAS mengeluarkan fatwa-fatwa politik yang merosakan aqidah, sehingga Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat mencabar Umno pada 6 Februari 2000 untuk bersemuka jika benar PAS berbuat demikian. Sebaliknya, Timbalan Pengerusi Tetap Umno, Dato' Onn Ismail pada 12 Mac 2000 terus mendakwa perkataan Islam pada nama PAS mengelirukan rakyat. Ekoran itu, pada 31 Mac 2000, Majlis Fatwa Kebangsaan mewartakan keputusan mereka yang membenarkan penggunaan nama Islam pada parti politik.

Namun begitu, pada 16 Mac 2000, Dr Mahathir terlebih dahulu mendesak Majlis Raja-raja supaya campur tangan untuk mengharamkan nama Islam pada PAS. Presiden PAS, Ustaz Dato' Fadzil Mohd Noor pada 23 Mac 2000 mencadangkan muzakarah antara kedua-dua parti dalam isu ini, manakala Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz pada 25 Mac 2000 menolak Raja-raja Melayu dilibatkan dalam pergolakan politik ini. Setelah ia reda seketika, pada 10 Disember 2000, Dr Mahathir membangkitkan pula isu perpecahan Melayu, dan pada 24 Disember 2000, Umno menyatakan kesediaan berunding dengan PAS dan Parti Keadilan Nasional (PKN). Menjawab tawaran ini, Presiden PAS pada 22 Februari 2001 meletakkan syarat supaya Umno menghentikan cadangan mereka menghapuskan Islam pada nama PAS untuk membolehkan mereka berunding, tetapi ditolak oleh Umno. Menurut Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Tan Sri Dr Ismail Ibrahim, bahawa majlis itu bermesyuarat khas dalam bulan Februari 2001 untuk mengekalkan fatwa asalnya sebelum ia dibawa ke Majlis Raja-raja pada 22 Mac 2001. Dalam Mesyuarat Majlis Raja-raja Ke-188 pada 22 Mac 2001 ini, telah diputuskan bahawa perkataan Islam boleh digunakan oleh parti politik termasuk PAS.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
22 Mac 2016